- Iklan -
Kolum

‘Takkan Melayu hilang di Bumi’

Tidakkah penduduk-penduduknya nempunyai hak milik ke atas tanah kampung mereka?

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Dalam satu demonstrasi besar minggu lalu, ada sepanduk besar bertulis "Takkan Melayu hilang di Bumi." 

Tentulah kata-kata ini kedengaran pelik kerana ungkapan yang sering diucapkan ialah "Takkan Melayu hilang di dunia ."

Demonstrasi itu bukan diadakan di Malaysia. Ia diadakan di pulau Batam, wilayah Riau, Indonesia. 

Tindakan itu sebagai membantah "penggurusan" kampung-kampung penduduk tradisional tempatan di pesisiran laut pulau itu bagi membolehkan pembinaan bangunan-bangunan komersial dan pelancongan di situ.

Apa yang dimaksudkan dengan "penggurusan" ialah pemusnahan dan pembersihan kawasan-kawasan kampung berkenaan. 

Apa yang dapat dibayangkan daripada perkataan "penggurusan" ialah alat-alat jentolak merobohkan rumah-rumah kampung dan lori-lori besar yang mengangkut tanah merah mencurahkannya di tapak-tapak bekas kampung-kampung itu sebagai permulaan untuk membuat binaan dan bangunan baru. 

Perkataan "penggurusan" itu juga memberi maksud "menolak" dan "menghalau" penduduk-penduduk kampung malang itu.

Sebagai orang luar dari Malaysia, tentulah tidak dapat diketahui apa isu di sebalik peristiwa itu. 

Tetapi apabila sudah berlaku demonstrasi itu, kemarahan penduduk sudah sampai ke puncak. 

Mereka kelihatannya tidak dapat berbuat apa-apa bila berdepan dengan pihak pemaju.

Dimajukan?

Perkataan "pemaju" yang merujuk kepada pihak yang mahu mendirikan bangunan-bangunan batu baik untuk dijadikan hotel-hotel dan pusat pelancongan adalah suatu istilah yang tidak tepat. 

Ia menggambarkan seolah-olah membina bangunan-bangunan itu sebagai "maju" sedangkan mempertahankan kampung dan menolaknya adalah "mundur". 

Ini kerana maju lawannya adalah mundur. 

Perkataan "pemaju" itu merupakan terjekahan daripada istilah "developer", sedangkan ia boleh membawa maksud berbeza.

Perkataan "develop" itu bermaksud menjadikan suatu kawasan penuh bangunan bagi kegiatan komersial. 

Bagi mereka yang bermanfaat daripada pembinaan bangunan-bangunan itu tentulah ia merupakan kemajuan, begitu juga bagi "pemaju" yang dapat mengaut keuntungan. 

Tetapi bagi yang kehilangan kampung, tempat tinggal, punca pendapatan dan warisan serta jati diri mereka, maka ia bukan satu "kemajuan" tetapi merupakan bukan saja "kemunduran" malah menjadi "bencana".

Tentulah terdapat isu-isu terperinci di sebalik tragedi itu. 

Bagi penduduk tempatan, mereka mengetahui apa yang sebenar berlaku mengapa akhirnya kampung kesayangan itu hilang. 

Bagi pemerhati dari jauh, banyak persoalan pasti timbul seperti mengapakah kampung-kampung itu tidak dapat dipertahankan?

Bertukar jadi perkauman

Tidakkah penduduk-penduduknya nempunyai hak milik ke atas tanah kampung mereka? 

Lebih-lebih lagi mereka ini sudah tinggal di situ bergenerasi lamanya. 

Walaupun ia berupa "kampung air" iaitu penempatan tradisional di atas laut, suatu amalan biasa dalam kalangan penduduk-penduduk Asia Tenggara, baik di Sabah mahupun di Brunei apatah lagi di banyak tempat di seluruh Indonesia.

Persoalan juga timbul mengapakah pemerintah wilayah atau "provinsi" yang diketuai oleh gabenor mengizinkannya? 

Tidakkah beliau dan partinya bimbang akan kehilangan undi kerana Indonesia mengamalkan sistem demokrasi berpilihan raya bukan saja di peringkat pusat tetapi juga wilayah dan daerah. 

Sememangnya usaha membangunkan Batam akan mendatangkan pendapatan baik bukan saja bagi perbendaharaan daerah dan wilayah tetapi juga ia memberi banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. 

Dalam demonstrasi itu, ada antara mereka berpakaian baju Melayu siap mengenakan tengkolok. 

Suasananya menjadi emosional lebih-lebih lagi apabila berlaku pertembungan keras dengan pihak polis yang menghalang perarakan demonstrasi itu.

Peristiwa itu berkembang dengan bernada perkauman. 

Ia bukan saja soal sekumpulan penduduk tempatan miskin melancarkan aksi protes kepada pemaju kapitalis dan pemerintah tempatan yang mendokongnya, tetapi ia mencerminkan usaha orang Melayu memperjuangkan survivalnya di tanah airnya sendiri, sebab itu ia menghunakan perkataan "bumi" dan bukannya "dunia". 

Tanah air orang Melayu bukan saja Batam, tetapi juga wilayah Riau dan pulau besar Sumatera. 

Penjajahan Singapura?

Perkara ini menjadi sensitif lebih-lebih lagi pemaju itu adalah dari Singapura yang tanpa penjelasan, sudah dapat dirumuskan ia datang dari ahli perniagaan kaum Cina. 

Batam adalah salah sebuah daripada 320 pulau di provinsi Riau dan merupakan barisan depan Indonesia menghadapi Singapura. 

Bukan sahaja ia strategik dari segi ekonomi dan pertahanan tetapi pada sudut geografi, seseorang boleh melihat Singapura dari Batam. 

Dengan perbezaan pembangunan antara dua pulau itu, maka pasti pembangunan Singapura melimpah ke Batam.

Dalam YouTube banyak disiarkan mengenai bagaimana Batam menjadi "Singapura Indonesia" di mana pelancongan dari republik itu meningkatkan kemajuan ekonomi pulau itu. 

Batam adalah seperti Johor yang memperoleh manfaat dari kemajuan Singapura. 

Atau dari sudut lain, Singapura memperoleh manfaat daripada ketinggalan ekonomi Johor dan Batam. 

Kedua-dua negara, Malaysia dan Indonesia menggalakkan curahan modal dan keusahawanan Singapura. 

Malah pernah satu masa ada program yang disebut sebagai "pembangunan segi tiga Sijori" (Singapura, Johor dan Riau).

Tetapi Batam mempunyai sasaran istinewa Singapura. 

Ada satu dokumentari ringkas Indonesia yang disiarkan dalam media sosial menunjukkan bahawa bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew pernah mencadangkan kepada presiden Indonesia ketika itu, B J Habibie supaya memajakkan Batam kepada republik itu selama 100 tahun. 

Tentulah perkara ini ditolak oleh Habibie yang menganggap cadangan itu sebagai mencabar kedaulatan Indonesia.

Lagipun sejarah sudah menunjukkan betapa pajak-memajak ini adalah kaedah British menjajah dunia timur. 

Mereka dapat menjajah Hong Kong dengan kaedah ini. 

Hilangnya kampung Melayu

Di Tanah Melayu pula, Kedah kehilangan Pulau Pinang dan Seberang Perai kepada British. 

Malah Singapura yang asalnya milik Kesultanan Johor-Riau terlepas kepada British. 

Tetapi apabila British meninggalkan Singapura dan ia menjadi merdeka.

Ia dikuasai oleh penduduk kaum Cina yang menjadi majoriti di situ.

Kehancuran kerajaan Johor-Riau berlaku dengan perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 apabila Riau diberikan kepada Belanda dan Johor serta Singapura diletakkan di bawah penguasaan Inggeris. 

Perjanjian itu ditandatangani di Batam.

Kerajaan Johor-Riau adalah pewaris kesultanan Melaka dan ia merupakan negara terakhir Melayu sebelum semua wilayahnya jatuh pada penguasaan British dan Belanda. 

Ungkapan "Takkan Melayu hilang di dunia" dikatakan diucapkan oleh Hang Tuah dan ia diabadikan di Muzium Negara pada patung gangsa beliau, yang separuh daripada arca itu dilekatkan pada dinding hujung tingkat atas galeri bangunan. 

Muzium Negara mula dibuka pada tahun 1963, tahun Malaysia ditubuhkan.

Kata-kata itu sering disebut-sebut bagi menaikkan semangat orang Melayu untuk mempertahankan tanah air supaya bangsa tidak pupus. 

Anggapan umum ialah kata-kata itu diucapkan oleh Hang Tuah dan diabadikan dalam manuskrip purba, Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Walaupun begitu, hakikatnya ialah ungkapan itu tidak pernah diucapkan oleh Hang Tuah dan tidak ada disebut dalam Sejarah Melayu atau Hikayat Hang Tuah. 

Ia sebenarnya adalah hasil karya penulis yang juga pejuang kemerdekaan, A Samad Ahmad dalam novelnya, “Dosaku”, pertama kali diterbitkan pada tahun 1946.

Tahun itu, orang Melayu melalui kepimpinan Onn Jaafar bangkit membantah Malayan Union dan ungkapan berkenaan menjadi popular dan muncul sebagai gagasan yang kukuh dalam minda kolektif bangsa. 

A Samad Ahmad adalah ketua pengarang akhbar Majlis dan antara tokoh pengasas Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebelum Perang Dunia Kedua bersama tokoh-tokoh nasionalis zaman itu, Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Haji Muhammad. 

Bagaimanapun beliau tidak terus menjadi ahli politik tetapi muncul sebagai sasterawan. 

Rupa-rupanya kisah penghapusan kampung-kampung Melayu terus berlaku. 

Singapura muncul sebagai negara maju antara lain di atas penghapusan kampung-kampung Melayu di pesisir pantainya. 

Tetapi kini ia turut berlaku di Pulau Pinang apabila kampung-kampung nelayan di sana dihapuskan untuk memberi laluan kepada pembinaan kondominium bernilai tinggi. 

Makah, penghapusan kampung Melayu turut berlaku di Kuala Lumpur, seperti di Kampung Chubadak beberapa tahun lalu.

Walaupun "Takkan Melayu hilang di dunia" tetapi kampung Melayu akan hilang dari muka bumi.