- Iklan -
Berita

'Ahli perniagaan' ajak jumpa ahli Parlimen PN bincang 'pelaburan' timbulkan persoalan

Ia di sebalik pengumuman mengejut dua ahli Parlimen Bersatu untuk menyokong Anwar Ibrahim.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat mahu menepis tanggapan kerajaannya tidak mendapat sokongan majoriti Melayu. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat mahu menepis tanggapan kerajaannya tidak mendapat sokongan majoriti Melayu. Gambar: Bernama

Beberapa ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini dihubungi seorang individu yang mendakwa mahu berbincang mengenai beberapa projek di kawasan mereka, tetapi tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada ia merupakan alasan untuk berjumpa wakil rakyat pembangkang dalam usaha meyakinkan mereka untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan di Dewan Rakyat.

MalaysiaNow difahamkan, beberapa ahli Parlimen di Selangor, Kedah dan Terengganu telah menerima jemputan daripada seorang "ahli perniagaan" yang memakai gelaran Dato, memaklumkan mengenai "rancangan pelaburan" beliau yang menurutnya akan membantu ekonomi tempatan di kawasan mereka.

Malah sumber Bersatu memberitahu MalaysiaNow, salah seorang ahli parlimen yang menghadiri salah satu mesyuarat sedemikian ditawarkan jawatan tinggi dalam agensi persekutuan, tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut.

"Apa yang boleh saya katakan ialah ia hanya mengesahkan kesangsian kami bahawa mesyuarat itu cuma menjadi alasan untuk membincangkan mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat," tambahnya.

MalaysiaNow tidak menamakan ahli perniagaan itu sementara menunggu pengesahan identiti dan latar belakangnya.

Mesej kepada ahli-ahli Parlimen itu dihantar pada hari sama, dengan kandungan yang serupa walaupun disesuaikan dengan konteks kawasan masing-masing.

Semua ahli Parlimen itu mewakili kerusi luar bandar, dan mengandungi tema sama iaitu mempromosikan eko-pelancongan, membina hotel butik, serta membangunkan industri pertanian tempatan di kawasan itu.

"Bila-bila YB ada kelapangan, saya ingin menerangkan lebih lanjut mengenai cadangan ini kerana ia memerlukan sokongan pihak kerajaan tempatan terutamanya pejabat Parlimen YB," menurut salah satu mesej.

Pada sidang media dihadiri pemimpin PN hari ini, Ahli Parlimen Kubang Pasu Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata beliau antara yang didatangi individu itu.

Beliau bagaimanapun bertindak untuk "block" nombor pemanggil.

Di sidang media sama, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata pertemuan itu ternyata bertujuan untuk memujuk ahli Parlimen pembangkang bertukar haluan.

"Bila berjumpa, bukan cerita pasal hotel. (Dia kata) 'sokonglah Anwar, sokonglah PMX'," kata Hamzah sambil menambah mereka turut ditawarkan jawatan dalan syarikat berkait kerajaan dan Kabinet, di samping tawaran menyelesaikan hutang peribadi.

Sebelum ini, dua ahli Parlimen Bersatu bertindak mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, walaupun pada masa berkata mereka kekal sebahagian blok pembangkang.

Pendirian sedemikian dipercayai untuk mengelak daripada melanggar undang-undang yang melarang wakil rakyat daripada melompat parti.

Kerajaan Anwar kini berdepan dengan blok pembangkang terbesar yang didominasi wakil rakyat Melayu, mencerminkan sokongan tipis komuniti itu kepada Pakatan Harapan (PH) dan Umno, yang masih dihantui kekalahan pilihan raya di kerusi-kerusi majoriti Melayu pada pilihan raya umum dan negeri.

Sumber berkata PH kini dalam usaha menarik sokongan untuknya tanpa melanggar undang-undang anti-lompat.

Undang-undang yang diluluskan sebulat suara tahun lalu tidak berkuasa menghalang wakil rakyat daripada mengambil pendirian yang berbeza dengan parti mereka dalam pengundian usul dan rang undang-undang di Dewan Rakyat, hak yang dilindungi perlembagaan.

Anwar sebelum ini berulang kali mendakwa mempunyai sokongan majoriti dua-pertiga di Dewan Rakyat, dalam apa yang dilihat sebagai percubaannya menepis ancaman berterusan terhadap kerajaan campurannya.

Dakwaan Anwar memiliki majoriti dua pertiga itu dipersoalkan selepas pengumuman presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menarik balik sokongannya kepada kerajaan pada September lalu.

Syed Saddiq kemudiannya mendakwa kerajaan bertindak menghukumnya dengan membatalkan dana pembangunan untuk kawasannya di Muar.

Bulan lalu, dua ahli Parlimen Bersatu, Suhaili Abdul Rahman dari Labuan dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dari Kuala Kangsar, mengisytiharkan sokongan mereka kepada kerajaan, langkah yang disambut baik oleh Anwar.

"Sokongan itu penting bagi Anwar kerana dengan menunjukkan beliau mempunyai majoriti dua pertiga, dan seterusnya menghentikan semua cakap-sakap mengenai pertukaran kerajaan melalui peralihan sokongan di kalangan beberapa ahli Umno," kata bekas pembantu kepada seorang menteri dari PKR.

Sumber yang sama berkata tumpuan semasa Anwar adalah untuk menaikkan tanggapan bahawa beliau mempunyai sokongan ahli Parlimen yang mewakili kawasan majoriti Melayu.

"Beliau boleh saja ajak ahli Parlimen PN lompat kepada PH atau BN, tetapi itu bermakna pilihan raya kecil perlu diadakan semula. Kerajaan tidak mahu ini berlaku kerana pengundi Melayu dilihat masih kuat menyokong PN," jelasnya.

Terdapat juga dakwaan bahawa tindakan kedua-dua ahli Parlimen Bersatu itu disebabkan ugutan akan dihadapkan tuduhan rasuah.

Semalam, Anwar menafikan dakwaan itu, berkata beliau tidak pernah bertemu kedua-duanya.

"Mereka tidak mengadakan perbincangan dengan saya atau mana-mana menteri," tambahnya.