- Iklan -
Berita

Selepas Zuraida keluar parti, Bersatu tolak khabar angin Hamzah jadi TPM

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata jadual perdana menteri terlalu padat bagi sebarang perbincangan politik.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu mengibarkan bendera parti itu dalam satu majlis ulangtahun penubuhan parti itu.
Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu mengibarkan bendera parti itu dalam satu majlis ulangtahun penubuhan parti itu.

Pelbagai desas desus timbul selepas Zuraida Kamaruddin keluar dari Bersatu, daripada kononnya Barisan Nasional alu-alukan parti komponen baru sehinggalah rombakan Kabinet di mana Ismail Sabri Yaakob dikatakan bakal melantik timbalan perdana menteri.

Antara khabar angin lain yang timbul adalah pelantikan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin yang merupakan menteri dalam negeri ketika ini sebagai timbalan perdana menteri.

Namun, dakwaan itu ditolak Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

“Saya ingat jangan layan khabar angin, nanti kita tak berpijak di bumi nyata.

“Kita tengok perdana menteri pun sibuk berjumpa orang. Saya tak nampak dia duduk dengan tim penasihat politik untuk berbincang soal rombakan,” kata Faizal yang merupakan sebahagian daripada delegasi Ismail ke Jepun kepada MalaysiaNow.

Faizal berkata jadual kerja perdana menteri terlalu padat di Jepun tidak memberi ruang untuk sebarang perbincangan politik.

Sebelum ini, sebuah laman sesawang berita melaporkan khabar angin itu memetik “sumber” mengenai pelantikan Hamzah tersebut.

Zuraida yang juga ahli Parlimen Ampang mengumumkan keluar dari Bersatu bagi menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) semalam.

Beliau dijangka berjumpa Ismail untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri dalam jangkamasa terdekat.

Laporan itu juga turut berkata Ismail akan merombak Kabinet bagi menggantikan kekosongan jawatan yang ditinggalkan, mendakwa kononnya perdana menteri akan memilih Hamzah sebagai timbalannya.

Sebagai respons, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin akan mengemukakan calon baru kepada Ismail untuk dilantik sebagai anggota Kabinet, ekoran jawatan Zuraida merupakan kuota parti itu.

Menurut Muhyiddin, keahlian Zuraida dalam Bersatu gugur serta-merta mengikut Fasal 10 Perlembagaan Bersatu.

Dalam pada itu, Faizal menegaskan beliau masih menjawat jawatan menteri belia dan sukan yang perlu menumpukan perhatian kepada kerjanya.

“Ini masa untuk bekerja, jangan fikir jawatan apa.

“Kita tak boleh terlalu berpolitik,” katanya.