Saturday, July 2, 2022

Cadangan beri kerja kepada pelarian, pekerja asing tanpa dokumen disambut baik

Mereka berkata bilangan pekerja asing tanpa dokumen dan pelarian yang ada di Malaysia cukup untuk menampung keperluan industri.

Other News

Pakar ekonomi dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NG0) menyambut baik cadangan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) untuk menggajikan pelarian dan migran tanpa dokumen sebagai penyelesaian kepada masalah kekurangan buruh di negara ini.

MEF sebelum ini menyatakan, industri perladangan kerugian RM30 bilion kerana kekurangan tenaga buruh.

Dilema itu turut menjangkiti sektor lain seperti pembuatan, pelancongan dan pembinaan.

Penganalisis ekonomi, Barjoyai Bardai dari Universiti Tuanku Abdul Rahman berkata, dari segi kos, negara akan dapat menjimatkan perbelanjaan dan bebanan menjaga kumpulan yang besar ini dari segi kos sara hidup.

“Kita akan serta merta memanfaatkan kumpulan sumber manusia lebih 100,000 orang yang kini merasakan mereka terseksa kerana disekat pergerakannya di kem tahanan,” katanya kepada MalaysiNow.

“Mereka sudah bosan menunggu bila mereka akan dihantar ke negara ketiga sebagai negara destinasi bila mereka akan dijadikan warganegara baru.”

Sementara Mahi Ramakrishnan, aktivis daripada kumpulan Beyond Borders berkata, walaupun kesan kemasukan pelarian dan pekerja asing tanpa dokumen terhadap peluang pekerjaan rakyat tempatan sering disebutkan, kekurangan pekerja di sesetengah sektor menjadikan langkah menyerap golongan tersebut berhemah.

“Apa yang penting memastikan mereka diberikan hak dan manfaat termasuk pakej gaji.

“Apa yang menjadi kebimbangan ialah salah guna dan eksploitasi para pekerja,” katanya.

Antara penyalahgunaan pekerja migran termasuk tidak membayar gaji, menyekat pasport milik mereka dan melaporkan kehadiran mereka kepada pihak berkuasa selepas kerja disiapkan bagi mengelak membayar gaji.

Menurut Mahi, mekanisme aduan yang berkesan mesti dilaksanakan dan laporan perlu diambil serius.

Menurut statistik, Malaysia mempunyai hampir setengah juta pelarian yang mana pelarian etnik Rohingya menjadi kumpulan terbesar dengan 100,000 pelarian berada di Malaysia.

Katanya, Malaysia mempunyai pekerja asing tanpa dokumen dan pelarian yang cukup untuk menampung keperluan industri.

“Ia tidak masuk akal untuk membawa pekerja dari luar,” katanya.

Seramai 500,000 pekerja Bangladesh dijadualkan memasuki Malaysia tahun ini untuk memenuhi keperluan industri.

Bagaimanapun, Barjoyai menimbulkan persoalan selepas mereka diambil bekerja.

“Mereka akan menjalani hidup biasa dan hidup bersama masyarakat kita, tapi untuk berapa lama?

“Adakah kita akan terus menjadikan mereka warganegara atau mereka akan terus menunggu untuk berhijrah ke negara ketiga,” soalnya.

Ini kerana menurut Barjoyai, mengekalkan status mereka sebagai pelarian akan merendahkan motivasi untuk bekerja.

Pelarian Rohingya terutamanya, merupakan petani dan nelayan di negara asal mereka.

Justeru, menurut Barjoyai mereka mungkin tidak mempunyai kemahiran untuk pekerja di sektor perladangan atau sektor kotor, bahaya dan sukar (3D).

“Saya rasa kita perlu kelaskan kumpulan pelarian mengikut kemahiran, minat dan kelayakan dan cuba masukkan mereka ke dalam sektor yang paling sesuai untuk mereka.

“Di mana pun mereka ditempatkan, mereka perlu diambil berasaskan pada kaedah suka-sama-suka dan tidak mengerah kesemuanya sekali,” katanya.

Sementara itu, aktivis Rohingya di Malaysia, Mohamad Sadek Ali Hussein, Rohingya sebagai mangsa genosid menjadi golongan paling rentan sementara menunggu penyelesaian jangka masa panjang.

“Jadi, sebarang kebarangkalian pekerjaan sementara akan dihargai dan ia merupakan satu usaha dari Malaysia untuk menamatkan krisis pelarian selain satu langkah ke depan dalam menghapuskan kemiskinan,” katanya.

Dalam pada itu, Mahi berkata, kadar gaji minimum yang ditetapkan kerajaan ketika ini sangat rendah sehingga menyukarkan pekerja tempatan menanggung keluarga.

“Tidak banyak bukti bahawa kemasukan migran merendahkan gaji pekerja tempatan yang kurang berkemahiran yang sekarang ini pun dibayar dengan rendah.

“Penyerapan migran berkemahiran tinggi atau pelarian ke dalam pasaran kerja akan meningkatkan inovasi dan kesan positif terhadap produktiviti dalam jangka masa panjang.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles