Monday, July 4, 2022

Peguam Singapura diarah bayar S$10,000 berhubung saman dakwaan diskriminasi kaum banduan bilik akhir Melayu

Ia adalah tindakan terbaru undang-undang yang dilihat pengkritik sebagai satu bentuk intimidasi terhadap peguam yang mencabar naratif pelaksanaan hukuman mati di republik itu.

Other News

Mahkamah Singapura memerintahkan dua peguam membayar kos peribadi sebanyak S$10,000 (RM31,500) kepada peguam negara bagi saman diskriminasi etnik yang difailkan 17 banduan bilik akhir dari etnik Melayu, di mana ia dilihat sebagai tindakan undang-undang terbaru terhadap peguam hak asasi yang mencabar pendirian republik itu berhubung pelaksanaan hukuman mati.

Peguam terkemuka, M Ravi dan Cheng Kim Kuan memfailkan saman mewakili 17 banduan bilik akhir bagi kesalahan dadah di Singapura, memohon pengisytiharan kerajaan bertindak secara diskriminasi dan berat sebelah melaksanakan pendakwaan berdasarkan etnik Melayu mereka.

Dalam saman yang difailkan tahun lepas, semua banduan yang merupakan warga Singapura dan seorang warga Malaysia menamakan peguam negara sebagai defendan, menuduhnya melanggar jaminan perlembagaan mengenai layanan sama rata di bawah undang-undang.

Mereka berkata siasatan, perbicaraan dan sabitan yang dikenakan ke atas mereka di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah adalah pendakwaan melulu dan didasari “faktor tidak relevan berhubung etnik kami”.

Bagaimanapun, saman itu ditolak Mahkamah Tinggi pada Disember lalu, di mana hakim menyifatkannya sebagai penyalahgunaan proses mahkamah, tidak lojik dan spekulatif.

Peguam negara kemudiannya memfailkan saman tuntutan kos terhadap Ravi dan Cheng, mengatakan saman itu difailkan oleh kedua-dua mereka tanpa persetujuannya, dan disebabkan itu “ia dimulakan secara salah”.

Dalam penghakimannya hari ini, hakim Mahkamah Tinggi Kannan Ramesh turut menyerang Ravi kerana berkelakuan secara “tidak wajar”.

“Etika Encik Ravi sebagai peguam bela dan peguam cara jatuh merudum di bawah standard dijangkakan,” katanya dan menambah Ravi tetap meneruskan saman itu walaupun dimaklumkan bahawa ia tidak mendapat persetujuan daripada peguam negara.

“Tidak dinafikan bahawa kelakuan Ravi menyebabkan peguam negara menanggung kos yang tidak perlu.

“Oleh itu, peguam negara terpaksa membawanya ke mahkamah dan menanggung kos, termasuk kos SUM 4742,” katanya dalam penghakiman yang merujuk saman pemula yang dikemukakan 17 banduan tersebut.

17 banduan tersebut termasuk Syed Suhail Syed Zin, Moad Fadzir Mustaffa, Hamzah bin Ibrahim, Norasharee Gous, Nazeri Lajim, Rosman Abdullah, Roslan Bakar, Masoud Rahimi Merzad, Zamri Mohd Tahir, Fazali Mohamed, Rahmat Karimon, Ramdhan Lajis, Jumaat Mohamed Sayed, Muhammad Faizal Mohd Shariff, Abdul Rahim Shapiee, Muhammad Salleh Hamid dan Mohammad Reduan Mustaffar.

Dalam afidavit yang dilihat MalaysiaNow tahun lalu, mereka berkata orang Melayu “secara signifikan mencatatkan perwakilan yang terlalu banyak” dijatuhi hukuman mati berbanding populasi lain di Singapura.

Ia juga menyatakan bahawa 50 dari 77 orang yang dijatuhi hukuman mati antara 2010 dan 2021 adalah Melayu, 15 India, 10 Cina dan dua daripada kaum lain.

Mereka juga berkata dari 28 orang yang mendapat keringanan daripada hukuman mati, 12 adalah Cina dan sembilan Melayu.

Kira-kira 90% daripada mereka sedang menjalani hukuman bilik akhir di Singapura adalah etnik Melayu dan India, di mana gabungan komuniti itu membentuk lebih 20% daripada populasi penjara.

Berdasarkan perangkaan rasmi pada Jun 2020, kaum Melayu membentuk 13.5% daripada penduduk keseluruhan Singapura, sementara 74.3% adalah kaum Cina dan 9% adalah India.

Singapura tidak mengeluarkan sebarang angka rasmi mengenai banduan bilik akhir di negara itu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles