- Iklan -
Berita

Harapan tipis pulih ekonomi di bawah Anwar, lapor firma UK menjelang setahun kerajaan PH-BN

Penilaian negatif itu muncul di sebalik kaji selidik terkini menunjukkan penerimaan lemah rakyat terhadap pentadbiran Anwar Ibrahim.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Seorang pakar ekonomi memberikan gambaran suram mengenai pertumbuhan ekonomi Malaysia di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim, dan menganggap pencapaian perdana menteri "sangat terhad" dalam melaksanakan janji reformasi ketika berusaha mengekalkan kuasa melalui kerjasama dengan Umno.

Gareth Leather, penganalisis kanan ekonomi di Capital Economics, sebuah firma jururunding kewangan global berpangkalan di London, turut meramalkan pertumbuhan ekonomi yang perlahan untuk Malaysia, sambil berkata peluang "amat tipis" untuk melaksanakan pembaharuan di bawah pentadbiran ini.

"Kurangnya pencapaian dalam melaksanakan reformasi akan menghalang prospek jangkamasa panjang negara, beserta prospek demografi yang semakin merosot - iaitu kejatuhan mendadak kadar peningkatan penduduk dalam lingkungan usia bekerja dalam dekad yang akan datang - adalah sebab utama mengapa kami berpandangan trend pertumbuhan ekonomi di Malaysia akan merudum daripada sekitar 4.5% ketika ini kepada 3.5% menjelang 2030," katanya dalam laporan firma itu yang diterbitkan menjelang ulang tahun pertama pelantikan Anwar sebagai perdana menteri.

Ia muncul di sebalik penemuan kaji selidik terbaru dikeluarkan semalam yang menunjukkan tahap penerimaan rendah di kalangan rakyat terhadap kerajaan.

Tinjauan pendapat Merdeka Center mendapati hanya 50% daripada responden berpuas hati dengan kepimpinan Anwar, penurunan daripada 68% ketika beliau dilantik mempimpin kerajaan campuran yang dibentuk susulan parlimen tergantung selepas pilihan raya umum tahun lepas.

Penerimaan rendah terhadap kepimpinan negara kebanyakannya berpunca daripada pengurusan ekonomi, yang menyaksikan rasa tidak puas hati secara keseluruhan terhadap kerajaan pada 48%, di samping kira-kira 60% rakyat yang menganggap negara berada di landasan salah.

Dalam laporannya, Leather berkata harapan terhadap Anwar adalah kecil ketika beliau mengambil alih tampuk kuasa, dan hakikat kerajaan campurannya masih wujud sekarang telah "melebihi jangkaan beberapa penganalisis".

"Dengan kedudukan beliau yang lemah di Parlimen, kami tidak menjangkakan ia akan berubah dalam masa terdekat, dan keyakinan kami adalah di tahap lemah untuk jangkamasa pertengahan negara," tambahnya.

Menurutnya, kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Umno, yang hilang kuasa selepas beberapa siri skandal rasuah seperti 1MDB, menyukarkan Anwar untuk melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan.

Ini termasuk kritikan terhadap penyalahgunaan dasar Bumiputera, yang menurut Leather telah menyisihkan bangsa lain dalam sektor seperti pendidikan, kewangan dan kerajaan.

"Anwar dan gabungan PH mendapat sokongan besar daripada minoriti India dan Cina, dan meletakkan reformasi sistem yang ada sebagai bahagian penting dalam agenda mereka. Prospek reformasi untuk penggal Parliman ini adalah tipis."

Dengan merujuk beban hutang kerajaan, iaitu antara yang tertinggi di rantau ini pada 70% daripada KDNK, Leather mengambil maklum usaha memperbaiki kedudukan fiskal, seperti penghapusan subsidi makanan dan tenaga, dan cadangan memperkenalkan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal untuk mengurangkan defisit belanjawan.

"Bagaimanapun, pergantungan kepada sokongan Umno telah menyukarkan Anwar untuk meneruskan pembaharuan penting lain yang dijanjikannya ketika menjadi perdana menteri."

Sejak pelantikannya, Anwar melancarkan serangan ke atas pemimpin pembangkang dengan menuduh mereka mengamalkan rasuah, disusuli dengan tangkapan beberapa ahli politik Perikatan Nasional yang kemudian didakwa secara kontroversi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Tetapi Leather berkata pencapaian kerajaan dalam melawan rasuah adalah terlalu kecil, dan merujuk keputusan kerajaan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi melalui kuasa peguam negara.

“Keputusan selepas itu untuk tidak merayu pembebasan bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes meminda laporan audit 1MDB hanya meningkatkan bantahan,” katanya.

Pada November tahun lalu, Anwar memutuskan untuk menamatkan permusuhan dengan Umno dalam usaha mendapatkan sokongan parti itu kepada PH membentuk kerajaan, susulan tiada satu gabungan mencapai majoriti mudah selepas pilihan raya umum.

Beliau menjenamakan pentadbirannya sebagai "kerajaan perpaduan" dengan slogan "Malaysia Madani" dipromosikan secara agresif melalui media kerajaan.

Penyokong kerajaan mempertahankan kerjasama dengan Umno sebagai kompromi yang diperlukan demi kestabilan politik.

Bagaimanapun, beberapa siri pusingan U terhadap reformasi politik dan ekonomi, termasuk keputusan kontroversi untuk menghentikan perbicaraan rasuah Zahid, telah meningkatkan kritikan terhadap kerajaan campurannya.

Ini ditambah dengan kemerosotan ringgit yang dianggap mata wang paling tercorot di rantau ini, mencecah nilai terendah sejak krisis mata wang Asia pada 1990-an, di samping aliran keluar RM4.2 bilion daripada pasaran ekuiti pada separuh pertama tahun ini.