- Iklan -
Berita

Sejarah akan memihak saya, kata peguam banduan bilik akhir ketika mahkamah perintah bayar denda

Peguam terkemuka M Ravi menolak tuduhan bahawa dia tidak mengikut piawaian yang dijangka daripada seorang peguam ketika memfailkan permohonan saat akhir bagi menyelamatkan nyawa Nagaenthran.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam Singapura M Ravi (di hadapan) dan Violet Netto (belakang) ketika tiba di Mahkamah Agung Singapura 1 Mac lalu bagi pendengaran kes Nagaenthran K Dharmalingam. Gambar: AFP
Peguam Singapura M Ravi (di hadapan) dan Violet Netto (belakang) ketika tiba di Mahkamah Agung Singapura 1 Mac lalu bagi pendengaran kes Nagaenthran K Dharmalingam. Gambar: AFP

Mahkamah Singapura hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak S$20,000 ke atas dua peguam terkemuka berikutan peranan mereka dalam mewakili banduan bilik akhir warga Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam sebelum dia menjalani hukuman mati penuh kontroversi akhir bulan lalu.

Keputusan mahkamah itu disampaikan selepas ketua hakim mendengar hujah M Ravi, di mana aktivis hak asasi terkemuka itu menolak tuduhan yang mengatakan beliau tidak mematuhi piawaian yang dijangkakan daripada seorang peguam ketika memfailkan permohonan di mahkamah pada saat-saat akhir bagi menyelamatkan nyawa Nagaenthran.

“Sejarah akan memihak kepada saya dan ia akan menghakimi saya,” kata Ravi yang turut disertai rakan peguamnya, Violet Netto selepas diperintah membayar denda kepada peguam negara.

Tindakan terbaru itu dilihat sebagai sebahagian daripada percubaan pihak berkuasa Singapura bagi menyekat bantuan guaman yang diberikan kepada banduan bilik akhir, ketika republik itu tidak mengendahkan kritikan antarabangsa berhubung beberapa pelaksanaan hukuman mati ke atas keldai dadah walaupun dikecam kerana melanggar perlembagaan negara dan perjanjian antarabangsa.

Nagaenthran, yang didiagnosis mempunyai skor IQ rendah menyebabkan dia tidak layak menjalani hukuman itu digantung sampai mati pada 27 April selepas ibunya sendiri pergi ke Singapura untuk merayu bagi kes anaknya.

Pengkritik berkata, tiada peguam di republik itu tampil untuk mewakili Nagaentran pada saat akhir pelaksanaan hukumannya kerana bimbang tindakan diambil oleh kerajaan ke atas mereka seperti apa yang dialami Ravi dan Netto.

Dalam permohonannya terhadap kedua-dua peguam itu, peguam negara Sigapura menuntut kos punitif sebanyak S$40,000 daripada mereka berdua berhubung tindakan mereka mewakili Nagaentran.

Dalam kertas mahkamah yang dilihat MalaysiaNow, Ravi mempertahankan tindakannya dalam usaha menghentikan hukuman mati ke atas Nagaenthran selain turut menyelar tindakan menghukum peguam kerana melakukan tugas mereka.

“Persoalan pelaksanaan hukuman mati ke atas orang yang mempunyai IQ rendah atau kurang upaya (OKU) intelek adalah isu kepentingan umum dan satu perkara baru juga.

“Permohonan untuk minta peguam pemohon dan bekas peguamnya dihukum secara kuku besi dengan perintah kos peribadi adalah terlalu keras dalam keadaan ini,” tambahnya.

Ravi juga berdepan beberapa siasatan disiplin yang boleh menyebabkan dia didenda, digantung daripada tugas khidmat guaman atau digugurkan sebagai seorang peguam.

Ia termasuk tiga prosiding menghina mahkamah dan beberapa siasatan yang dijalankan pihak polis.

Semua tindakan ke atas beliau tersebut mewarnai kerja dan usahanya dalam membela hak keldai dadah yang dijatuhkan hukuman mati di republik itu, termasuklah Nagaentran yang disabitkan kesalahan mengedar 43g – kira-kira tiga sudu besar – heroin ke Singapura.

Terbaru, Ravi dan rakan peguamnya diperintahkan membayar kos peribadi S$10,000 (RM31,500) kepada peguam negara berhubung saman diskriminasi etnik yang difailkan 17 banduan bilik akhir daripada etnik Melayu.

Hakim kemudiannya turut berkata bahawa Ravi tetap meneruskan saman itu walaupun dimaklumkan bahawa ia tidak mendapat persetujuan daripada peguam negara.