- Iklan -
Berita

Mahkamah Singapura tolak rayuan hukuman mati 3 individu termasuk warga Malaysia

Hakim mengatakan tiada hujah baru dan berbeza daripada pengakuan terdahulu di mana ia sudah ditolak mahkamah selain turut menuduh mereka menyalahgunakan proses mahkamah.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Agung Singapura yang terdiri dari Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP
Mahkamah Agung Singapura yang terdiri dari Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP

Mahkamah Singapura pada Rabu menolak rayuan tiga lelaki yang dijatuhi hukuman mati bagi kesalahan berkait dadah walaupun mendapat kritikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan aktivis hak asasi manusia.

Warga Singapura Roslan Bakar dan Pausi Jefridin yang berasal dari Sabah ditahan pada 2008 atas tuduhan mengedar dadah dan dijatuhi hukuman mati dua tahun kemudian.

Selain mereka berdua, rayuan seorang lagi warga Singapura Rosman Abdullah turut ditolak.

Singapura mempunyai undang-undang kesalahan dadah paling keras di dunia dan sering menegaskan peruntukan hukuman mati di negaranya berkesan mencegah jenayah, walaupun pelbagai gesaan supaya pihak berkuasa republik itu mengambil pendirian “belas kasihan”.

Hakim Mahkamah Tinggi Kannan Ramesh ketika membacakan keputusan berkata tiada hujah baru dan berbeza daripada pengakuan terdahulu di mana ia sudah ditolak mahkamah, selain turut menuduh plaintif menyalahgunakan proses mahkamah.

“Dalam kes ini, ‘tujuan tidak relevan’ yang jelas dalam rayuan plaintif adalah niat tersembunyi bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman mati dengan tidak menghormati proses kehakiman,” kata hakim itu.

Aktivis hak asasi manusia M Ravi, yang membantu pasukan pembelaan mewakili tiga lelaki itu, berkata pihaknya sedang mempertimbangkan satu lagi rayuan di mahkamah.

Sebelum ini, PBB turut menggesa Singapura untuk menghentikan hukuman mati, di mana jika dijalankan ia akan menjadi pelaksanaan hukuman gantung pertama di negara itu sejak November 2019.

PBB berkata hukuman mati tidak selari dengan undang-undang antarabangsa berkenaan hak asasi manusia.

Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International juga turut menyifatkan rancangan pelaksanaan hukuman mati di negara itu sebagai “kejam” dan menggesa kerajaan Singapura melaksanakan moratorium terhadap hukuman mati.

Kumpulan hak asasi Malaysia Lawyers for Liberty juga turut membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan Pausi yang didiagnosis mempunyai skor IQ sebanyak 67 – di bawah nilai ambang 70 yang membolehkannya diisytiharkan sebagai orang kurang upaya (OKU) mental.

Kes Pausi serupa seperti apa yang dihadapi seorang lagi banduan bilik akhir, Nagaenthran K Dharmalingam yang juga merupakan warga Malaysia.

Ketetapan pelaksanaan hukuman mati ke atas Nagaenthran mencetuskan kritikan daripada pelbagai badan dan individu berpengaruh termasuk Kesatuan Eropah (EU).

Nagaenthran dijatuhkan hukuman mati pada 2010 kerana mengedar sejumlah kecil heroin ke Singapura.

Banduan OKU itu dijadualkan akan menjalani hukuman gantung pada November tahun lalu.

Bagaimanapun, dalam rayuan saat akhir, peguamnya memohon belas kasihan Mahkamah Rayuan supaya Nagaenthran diperiksa panel psikiatri bebas.

Mahkamah masih belum menetapkan keputusan berhubung rayuan tersebut.