- Iklan -
Berita

Kumpulan hak asasi selar tindakan Singapura ganggu, intimidasi peguam

Lawyers for Liberty berkata peguam M Ravi berdepan pelbagai tindakan disiplin dan dakwaan menghina mahkamah di mana ia menjejaskan kewangan dan kerjayanya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam M Ravi di luar mahkamah Singapura pada November 2021 menjelang perintah mahkamah mengenai rayuan untuk menggugurkan hukuman mati terhadap Nagaenthran K Dharmalingam. Gambar: AFP
Peguam M Ravi di luar mahkamah Singapura pada November 2021 menjelang perintah mahkamah mengenai rayuan untuk menggugurkan hukuman mati terhadap Nagaenthran K Dharmalingam. Gambar: AFP

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam pihak berkuasa Singapura berhubung sejumlah tindakan disiplin dan dakwaan menghina mahkamah ke atas peguam terkemuka M Ravi, mengaitkan tindakan itu dengan usahanya dalam membela dan mempertahankan hak keldai dadah yang dijatuhi hukuman mati di republik tersebut.

Ketua Penyelaras LFL Zaid Malek berkata Ravi berdepan tujuh siasatan tatatertib yang boleh menyebabkannya didenda, digantung atau diberhentikan daripada terus berkhidmat sebagai peguam.

Beliau turut berdepan tiga prosiding menghina mahkamah serta beberapa siasatan polis.

“Prosiding ini termasuk tindakan yang diambil terhadap Ravi kerana terus membela orang kurang upaya (OKU) mental warga Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam, yang menjalani hukuman mati ketika bantahan antarabangsa memuncak minggu lalu,” kata Zaid.

“Jumlah kes (bilik akhir) tertunda yang dilancarkan oleh kerajaan, peguam negara dan mahkamah sungguh membimbangkan.”

Sebelum ini, LFL mengecam kerajaan Singapura atas percubaan untuk menghentikan atau menghalang peguam daripada mengambil kes berkait kepentingan awam, memberi amaran tindakan sedemikian akan menjejaskan hak banduan mendapatkan khidmat mereka sekali gus mencalarkan kedaulatan undang-undang.

Ia kemudian berkata bahawa Ravi dan rakan-rakan peguam hak asasi seperti Violet Netto dan Charles Yeo, yang berusaha mempertahankan hak Nagaentran dan banduan OKU lain daripada hukuman mati, sedang “dihukum” kerana khidmat yang mereka berikan.

Zaid berkata prosiding terhadap Ravi boleh menyebabkan beliau diancam “berdepan masalah kewangan, menjejaskan kerjayanya sebagai peguam dan boleh menyebabkan beliau berisiko untuk dipenjarakan”.

“Hak untuk kebebasan bersuara dan hak untuk perwakilan undang-undang, di mana kedua-duanya termaktub dalam perlembagaan Singapura, semuanya tidak diendahkan kerajaan bagi menghentikan Ravi daripada terus memperjuangkan hak asasi manusia,” katanya.

Beliau juga merujuk kes Nagaentran dan seorang lagi banduan bilik akhir Datchinamurthy Kataiah yang terpaksa membela diri di mahkamah kerana tidak berjaya mendapatkan khidmat peguam yang bersedia mewakili mereka.

“Tidak syak lagi hal ini disebabkan suasana penuh penindasan yang wujud ekoran tindakan bersifat punitif yang diambil terhadap Ravi dan peguam lain seperti Violet dan Yeo kerana mewakili Nagaenthran tahun lepas,” katanya.

“Kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan, dan ia hanya boleh dilakukan jika hak untuk diwakili peguam dihormati dan peguam boleh melaksanakan tugas mereka tanpa rasa takut dengan hukuman.”