- Iklan -
Rencana

Mahathir: Nyah keluar syarikat bekal senjata kepada Israel

Dr Mahathir Mohamad menggesa kerajaan mengambil tindakan segera memberikan mesej jelas pendirian Malaysia mengutuk pembunuhan rakyat Palestin.

Dr Mahathir Mohamad
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beberapa syarikat pembuat senjata, yang ketika ini digunakan untuk membantai rakyat Palestin, diberitakan hadir di Pameran Defence and Service Asia (DSA) dan Natsec Asia 2024, seharusnya disuruh pulang dan meninggalkan Malaysia dengan seberapa segera.

Dua syarikat utama – Lockheed Martin dan BAE System - merupakan pembekal senjata yang besar kepada regim Zionis untuk melakukan serangan-serangan dan pengeboman ke atas rakyat Palestin sejak 7 Oktober tahun lalu.

Kehadiran mereka ke Malaysia ketika ini di atas anjuran DSA dan Natsec 2024 dengan kerjasama Kementerian Pertahanan adalah sesuatu yang amat menjengkelkan dan penghinaan kepada perjuangan rakyat Palestin dan dokongan rakyat Malaysia yang menentang genocide yang sedang dilakukan di Gaza.

Memang benar mereka pernah hadir di dalam anjuran-anjuran terdahulu.

Tetapi keadaan kali ini amat luar biasa dan genocide Zionis terhadap Palestin begitu kejam dan tanpa sedikit pun perikemanusiaan.

Membenar syarikat-syarikat sedemikian memperolok dan mempersenda segala usaha kita menentang kekejaman regim Tel Aviv. Kita seolah-olah bersekongkol dengan mereka menumpah darah rakyat Palestin termasuk bayi, kanak-kanak dan orang awam yang lain.

Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan harus mengambil tindakan tegas dan mengarah syarikat-syarikat ini keluar dari Malaysia seberapa segera yang boleh.

Dan tindakan ini tidak terhad kepada dua syarikat tersebut. Jika ada syarikat-syarikat lain yang membekal senjata kepada regim Zionis masa kini, mereka juga perlu dinyah keluar dari Malaysia.

Mereka perlu tahu bahawa tidak ada tempat di Malaysia untuk mana-mana pihak yang menyokong atau bersubahat dengan Israel melakukan genocide ke atas orang Palestin.