- Iklan -
Berita

Keputusan speaker dinanti di sebalik kebimbangan kerajaan sekali lagi ditolak pengundi Melayu

Enam pilihan raya kecil bakal diadakan di kawasan majoriti Melayu selepas wakil rakyat berdepan kehilangan kerusi mereka kerana bertindak di luar pendirian parti.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Enam ahli Parlimen Bersatu yang menunggu kerusi mereka dikosongkan (atas, kiri ke kanan) Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli); (bawah) Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Enam ahli Parlimen Bersatu yang menunggu kerusi mereka dikosongkan (atas, kiri ke kanan) Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli); (bawah) Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Walaupun speaker mempunyai kuasa untuk menentukan status kerusi-kerusi dipegang ahli Bersatu yang berpaling tadah daripada pendirian parti untuk menyokong kerajaan, apa-apa keputusan masih tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, kata bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Harun, ketika blok kerajaan dilihat bakal menerima pukulan di enam pilihan raya kecil di kawasan majoriti Melayu.

Azhar yang juga seorang peguam bekata speaker perlu menentukan sama ada telah berlaku kekosongan mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 21 hari, selepas menerima notis bertulis daripada mana-mana ahli Parlimen berhubung kekosongan. 

"Soalnya di sini ialah sama ada ahli-ahli tersebut telah gugur keahlian parti yang diwakili mereka semasa Pilihan Raya Ke-15 lalu," Azhar yang menjadi speaker dari Julai 2020 sehingga PRU yang lalu, memberitahu MalaysiaNow.

Perkara 49A menyatakan seorang wakil rakyat hilang kerusinya apabila melepaskan keanggotaan atau tidak lagi menjadi anggota parti politiknya, atau menyertai parti politik lain sebagai ahli setelah dipilih ke Dewan Rakyat.

Selepas tindakan beberapa wakil rakyatnya menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim walaupun tanpa meluar parti, Bersatu meminda perlembagaannya di mana mana-mana ahli yang tidak selari dengan pendirian parti akan gugur keahliannya, status yang akan menyebabkan mereka tidak lagi menjadi ahli Dewan.

Enam ahli Parlimen dari Bersatu yang bertindak di luar pendirian parti dengan menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang, Abdul Rashid Asari turut mengumumkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Bekas speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.
Bekas speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Azhar berkata, sekiranya keahlian mereka gugur secara automatik sejajar dengan pindaan perlembagaan Bersatu itu, kes mereka akan tertakluk di bawah Perkara 49A(1)(A)(II).

Menurut peruntukan itu, mana-mana wakil rakyat yang gugur keahlian partinya akan menyebabkan kerusinya diisytiharkan kosong oleh speaker.

Menurut Azhar, langkah seterusnya ialah untuk mana-mana ahli Parlimen memberikan notis kepada speaker mengenai dakwaan kekosongan, seperti disebut dalam Perkata 49A(III).

Pertanyaan MalaysiaNow sama ada notis sedemikian sudah dihantar kepada speaker masih belum dijawab Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin.

Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul juga tidak memberikan sebarang maklum balas.

Notis kekosongan belum diberi

Pada 2022, pentadbiran perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob meluluskan undang-undang anti-lompat parti, sebagai memenuhi perjanjian yang dimeterai dengan Pakatan Harapan (PH).

Namun terdapat kelompongan dalam pindaan itu, apabila enam ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar masih kekal dalam blok pembangkang.

Situasi itu menyebabkan Bersatu meluluskan pindaan perlembagaannya, yang kemudian diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Setakat semalam, enam ahli Parlimen yang berpaling tadah itu masih belum menerima notis daripada parti mereka, menurut Syed Abu Hussin.

MalaysiaNow difahamkan, kelewatan memberi notis kekosongan kerusi kepada speaker merupakan langkah Bersatu memberikan peluang kepada enam wakil rakyatnya untuk kembali ke blok PN.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata jika mereka masih kekal menyokong perdana menteri, kerusi mereka akan dikosongkan.

Syed Abu Hussin, wakil rakyat kelima mengumumkan sokongan kepada Anwar, sebelum ini berkata beliau lebih rela menyokong kerajaan daripada terus bersama Bersatu dan kekal statusnya sebagai ahli Parlimen.

Pendirian ini dilihat masih kekal sehingga hari ini.

"Kita bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengosongkan kerusi sekiranya ia kenyataan yang perlu diterima," katanya pada Februari lalu.

Defisit sokongan Melayu berterusan

Bagaimanapun, keyakinan Syed Abu Hussin tidak dikongsi pemerhati, yang berpendapat siri PRK yang bakal diadakan akan memberikan satu lagi tamparan kepada kerajaan campuran PH-BN yang masih bergelut dengan defisit sokongan Melayu.

6MP_Bersatu_BMIni kerana jumlah majoriti diperolehi Bersatu, yang bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN), adalah terlalu besar walaupun berdepan dengan Umno yang ketika itu belum bergabung dengan PH.

Di Bukit Gantang yang mempunyai 76% pengundi Melayu, Syed Abu Hussin meraih majoriti 12,756 mengalahkan calon dari Umno, Amanah dan Pejuang.

Begitu juga di Kuala Kangsar dengan majoriti 70% pengundi Melayu, Iskandar mengalahkan kedua-dua calon Umno dan Amanah.

Hal yang sama berlaku di Tanjong Karang, di mana Zulkafperi menumpaskan calon Umno dan calon Muda yang ketika itu di bawah PN, di kerusi dengan peratusan Melayu 73%.

Di Labuan dengan penduduk Melayu dan Bumiputera melebihi 80%, Suhaili menang dalam pertandingan enam penjuru.

Dua lagi wakil rakyat berpaling tadah bertanding dengan tiket PAS di Kelantan, iaitu Zahari di Jeli dan Azizi di Gua Musang.

Zahari menang dengan majoriti lebih 12,000 undi meninggalkan jauh tiga pencabarnya, manakala di Gua Musang, Azizi menempa sejarah apabila menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah yang mewakili kawasan Orang Asli itu selama lebih empat dekad.