Wednesday, May 18, 2022

Najib perlu fail permohonan lantik peguam diraja selewat-lewatnya akhir Mei

Jika permohonan itu tidak berjaya, bekas perdana menteri tersebut perlu mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Other News

Najib Razak perlu memfailkan permohonan untuk melantik peguam diraja (QC) dari United Kingdom mewakili beliau dalam rayuan terakhirnya bagi kes membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selewat-lewatnya pada akhir Mei.

Timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, yang mengesahkan perkara itu, berkata jika permohonan itu tidak berjaya, bekas perdana menteri tersebut perlu mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

“Sementara itu, pendengaran rayuan utama akan ditetapkan selepas permohonan QC dimuktamad. Pembelaan akan menulis kepada mahkamah untuk memaklumkan tarikh yang sesuai untuk QC menghadiri pendengaran rayuan utama selewat-lewatnya pada 18 April.

“Pembelaan turut memohon pelanjutan masa untuk memfailkan petisyen bagi rayuan utama selama dua minggu lagi. Bagaimanapun, mahkamah telah mengarahkan mereka untuk memfailkan permohonan rasmi selewat-lewatnya pada 11 April,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas prosiding maya yang berlangsung di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah Zahara Wan Yussof dan Siti Hajar Mustaffa.

Pada 25 Januari lepas, firma guaman Tetuan Shafee & Co telah menyerahkan surat kepada setiausaha Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengenai hasrat Najib melantik QC untuk membantu beliau berhubung isu kompleks dan persoalan undang-undang dalam rayuan kes SRC di Mahkamah Persekutuan.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Najib kemudian memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles