- Iklan -
Berita

Peguam Singapura gesa Putrajaya bawa kes Nagaenthran ke Mahkamah Antarabangsa

M Ravi berkata keputusan Singapura untuk menolak rayuan Nagaentran K Dharmalingam adalah satu 'pelanggaran yang sangat buruk terhadap undang-undang antarabangsa'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis mengangkat plakad selamatkan Nagaenthran K Dharmalingam ketika penyerahan memorandum kepada pihak Parlimen November tahun lalu.
Aktivis mengangkat plakad selamatkan Nagaenthran K Dharmalingam ketika penyerahan memorandum kepada pihak Parlimen November tahun lalu.

Peguam hak asasi terkemuka M Ravi hari ini menggesa kerajaan Malaysia untuk membawa kes seorang warga Malaysia yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental ke Mahkamah Antarabangsa susulan keputusan Mahkamah Agung Singapura yang menolak rayuan hukuman mati Nagaentran K Dharmalingam.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Ravi menyifatkan keputusan mahkamah hari ini sebagai satu perkara yang “sangat mengejutkan”, mengatakan Nagaentran tidak diberi peluang untuk dinilai oleh pakar psikiatrinya.

“Tanpa memberi peluang untuk dia dinilai dengan betul, dan dihukum mati, adalah satu hal mensia-siakan keseluruhan proses kehakiman,” katanya sambil menambah keputusan mahkamah hari ini adalah “sangat membimbangkan”.

Beliau juga mempersoalkan kenyataan mahkamah yang mengatakan walaupun Singapura menandatangani perjanjian antarabangsa yang melarang hukuman mati ke atas OKU mental, republik itu tidak perlu mematuhinya sehingga ia digubal pada peringkat tempatan.

“Bagi saya, ini merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa berhubung perlindungan orang yang kurang keupayaan intelek,” katanya.

“Saya akan mohon kerajaan Malaysia bawa perkara ini ke Mahkamah Antarabangsa, dan meminta penangguhan sementara secara serta-merta kerana keputusan ini sebenarnya merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang sangat buruk.”

Nagaenthran, yang didiagnosis mempunyai skor IQ 69 – di bawah nilai ambang 70 bagi membolehkan seseorang diisytiharkan sebagai OKU – ditahan pada 2009 kerana mengedar sejumlah kecil heroin ke Singapura.

Dia dijatuhkan hukuman mati setahun selepas penangkapannya.

Kes Nagaenthran juga turut mencetuskan kecaman antarabangsa di mana pemimpin Malaysia termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, serta personaliti seperti taikun Britain Richard Branson menulis surat rayuan kepada kerajaan Singapura supaya hukumannya diringankan.

Dalam pada itu, kumpulan undang-undang yang berpangkalan di UK, Reprieve berkata, kerajaan Singapura menyatakan dengan jelas komitmennya untuk memperjuangkan hak OKU.

“Membiarkan penghinaan terhadap keadilan ini berlaku adalah bercanggah dengan janji-janji yang diberikan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan selepas penghakiman mahkamah.

“Kami menggesa Presiden Halimah Yacob untuk mendengar seruan yang memohon belas kasihan di Singapura dan di seluruh dunia, dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehinggalah rayuan daripada pemimpin perniagaan global supaya nyawa lelaki ini diselamatkan.”

Dalam pada itu, Ravi berkata beliau dan rakan peguamnya Violet Netto “dikecam dan dikritik” oleh mahkamah hari ini kerana memfailkan rayuan mewakili Nagaenthran.

“Mengapa kami perlu hadapi semua tindakan tatatertib ini kerana mewakili kes seperti ini?” katanya.

“Mengapa peguam seperti kami berdiri? Apa habuan yang kami dapat daripada usaha ini kecuali penghinaan dan kerosakan terus dilakukan negara?”