- Iklan -
Rencana

Azam Baki perlu bertindak profesional

SPRM sepatutnya memberi fokus kepada siasatan yang lebih penting dan merugikan negara.

Mohamad Shafiq Abdul Halim
1 minit bacaan
Kongsi
Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki memberitahu media bahawa segala peruntukan mengenai imuniti ahli Parlimen hanyalah untuk tindakan di mahkamah dan SPRM memanggil wakil rakyat Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, hanya untuk mengesahkan dakwaan atau ucapan itu benar atau sebaliknya.

Ini satu perkara yang sangat membuang masa kerana SPRM tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengesahkan sebarang ucapan di dalam Parlimen sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan berkenaan keistemewaan ahli Parlimen.
 
Apa gunanya siasatan dibuat sekiranya ia tidak dapat dibawa ke mahkamah, adakah hanya sekadar untuk tujuan optik atau propaganda semata-mata? 

Hari ini rakyat seluruh Malaysia tidak yakin dengan SPRM disebabkan oleh perkara-perkara seperti ini.

Azam sepatutnya memberi fokus kepada siasatan yang lebih penting dan merugikan negara, seperti kes littoral combat ship (LCS) dan sebagainya, bukan bermain dengan isu dan sentimen politik semata-mata.

Azam perlu mencontohi pengarah atau pegawai awam yang lain dalam menunjukkan sikap profesionalisme yang tinggi dalam memikul amanah dan tanggungjawab sebagai pegawai awam. Beliau perlu sedar bahawa mereka dibayar oleh rakyat untuk memikul tanggungjawab tertentu untuk rakyat.

Berkenaan kes Wan Saiful, Dewan Rakyat mempunyai peraturan majlis mesyuarat untuk mengesahkan isi ucapan seperti Peraturan 36, di mana SPRM tidak perlu masuk campur dalam prosiding Dewan Rakyat untuk mengesahkan apa-apa ucapan wakil rakyat kerana kuasa itu adalah di bawah Yang Dipertua Dewan Rakyat. 

Azam perlu banyak membaca agar tidak melakukan perkara-perkara diluar tabi'i dalam amalan perundangan di Malaysia.