- Iklan -
Berita

Kes ibu hamil dijangkiti Covid-19 meningkat, catat 70 kematian, kata KKM

3,396 kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di Malaysia sejak Mac 2020 sehingga Jun 2021.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang ibu hamil menunggu giliran vaksinasi di Sunway Pyramid Convention Centre. Gambar: Bernama
Seorang ibu hamil menunggu giliran vaksinasi di Sunway Pyramid Convention Centre. Gambar: Bernama

Kementerian kesihatan memaklumkan sebanyak 70 kes kematian ibu hamil disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 dilaporkan sehingga 9 Ogos lepas berbanding sifar kematian ibu hamil direkodkan pada 2020 akibat komplikasi wabak itu.

Ketua Pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada tahun ini, purata kes Covid-19 bagi bulan Januari sehingga Mei adalah sebanyak dua kes pada setiap bulan, namun berlaku peningkatan kes kematian mendadak sejak Jun iaitu 17 kematian.

“Data menunjukkan dua kes daripada jumlah tersebut telah menerima dos pertama vaksin manakala 15 kes yang lain tidak menerima vaksinasi selain 47% daripada kes kematian yang dilaporkan mempunyai komorbiditi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata sebanyak 3,396 kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di Malaysia sejak Mac 2020 sehingga Jun 2021.

Katanya jumlah kes yang dilaporkan semakin meningkat mulai Oktober 2020 dengan purata 200 kes jangkitan sebulan iaitu lonjakan kes adalah pada Mei 2021 (850 kes) dan Jun 2021 (899 kes).

“Peratus ibu hamil yang dijangkiti Covid-19 yang menerima penjagaan rawatan rapi telah meningkat daripada 3% pada 10 Julai lepas kepada 5.3% pada 7 Ogos 2021,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata analisa terperinci menunjukkan nisbah kes ibu hamil dijangkiti yang menerima rawatan rapi berbanding jumlah pesakit Covid-19 kritikal ialah satu dalam 20 yang nisbahnya jauh lebih tinggi berbanding nisbah jangkitan ibu hamil dalam populasi umum iaitu satu dalam 220.

Katanya dianggarkan hampir 1% ibu hamil di negara ini dijangkiti wabak berkenaan.

Sementara itu, beliau memperincikan seramai 146,759 ibu hamil telah mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin Covid-19 setakat 8 Ogos lepas, sejak kempen ‘ibunisasi’ dimulakan pada akhir Jun 2021.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 83,251 (57%) ibu hamil telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 20% ibu hamil telah lengkap menerima dua dos vaksin,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham berdasarkan anggaran ibu hamil setahun, peratus ibu hamil yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin di aplikasi MySejahtera masih rendah iaitu sebanyak 40 peratus.

Justeru, KKM menyeru semua ibu hamil untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti dan suami diminta memberi sokongan kepada pasangan bagi memastikan mereka mendapat suntikan vaksin.

Dr Noor Hisham berkata pengambilan vaksin perlu dilengkapkan sebelum memasuki fasa akhir kehamilan iaitu trimester ketiga dan mereka yang masih belum menerima janji temu untuk vaksinasi boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat bagi mempercepatkan proses janji temu.