Monday, October 18, 2021

Tiada keperluan jawatan timbalan speaker ketiga, kata PN

Menurut Perikatan Nasional dua jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat sudah memadai.

Other News

Perikatan Nasional (PN) berkata tiada keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menambah satu lagi jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat, mengatakan perkara itu tidak termaktub dalam persefahaman antara kerajaan dan pembangkang.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata kewujudan dua timbalan speaker Dewan Rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan sudah memadai selain pindaan tersebut memerlukan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“PN berpendirian persefahaman antara kerajaan dan pembangkang adalah terhad kepada perkara-perkara yang dipersetujui bersama secara jelas dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara perdana menteri dan Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhyiddin cadangan pindaan Perlembagaan tersebut tidak termaktub dalam persefahaman tersebut.

Katanya disebabkan itu tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaannya.

“Atas dasar ini, PN membuat pendirian untuk tidak menyokong sebarang cadangan pindaan Perlembagaan bagi tujuan ini.”

September lalu, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman berkata Perlembagaan perlu dipinda bagi menambah jumlah timbalan speaker Dewan Rakyat dari dua kepada tiga orang sudah dipersetujui blok kerajaan dan pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga dilihat menyokong cadangan tersebut.

Bagaimanapun, menurut Junaidi, cadangan berkenaan memang masih belum dibincangkan secara rasmi setakat ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian dari Umno Ahmad Maslan turut dinamakan sebagai calon timbalan speaker bagi menggantikan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said yang meletak jawatan.

Calon lain dinamakan bagi jawatan itu adalah Ahli Parlimen Teluk Intan dari DAP Nga Kor Ming juga dinamakan bagi mewakili pembangkang.

Namun, PN dilihat tidak setuju dengan pencalonan Ahmad dan penambahan timbalan speaker ketiga dari pembangkang selepas pimpinan gabungan itu bermesyuarat awal bulan ini.

MalaysiaNow juga difahamkan PN tidak akan menyokong Ahmad sesuai dengan prinsipnya untuk tidak akan menyokong mana-mana pemimpin yang terpalit kes jenayah untuk memegang jawatan kanan dalam kerajaan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles