- Iklan -
Berita

Dihantui pembunuhan di Gaza, tiada Hari Raya untuk pemuda Palestin ini

Yousuf Abuassi dilanda perasaan gelisah memikirkan keluarganya di Gaza yang tidak dapat dihubungi selama beberapa bulan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Melihat apa yang berlaku di Gaza, Yousuf Abuassi tidak sanggup turut sama dalam kemeriahan Hari Raya tahun ini.
Melihat apa yang berlaku di Gaza, Yousuf Abuassi tidak sanggup turut sama dalam kemeriahan Hari Raya tahun ini.

Ketika umat Islam di Malaysia teruja pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, Yousuf Abuassi, 26, dilanda kegelisahan.

Sejak Oktober lalu, pemuda Palestin ini sukar menghubungi ahli keluarganya yang tinggal di wilayah yang kini musnah ranap akibat kempen pembedilan Israel itu.

Yousuf datang ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran dan mencari pekerjaan supaya dapat menghantar wang pulang kepada keluarganya. 

Kali terakhir dia menghubungi mereka beberapa bulan yang lalu.

"Ibu bapa saya dan 11 adik beradik saya semuanya di sana," katanya kepada MalaysiaNow ketika ditemui baru-baru ini di perhimpunan bantah Israel di kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

"Seorang daripada mereka telah syahid tiga setengah bulan lalu. 19 sepupu saya telah syahid manakala ada yang hilang anggota badan. Sudah empat bulan sejak saya mendengar suara ibu."

Daripada lebih 187,000 pelarian yang didaftarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian di Malaysia, kurang daripada 1,000 adalah rakyat Palestin yang melarikan diri dari konflik di wilayah yang diduduki Israel itu.

Lebih 30,000 orang terkorban di Gaza sejak Israel melancarkan kempen pengeboman besar-besaran di semenanjung itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Terima ugutan

Yousuf amat terganggu dengan klip dan gambar kemusnahan Gaza yang dilihatnya, dan bertekad untuk melakukan apa yang mampu membela rakyat Palestin.

Dia mula berkongsi berita dan klip video di laman media sosialnya dengan matlamat menyebarkan kesedaran khususnya kepada rakyat Malaysia.

Akaun Instagram dan TikToknya mula mendapat tarikan sehingga dia mempunyai hampir 200,000 pengikut di kedua-dua platform tersebut.

Klip videonya dirakam saudara mara dan kenalan lain yang masih berada di Gaza. 

Sebaik sahaja menerimanya, dia menyuntingnya dan memuat naik bersama sari kata bahasa Melayu.

"Sebelum perang, saya tidak dikenali di sini. Tetapi pengguna mahu mendapatkan kemas kini melalui muat naik saya di Instagram dan TikTok, dan saya melakukannya secara konsisten," kata Yousuf, yang menyara hidup di Malaysia dengan berniaga.

Bagaimanapun, dia menerima ancaman dalam talian, dan akaun TikTok dan Instagramnya disekat pada awalnya.

“Di ruang komen, saya dituduh kononnya saya diupah Hamas untuk bercakap mengenai Palestin, dan menjadi sebahagian daripada mujahidin, itu tidak benar,” katanya.

“Baru-baru ini, saya menerima panggilan daripada nombor tempatan. Orang itu bercakap dalam bahasa Melayu, dan memberi amaran kepada saya untuk tidak menyiarkan apa-apa di media sosial lagi.

"Saya membuat laporan polis, dan sekumpulan pegawai polis datang ke rumah saya untuk memastikan keselamatan saya."

Di sekeliling Yousuf, kemeriahan Hari Raya jelas terasa, tetapi hatinya tidak sanggup untuk menyambutnya tahun ini.

Yousuf sudah lebih sedekad di Malaysia, dan mendirikan rumah tangga dengan wanita Melayu yang berasal dari utara Selangor. Baju Melayu lamanya masih tergantung di dalam almari, dan rendang menanti di dapur.

Bagaimanapun, kemeriahan itu tidak dirasainya.

"Saya membeli beberapa baju raya untuk isteri dan anak, tetapi bukan untuk diri sendiri. Saya hanya akan menunaikan solat Aidilfitri, dan kemudian pulang ke rumah. 

"Buat masa ini, saya bimbang keselamatan saya," katanya mengimbau penahanan seorang lelaki Israel baru-baru ini di Malaysia.

Hatinya berdebar setiap kali mengingati nasib keluarganya di Gaza, dan bagaimana mereka terpaksa tidur di jalanan selepas rumah mereka musnah.

"Peperangan kali ini adalah yang paling dahsyat. Semasa saya di Gaza, paling lama perang berpanjangan dua bulan, tetapi kali ini ia berterusan selama setengah tahun," katanya.