- Iklan -
Berita

PN tidak sokong Ahmad Maslan sebagai timbalan speaker walau dibebas mahkamah

PN turut membantah jawatan ketiga timbalan speaker untuk dipegang ahli Parlimen pembangkang.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan. Gambar: Bernama

Enam parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk tidak menyokong rancangan Umno mencalonkan Ahmad Maslan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat walaupun ahli Parlimen Pontian itu dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram baru-baru ini, MalaysiaNow difahamkan.

PN juga turut membantah cadangan untuk mewujudkan jawatan timbalan speaker ketiga bagi menempatkan seorang ahli Parlimen daripada pembangkang.

Keputusan itu dicapai ketika mesyuarat kepimpinan tertinggi gabungan tersebut yang dipengerusikan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin malam tadi.

Seorang sumber yang mengetahui tentang mesyuarat malam tadi berkata keputusan untuk tidak menyokong Ahmad adalah sesuai dengan prinsip PN untuk tidak akan menyokong mana-mana pemimpin yang terpalit kes jenayah untuk memegang jawatan kanan dalam kerajaan.

“Hakikatnya, Ahmad Maslan dibebaskan kerana dia bayar kompaun,” kata sumber itu.

Ahmad, yang merupakan salah seorang penyokong kuat usaha bekas perdana menteri Najib Razak untuk menggulingkan kerajaan pimpinan PN pada Ogos lalu membayar kompaun bernilai RM1.1 juta yang dikenakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana agensi anti rasuah itu berkata ia adalah satu bentuk pemulangan aset.

Berikutan pembayaran kompaun tersebut, pihak pendakwaan menarik semula dua pertuduhan termasuk pengubahan wang haram kerana tidak mengisytiharkan dana yang diterimanya, dan memberikan pernyataan palsu kepada SPRM.

SPRM menamakan Ahmad sebagai salah seorang dari 80 entiti dan individu yang telah menerima wang berkaitan 1MDB.

Ahmad juga merupakan salah seorang sekutu Najib yang dalam kumpulan yang digelar sebagai “kluster mahkamah” kerana berdepan pertuduhan rasuah dan jenayah.

Susulan peletakan jawatan oleh Muhyiddin pada Ogos lalu, beliau memberikan sokongan PN kepada Ismail Sabri Yaakob bagi menggantikan beliau sebagai perdana menteri secara bersyarat antara lain menyatakan keanggotaan Kabinet tidak boleh dilantik daripada mereka yang menghadapi pertuduhan jenayah di mahkamah.

Sumber itu berkata walaupun pendirian PN untuk tidak menyokong Ahmad mungkin tidak memberi kesan dalam pelantikan jawatan timbalan speaker, ia bagaimanapun “sejajar dengan semangat prinsip tiada kluster mahkamah”.

Salah satu dari dua jawatan timbalan speaker kini tidak terisi sejak peletakan jawatan Azalina Othman Said dari Umno yang juga merupakan salah seorag ahli Parlimen lain yang menjadi sekutu Najib dalam menjatuhkan kerajaan diketuai Muhyiddin.

Mengikut ketetapan semasa, kekosongan itu akan diisi oleh seorang ahli Parlimen kerajaan, walaupun ahli Parlimen pembangkang dijangka akan menyokong ahli Parlimen Teluk Intan dari DAP, Nga Kor Ming yang sedang mengintai untuk dapat kembali memegang jawatan yang pernah disandangnya sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan.

Bulan lalu, Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata jawatan timbalan speaker ketiga boleh dibuat bagi mengisi seorang ahli Parlimen pembangkang.

Pengumuman itu mencetuskan spekulasi Ahmad akan dipilih ke jawatan tersebut di mana Umno dijangka akan mendapat sokongan semua ahli Parlimen kerajaan.