Monday, July 4, 2022

Seorang lagi warga Malaysia bakal dihukum bunuh di Singapura ketika protes makin memuncak

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty berkata pelaksanaan hukuman itu menjadikan Perkhidmatan Penjara Singapura dan menteri dalam negerinya ‘secara jelas menghina mahkamah'.

Other News

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) mengecam rancangan Singapura untuk melaksanakan hukuman mati terhadap seorang lagi banduan bilik akhir warga Malaysia di Penjara Changi walaupun proses cabaran undang-undangnya masih berjalan di Mahkamah Tinggi republik itu.

LFL berkata keluarga Datchinamurthy Kataiah dimaklumkan mengenai pelaksanaan hukuman matinya yang dijadualkan pada 29 April dalam surat bertarikh 21 April.

Pelaksanaan itu tetap diteruskan walaupun prosiding cabaran undang-undang di mahkamah dijadualkan pada 20 Mei.

“Notis pelaksanaan yang tetap dikeluarkan walaupun prosiding undang-undang sedang berjalan adalah pelanggaran ke atas hak Datchinamurthy untuk hidup dan hak mendapatkan perbicaraan adil yang terkandung dalam Perkara 9(1) Perlembagaan.

“Tiada negara bertamadun dalam dunia ini laksana hukuman gantung pada seseorang ketika proses mahkamah sedang berjalan,” kata LFL dalam sebuah kenyataan dikeluarkan penasihatnya, N Surenran.

“Dengan mengeluarkan notis pelaksanaan hukuman ini, Perkhidmatan Penjara Singapura dan menteri dalam negeri Singapura secara jelas dan serius menghina mahkamah. Peguam negara Singapura yang tahu dan terlibat dalam pelaksanaan hukuman tersebut turut dianggap menghina mahkamah.”

Datchimamurthy yang disabitkan bersalah pada 2015 kerana menyeludup 44.96g diamorfin ke negara itu dijadualkan menjalani hukuman gantung sampai mati dua hari selepas pelaksanaan hukuman terhadap Nagaenthran K Dharmalingam, seorang lagi warga Malaysia yang ditolak rayuan pengampunannya pada 31 Mac lalu.

LFL berkata notis pelaksanaan hukuman terhadap Datchinamurthy yang dijadualkan selang beberapa hari selepas Nagaenthran menunjukkan Singapura dengan jelas sedang “mengadakan pelaksanaan hukuman mati secara melulu, tanpa menghiraukan kedaulatan undang-undang dan norma–norma sivil.”

NGO itu juga turut menggesa kerajaan Singapura segera membatalkan notis pelaksanaan hukuman itu dan membenarkan proses mahkamah berjalan.

“Untuk menyekat seseorang banduan bilik akhir daripada akses mahkamah dengan menjalankan hukuman ke atasnya sebelum pendengaran kes adalah satu pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa dan Perlembagaan Singapura,” katanya.

“Ia hanya akan menjadikan Singapura sebagai negara pariah.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles