Wednesday, May 18, 2022

Kumpulan hak asasi desak Singapura hentikan gangguan, hukum peguam

Lawyers for Liberty menyelar 'gangguan berterusan terhadap peguam dan tindakan untuk mencetuskan ketakutan dalam kalangan pengamal undang-undang'.

Other News

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam kerajaan Singapura atas percubaan untuk menghentikan atau menghalang peguam daripada mengambil kes berkait kepentingan awam, memberi amaran tindakan sedemikian akan menjejaskan hak banduan mendapatkan khidmat mereka sekali gus mencalarkan kedaulatan undang-undang.

Dalam satu kenyataan, LFL merujuk kepada permohonan Persatuan Undang-Undang Singapura dan peguam negara republik itu yang mahu menghentikan usaha peguam terkemuka M Ravi daripada berkhidmat, mengatakan beliau dan peguam hak asasi lain sedang “dihukum” kerana khidmat yang mereka berikan.

“Memang tidak dinafikan M Ravi sedang cuba diketepikan (di Singapura), memandangkan banyak permohonan difailkan terhadapnya kerana mewakili banduan bilik akhir.

“Perintah kos yang terlalu tinggi dituntut terhadapnya, serta peguam lain seperti Violet Netto dan Charles Yeo mencerminkan landskap perundangan yang suram di Singapura di mana peguam dihukum dan dihalang daripada mengambil kes berkepentingan awam yang secara langsung mencabar kerajaan atau sistem,” kata Ketua Penyelaras LFL, Zaid Malek.

Ravi, Violet dan Yeo mewakili banduan bilik akhir warga Singapura Roslan Bakar dan warga Malaysia Pausi Jefridin di mahkamah Singapura.

Kedua-dua mereka yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental dijatuhi hukuman mati di republik itu selepas didapati bersalah mengedar dadah.

Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman terhadap mereka berdua diperintah untuk ditangguhkan pada saat-saat akhir oleh Presiden Singapura Halimah Yacob pada 17 Februari lalu.

Semalam, rayuan mereka terhadap hukuman gantung ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam pada itu, peguam negara Singapura mengemukakan tuduhan menghina mahkamah terhadap Ravi berikutan usahanya berhubung kes tersebut.

Bulan lalu, LFL berkata permohonan yang dikemukakan terhadap Ravi tersebut didakwa berdasarkan kelakuannya sepanjang pengendalian dua kes pada November tahun lalu.

LFL juga berkata pertuduhan terhadap Ravi itu juga turut menimbulkan“kebingungan dan kecurigaan,” kerana ia hanya dimulakan selepas beliau mewakili Roslan dan Pausi.

Zaid juga berkata bahawa tindakan sedemikian terhadap Ravi akan menafikan hak banduan yang menghadapi pertuduhan melibatkan hukuman mati untuk mendapatkan khidmat undang-undang.

“Peguam akan keberatan untuk mengambil kes kerana bimbang kos peribadi dikenakan terhadap mereka serta risiko digantung perkhidmatan atau dikeluarkan daripada dunia undang-undang.

“Disebabkan itu, kedaulatan undang-undang turut terjejas,” katanya sambil menggesa kerajaan Singapura mematuhi perlembagaannya sendiri yang mengiktiraf hak mana-mana individu untuk dibela oleh peguam pilihan mereka.

“Gangguan berterusan terhadap peguam dan mewujudkan suasana penuh ketakutan dalam kalangan pengamal undang-undang pada dasarnya adalah cara jahat untuk menghapuskan hak ini. Dan perkara ini tidak boleh dibiarkan.

“Kami menggesa kerajaan Singapura untuk mempertahankan perlembagaannya sendiri dan melindungi hak perwakilan undang-undang, yang mesti dilakukan dengan memastikan peguam dilindungi daripada ugutan, halangan, gangguan atau campur tangan tidak wajar ketika menjalankan tugas mereka bagi pihak klien.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles