Saturday, September 25, 2021

Dijangkiti Covid-19 atau tidak, setiap ahli Parlimen akan dapat mengundi, kata speaker

Speaker Dewan Rakyat jamin akan permudah ahli-ahli Parlimen mengundi usul undi percaya September depan.

Other News

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun memberi jaminan mana-mana ahli Parlimen yang harus menjalani kuarantin atau diuji positif Covid-19 tetap akan dibenarkan mengambil bahagian dalam usul undi percaya bulan depan.

“Parlimen akan buat yang terbaik untuk permudahkan setiap ahli Parlimen mengundi sama seperti ketika sesi sidang belanjawan dulu,” kata Azhar kepada MalaysiaNow, meredakan kebimbangan kemungkinan ahli Parlimen tidak dapat mengundi dalam usul yang penting ini sekiranya mereka diuji positif Covid-19.

Kerajaan menetapkan 7 September sebagai tarikh pembentangan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin susulan pengumuman Presiden Umno bahawa 14 ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka terhadapnya.

Disember lalu, ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju ketika Azhar mengizinkan tiga ahli Parlimen termasuk seorang daripada pembangkang untuk hadir di Dewan Rakyat di bawah prosedur operasi standard (SOP) ketat yang diluluskan oleh ketua pengarah kesihatan.

Beberapa menteri termasuk Adham Baba dan M. Saravanan, dan P Prabakaran dari PKR yang wajib menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat bagaimanapun muncul di Parlimen dengan memakai pakaian lengkap pelindung diri (PPE) bagi mengundi salah satu rang belanjawan kementerian.

Ketika ditanya bagaimana ahli Parlimen boleh hadir sekiranya mereka dikategorikan sebagai pesakit Covid-19 yang kritikal dan memerlukan rawatan di hospital, Azhar memetik keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2010 melibatkan menteri besar Perak ketika itu, Nizar Jamaluddin sebagai duluan yang boleh diikuti.

“Keputusan dari Dewan Rakyat akan menunjukkan bilangan sama ada lebih banyak sokong atau kurang sokongan.

“Sekiranya, harapnya jangan terjadi, seorang ahli Parlimen berada dalam keadaan kritikal atau tidak diizinkan hadir ke Dewan untuk mengundi, dia boleh tunjukkan sokongan dengan ‘cara lain’ seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Nizar dan penunjukan sokongan atau tidak sokong itu akan dipertimbangkan semua pihak-pihak yang berkaitan,” katanya.

Azhar merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak saman Nizar setelah beliau digulingkan sebagai menteri besar apabila beberapa orang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) melompat parti 11 bulan selepas gabungan Pakatan Rakyat memerintah negeri berikutan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Nizar bagaimanapun kalah dalam samannya terhadap Zambry Abdul Kadir yang dilantik sebagai menteri besar Perak berdasarkan akuan bersumpah (SD) yang diserahkan kepada istana menunjukkan Zambry mendapat sokongan majoriti Adun.

Sementara itu, difahamkan cadangan untuk mengadakan sidang Parlimen baik secara fizikal dan maya tidak dapat diikuti walaupun semua sistem dibuat bagi sidang Parlimen hibrid.

Pada bulan Jun, Azhar memberitahu MalaysiaNow pelaksanaan prosiding hibrid akan dilakukan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan yang terdiri daripada ahli-ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang.

“Ini bukan keputusan saya, saya tidak boleh petik jari dan terus jadi. Saya hanya boleh bawa kepada jawatankuasa tetapi anggotanya iaitu ahli Parlimen harus berbincang,” katanya dan menambah sebarang cadangan seperti mengadakan sidang Parlimen hibrid mesti dibawa kepada dua jawatankuasa tersebut bagi mendapatkan persetujuan untuk dilaksanakan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles