Thursday, June 17, 2021

Saya bukan paling berkuasa, speaker ingatkan pengkritik cabaran adakan sidang Parlimen hibrid

Pelaksanaan sidang maya dan fizikal atau hibrid Parlimen bukan semudah yang disangka ramai pihak.

Other News

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun berkata beberapa pengkritik yang mendesaknya membuka semula Parlimen mengabaikan prosedur dan proses serta kerangka Perlembagaan, mengatakan kebanyakan gesaan dihalakan kepadanya hanyalah berdasarkan anggapan beliau mempunyai kuasa besar sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Azhar berkata dakwaan serupa juga dibuat setelah pengumuman yang dibuat baru-baru ini bahawa kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan persidangan hibrid sepanjang pandemik, sebuah langkah yang mendapat respons positif daripada beliau dan rakan sejawatnya di Dewan Negara, Rais Yatim.

“Nampak macam saya boleh menasihati raja dan juga perdana menteri,” kata Azhar yang lebih dikenali sebagai Art Harun, kepada MalaysiaNow.

“Semua naratif itu menunjukkan kononnya saya adalah orang yang paling berkuasa,” tambahnya.

Azhar berkata, proses utama dalam pelaksanaan persidangan hibrid akan dilakukan di dua peringkat jawatankuasa dwipartisan, iaitu Jawatankuasa Pemilih dan Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat.

Kedua-dua jawatankuasa itu dianggotai ahli Parlimen dari pihak kerajaan dan pembangkang.

Beliau berkata walaupun dirinya merupakan pengerusi bagi kedua-dua jawatankuasa tersebut, beliau tidak memiliki hak mengundi kerana beliau bukan seorang ahli Parlimen yang dipilih melalui pilihan raya.

“Ia bukan keputusan saya, saya bukannya boleh petik jari dan harap ia boleh berlaku. Saya hanya boleh bawa cadangan kepada jawatankuasa namun para anggotanya, ahli Parlimen yang perlu bincang.

“Untuk itu, mana-mana ahli jawatankuasa boleh membawa cadangan, bukan hanya saya seorang,” katanya.

Katanya, sebarang cadangan mesti dikemukakan kepada kedua-dua jawatankuasa ini untuk diluluskan.

“Setelah jawatankuasa bersetuju, ia harus dibentangkan dan dipersetujui Dewan Rakyat.

“Akan tetapi pertamanya, kedua-dua jawatankuasa mesti bermesyuarat. Bagaimanapun, di bawah perintah darurat, mereka tidak boleh bertemu. Kerana itu, ia mesti dipinda,” kata Azhar.

“Saya tidak boleh petik jari kemudian harap ia berlaku.”

Minggu lalu, Takiyuddin Hassan, menteri yang memegang portfolio undang-undang berkata sistem hibrid untuk persidangan Parlimen sedang dipertimbangkan kerajaan dan beliau mengadakan mesyuarat bersama Azhar dan Rais bagi membincangkan isu tersebut.

Sebuah jawatankuasa juga dibentuk bagi mengkaji butiran proses pelaksanaan sidang Parlimen hibrid.

Parlimen digantung sejak perintah darurat diisytiharkan bagi memerangi pandemik Covid-19 pada bulan Januari tahun ini.

Wujud beberapa desakan daripada beberapa ahli Parlimen, termasuk Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said dari Umno, supaya Parlimen bersidang secara maya.

Cabaran-cabaran persidangan Parlimen hibrid

Azhar berkata banyak cabaran perlu dihadapi dalam sidang perbahasan Parlimen hibrid, antaranya tradisi proses penelitian sepanjang perbahasan, seperti dalam sistem Westminster yang diamalkan di Malaysia.

Beliau berkata bahagian teknikal proses persidangan hibrid pula yang memerlukan kehadiran ahli Parlimen secara maya dan fizikal dalam sidang Dewan Rakyat mungkin dilihat mudah, namun masih ada perincian lain yang memerlukan pertimbangan teliti.

Ia merangkumi aspek undang-undang dan prosedur semasa persidangan maya Dewan Rakyat yang mana tidak semua tatacara perbahasan boleh dilakukan.

“Sebagai contoh, di Australia anda tidak boleh mencelah semasa perbahasan. Sebaliknya, anda diminta memberi notis 15 minit untuk mencelah perbahasan.”

Menurut Azhar bahagian yang lebih penting untuk disedari, di Australia, ahli Parlimen yang menghadiri sidang Parlimen hampir tidak memiliki hak untuk mengundi, atau dikira sebagai anggota kuorum.

“Jadi, apabila ada yang mengatakan ia adalah satu perkara yang mudah, sebenarnya ia tidak semudah yang disangka,” katanya.

Azhar juga turut berkata terdapat kekeliruan mengenai jumlah ahli Parlimen yang dibenarkan hadir secara fizikal di Dewan Rakyat semasa proses hibrid.

“Ada yang berpendapat hanya 26 ahli Parlimen yang dibenarkan hadir secara fizikal sementara yang lain diminta untuk menyertainya secara maya,” katanya.

Azhar berkata, 26 ahli Parlimen yang diwajibkan hadir secara fizikal harus memenuhi syarat kuorum.

“Selebihnya mungkin diberi pilihan untuk hadir sama ada secara fizikal atau maya, perkara ini tentu sahaja tertakluk kepada SOP yang berkuat kuasa ketika itu.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles