- Iklan -
Berita

Seorang lagi banduan bilik akhir Singapura bakal jalani hukuman mati menjelang Ramadan

Seorang aktivis berkata pelaksanaan ini menimbulkan kebimbangan mengenai pihak berkuasa yang dilihat 'cuba membersihkan tunggakan kes' di penjara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Van jenazah memasuki Penjara Changi di Singapura dalam sebuah gambar fail. Kerajaan Singapura sering memetik undang-undang keras termasuk hukuman mati sebagai pencegah kepada jenayah berkaitan dadah. Gambar: AFP
Van jenazah memasuki Penjara Changi di Singapura dalam sebuah gambar fail. Kerajaan Singapura sering memetik undang-undang keras termasuk hukuman mati sebagai pencegah kepada jenayah berkaitan dadah. Gambar: AFP

Pihak berkuasa Singapura bakal menjalankan hukuman mati terhadap seorang lagi banduan bilik akhir bagi kesalahan dadah, Abdul Kahar Othman pada 30 Mac depan, tiga hari menjelang bulan Ramadan.

Kumpulan Transformative Justice Collective (TJC) yang berpangkalan di Singapura berkata, keluarga Kahar dimaklumkan mengenai tarikh hukuman matinya pada 23 Mac lalu, menjadikannya banduan kelapan diberikan notis pelaksanaan hukuman mati sejak 2019.

Menurut TJC, Kahar yang berusia 68 tahun bergelut dengan penagihan dadah sejak berusia 16 tahun.

Kahar disabitkan dua pertuduhan mengedar 66.77g diamorfin pada 2013 dan dijatuhkan hukuman mati pada 2015.

“Hukuman mati adalah kejam dan satu pelaksanaan yang tidak boleh diubah dan sering dikenakan terhadap mereka yang mengalami penderitaan teruk dalam dunia yang tidak menyebelahi nasib mereka,” kata TJC.

“Kebanyakan orang yang dihukum mati di Singapura adalah orang yang ditindas secara perkauman di mana mereka mempunyai masalah kesihatan mental dan kurang upaya.

“Mereka hidup dalam kemiskinan tanpa akses kepada rawatan dan penjagaan yang cukup bagi masalah ketagihan mereka.”

Individu lain yang turut diberikan notis pelaksanaan hukuman mati di negara itu turut termasuk Nagaenthran K Dharmalingam, seorang warga Malaysia yang didiagnosis sebagai orang kurang upaya (OKU) mental.

Hukuman mati ke atasnya mengundang kritikan antarabangsa terhadap Singapura yang berkeras untuk meneruskan peruntukan hukuman tersebut.

Selain Nagaenthran, Pannir Selvam Pranthaman, Syed Suhail Syed Zin, Moad Fadzir Mustaffa, Roslan Bakar, Pausi Jefridin dan Rosman Abdullah juga merupakan banduan lain yang turut disenaraikan menjalani hukuman mati di negara itu.

Pada 16 Mac lalu, Roslan, Pausi dan Rosman gagal dalam rayuan bagi meringankan hukuman mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi republik itu berkata tiada hujah baru dibangkitkan perayu yang berbeza daripada pengakuan terdahulu, selain turut menuduh mereka menyalahgunakan proses mahkamah.

Sementara itu, rayuan terakhir Pannir turut ditolak mahkamah tahun lalu.

Penghakiman bagi rayuan yang dikemukakan pasukan peguam Nagaentran akan disampaikan pada 29 Mac.

Wartawan bebas Singapura Kirsten Han, yang aktif mengetengahkan kisah di sebalik banduan bilik akhir bagi kesalahan dadah turut menyatakan kebimbangannya pihak berkuasa penjara “sedang cuba membersihkan tunggakan (kes)”.

“Melihat apa yang berlaku, seakan setiap kali percubaan untuk melaksanakan hukuman mati terbantut, pihak berkuasa akan cari individu seterusnya (untuk dikenakan hukuman),” katanya dalam sebuah ciapan Twitter.

“Ia sudah tentu menguatkan lagi kebimbangan bahawa pihak penjara cuba membersihkan tunggakan kes dan ‘mengosongkan ruang’ (dalam penjara).”

Nagaenthran yang kini berusia 34 tahun ditahan pada 2009 kerana mengedar sejumlah kecil heroin ke Singapura, yang mempunyai peruntukan undang-undang dadah paling keras di dunia di mana dia dijatuhkan hukuman mati mandatori pada tahun berikutnya.

Penyokong Nagaenthran berkata lelaki yang mempunyai skor IQ 69 – di bawah nilai ambang 70 yang membolehkan seseorang itu diisytihar sebagai OKU – dipaksa melakukan jenayah tersebut.

Dia dijadualkan menjalani hukuman gantung pada November tahun lalu di mana ia mencetuskan kritikan ramai ekoran statusnya sebagai seorang OKU mental.

Selain Kesatuan Eropah (EU) yang mengkritik hukuman berkenaan, taikun syarikat penerbangan Britain Richard Branson juga turut mengecam keputusan mahkamah itu.

Menurut Amnesty International, Singapura adalah antara lebih 30 negara di seluruh dunia yang terus mengekalkan peruntukan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah.