- Iklan -
Berita

Pilihan penyokong setia Umno: Anak tempatan Melayu-Islam, atau ahli DAP dari luar Kuala Kubu Baharu

Sokongan orang Melayu tidak lagi berdasarkan kesetiaan kepada parti.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pang Sock Tao dari PH dan Khairul Azhari Saut calon PN ketika sesi berkempen di Kuala Kubu Baharu.
Pang Sock Tao dari PH dan Khairul Azhari Saut calon PN ketika sesi berkempen di Kuala Kubu Baharu.

Penyokong tegar Umno di Kuala Kubu Baharu kini dalam dilema menjelang pilihan raya kecil yang akan diadakan Sabtu ini, apabila seteru kuat mereka Bersatu meletakkan calon yang mempunyai identiti Melayu Islam.

Kali ini, orang Melayu yang menyokong Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) disatukan oleh identiti Melayu dan Islam yang dibawa Khairul Azhari Saut, yang berdepan ahli DAP Pang Sock Tao.

Pang dan PH berdepan satu lagi kelemahan dalam merayu undi Melayu, disebabkan beliau bukan anak tempatan seperti Khairul Azhari.

Ia berbeza dengan situasi sebelum ini, di mana pengundi bersandarkan kesetiaan kepada parti politik, termasuk dalam kalangan pengundi Melayu yang berpecah kepada Bersatu, PAS dan Umno.

"Persamaan dalam ideologi Melayu dan Islam mungkin menggalakkan sebahagian pengundi Umno untuk menilai semula kesetiaan mereka sama ada kepada kepimpinan parti atau pada ideologi dan prinsip yang mereka pegang,” kata Anis Anwar Suhaimi, ketua penyelidik O2 Research Malaysia, kepada MalaysiaNow.

Katanya, persepsi DAP sebagai musuh tradisi Umno juga membantutkan segala usaha pimpinan tertinggi parti Melayu itu untuk mengekalkan saki baki sokongannya di Kuala Kubu Baharu, yang mampu mengubah keputusan menyebelahi PH, rakan kongsi Umno di Putrajaya.

Tinjauan MalaysiaNow mendapati penyokong tegar Umno di kawasan ini semakin lantang mengkritik pimpinan parti, dan hampir satu kepastian kebanyakan mereka bakal mengundi PN.

Penganalisis Mazlan Ali berkata peralihan demikian sudah berlaku pada pilihan raya DUN di enam negeri tahun lalu.

Berdasarkan tinjauannya di Selangor ketika itu, Mazlan meramalkan 45% pengundi Umno beralih kepada PN.

Keputusan PN untuk meletakkan calon Melayu di Kuala Kubu Baharu menimbulkan dilema kepada penyokong tegar Umno.
Keputusan PN untuk meletakkan calon Melayu di Kuala Kubu Baharu menimbulkan dilema kepada penyokong tegar Umno.

Namun, keputusan undian menunjukkan 65% pengundi Umno beralih sokongan.

Katanya, rasa tak puas hati ahli Umno atas kerjasama parti mereka dengan DAP akan sekali lagi memainkan peranan.
 
“Sebab itu Umno banyak kalah di Selangor dan menang dua kerusi sahaja kerana 'swing' penyokong Umno begitu besar,” kata ahli akademik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu kepada MalaysiaNow.

Di Kuala Kubu Baharu, DAP berjaya mengekalkan kerusinya dengan majoriti selesa lebih 4,119 undi walaupun kerusi itu di bawah Hulu Selangor, kubu kuat Umno yang dirampas PN pada pilihan raya umum 2022.

Mazlan berkata ada perbezaan dalam sokongan Melayu terhadap PH di Selangor berbanding negeri Pantai Timur.

Di Pantai Timur, kira-kira 7% hingga 10% sahaja yang menyokong gabungan itu.

Di Selangor, PH masih mempunyai sokongan Melayu paling ramai berbanding negeri lain.

Mazlan menyifatkan penyokong Melayu PH ini sebagai "Melayu moderat".

"Jadi di Kuala Kubu Baharu ni, sekurang-kurangnya ada 15% orang Melayu sokong PH-DAP. Kecuali orang PN mampu tarik undi orang India.”

Katanya, pengundi India jelas tidak puas hati dengan kerajaan negeri atas pelbagai isu kebajikan kepada komuniti itu.

Mazlan setuju dengan pelbagai analisa lain yang merumuskan kalaupun PH menang, majoritinya tipis.

"Saya anggarkan dalam 1,000 lebih sahaja bergantung kepada kadar keluar mengundi.”

Mazlan berkata PH bergantung kepada kesetiaan parti untuk menang pada PRK ini.

Semuanya masih bergantung kepada peratusan keluar mengundi, selain "undi kacau" melalui calon yang diletakkan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon bebas.

Ini menjadikan pengundi India sebagai "kingmaker".

"Pengundi India yang terdiri daripada 17% hingga 18% boleh memberi pengaruh dalam keadaan undi masyarakat Melayu dan Cina berpolar dan tiada etnik melebihi 50% di kerusi Kuala Kubu Baharu,” tambahnya.