Ketika PAS gembira Najib keluar penjara, Pejuang beri amaran undang-undang berdepan keruntuhan moral
Peguam Rafique Rashid berkata wujud persepsi orang ramai tentang sistem keadilan dua darjat, sambil menegaskan isu tahanan rumah dan pengampunan diraja merupakan dua perkara berasingan.
Parti komponen Perikatan Nasional (PN), Pejuang, mengambil pendirian berbeza daripada rakan-rakan gabungan pembangkang itu berhubung keputusan membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah, sambil memberi amaran ia boleh mewujudkan persepsi "dwi-standard yang parah" apabila rakyat marhaen dan golongan kayangan diberikan layanan berbeza.
PAS, yang menjadi parti teras PN, dan Wawasan mengalu-alukan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan semalam yang menetapkan syarat Najib menyelesaikan denda RM50 juta sebelum beliau dipindahkan ke kediamannya untuk menjalani baki hukuman penjara sehingga 2028.
Bagaimanapun, Pejuang mengingatkan tentang kesan keputusan itu terhadap konsep kesamarataan di sisi undang-undang, dan menggesa kerajaan tampil menjelaskan perkara ini secara telus.
"Kerisauan paling utama masyarakat hari ini ialah keruntuhan undang-undang moral. Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin hak sama rata, iaitu semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan dan layanan undang-undang yang sama rata.
"Jika tahanan rumah dilaksanakan tanpa garis panduan yang telus, ia akan mewujudkan persepsi dwi-standard yang parah, undang-undang tegas untuk rakyat marhaen, tetapi mahukan undang-undang yang lunak dan selesa untuk golongan kayangan," kata peguam dan ketua penerangan Pejuang, Rafique Rashid.
Pendirian itu tidak selari dengan PAS, yang melahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas perkenan yang diberikan kepada keputusan Lembaga Pengampunan.
"Perkembangan ini amatlah bermakna bukan sahaja kepada keluarga Najib tapi seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mengenang dan menghargai jasa selain khidmat bakti beliau sebagai pemimpin yang telah membawa pembangunan kepada negara serta kemakmuran kepada rakyat," kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, suatu pandangan serupa dengan Umno yang baru-baru ini menjalin semula kerjasama politiknya dengan PAS.
Sementara itu, Wawasan mengalu-alukan keputusan itu dengan menegaskan ia adalah prerogatif dan kuasa Agong yang wajar dihormati.
"Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengurniakan pengampunan, penangguhan hukuman dan pengurangan hukuman," kata Setiausaha Agung Wawasan, Saifuddin Abdullah.
Rafique berkata walaupun Agong memiliki budi bicara dan kuasa prerogatif di bawah Perlembagaan yang tidak boleh dicabar di mahkamah, isu tahanan rumah untuk Najib adalah berasingan daripada pengampunan diraja.
Beliau turut memberi amaran terhadap sebarang percubaan menghalang hak orang ramai untuk bersuara mengenai perkara itu.
"Menutup mulut rakyat daripada mempersoalkan pelaksanaan undang-undang adalah satu bentuk kezaliman pentadbiran," tambahnya.
Rafique berkata tiada peruntukan khusus atau akta nyata dalam sistem perundangan negara yang memperuntukkan hukuman berbentuk tahanan rumah untuk mana-mana pesalah.
"Cuma yang wujud sedia ada hanyalah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 berkaitan kuasa menteri dalam negeri untuk isytihar mana-mana kawasan atau premis sebagai 'penjara', tetapi ia tidak pernah direka untuk memberi layanan istimewa secara terpilih," katanya, sambil menambah pelaksanaan kuasa sedemikian "mestilah juga adil dan dilaksana dengan konsep keadilan".
Beliau berkata peguam negara dan menteri dalam negeri, yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Penjara, perlu menjelaskan asas perundangan bagi keputusan tersebut.
"Adakah syarat-syarat ketat yang melayakkan seseorang mendapat tahanan rumah? Adakah syarat-syarat yang dikhususkan? Bagaimana proses tapisan dan mekanismenya dilakukan?" soal Rafique.
"Rakyat tidak mahu melihat tahanan rumah bersyarat ini dikenakan atau diguna pakai semata-mata demi memuaskan hati kelompok elit politik tertentu."
Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara susulan sabitan kes SRC International.
Keputusan itu diumumkan lebih dua tahun selepas Lembaga Pengampunan, yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, di samping mengurangkan denda beliau daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Tidak lama selepas itu, kontroversi tercetus berikutan pendedahan bahawa sejurus sebelum turun takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah mencatatkan nota tambahan, atau adendum, kepada keputusan pengampunan tersebut, yang memerintahkan supaya Najib menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin kerajaan lain berulang kali menafikan kewujudan nota adendum itu, dan bertegas perkara tersebut hanya boleh diputuskan oleh mahkamah. Beberapa ahli politik kerajaan juga secara terbuka memberi amaran kepada Anwar supaya tidak membenarkan Najib menjalani hukuman di rumah; malah seorang menteri dari DAP, Nga Kor Ming, menawarkan untuk meletak jawatan sekiranya bekas pemimpin itu dibenarkan keluar penjara.
Najib sebelum ini memohon semakan kehakiman dalam usaha mendesak kerajaan melaksanakan perintah adendum tersebut.
Awal tahun ini, Najib sekali lagi mengemukakan permohonan pengampunan diraja kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Agong dan dianggotai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar, serta tiga lantikan lain.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.