- Iklan -
Luar Sana

Vietnam lulus penggunaan 2 vaksin pertama demam babi Afrika buatan sendiri

Kelulusan vaksin itu boleh membuka jalan kepada kemungkinan penjualan di luar negara, satu kejayaan besar untuk menangani penyakit haiwan yang membawa maut yang kerap memusnahkan ladang babi di seluruh dunia.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Babi dilihat di sebuah ladang di luar Hanoi, Vietnam 20 September 2019. Gambar: Reuters
Babi dilihat di sebuah ladang di luar Hanoi, Vietnam 20 September 2019. Gambar: Reuters

Vietnam meluluskan penggunaan dua vaksin buatan sendiri secara komersial di peringkat domestik terhadap wabak Demam Babi Afrika (ASF), kata kerajaan semalam.

Ini sekali gus menjadikannya sebagai vaksin komersial pertama di dunia terhadap penyakit maut itu.

Menurut kerajaan negara itu dalam satu kenyataan vaksin tersebut termasuk NAVET-ASFVAC, yang dibangunkan bersama oleh Navetco Central Veterinar Medicine dan saintis dari Amerika Syarikat (AS), dan AVAC ASF LIVE yang dibangunkan oleh AVAC Vietnam JSC. 

Kelulusan vaksin itu boleh membuka jalan kepada kemungkinan penjualan di luar negara, satu kejayaan besar untuk menangani penyakit haiwan yang membawa maut yang kerap memusnahkan ladang babi di seluruh dunia. 

ASF selama bertahun-tahun telah mengganggu pasaran daging babi global bernilai AS$250 bilion (kira-kira RM1.1 trilion). 

Dalam wabak terburuk pada 2018-19, kira-kira separuh daripada populasi babi domestik mati di China, pengeluar terbesar bagi dunia.

Ini menyebabkan kerugian dianggarkan lebih AS$100 bilion.

Kementerian pertanian telah memberitahu syarikat-syarikat untuk menyusun rancangan pengeluaran untuk jualan domestik dan untuk eksport, kata kenyataan kerajaan. 

Menurut kerajaan Vietnam, lebih 650,000 dos vaksin baru-baru ini telah diuji pada kumpulan babi di 40 wilayah, dengan kadar keberkesanan 95%. 

"Vaksin itu layak untuk diedarkan dan digunakan di seluruh negara," kata kementerian itu. 

Setiausaha Pertanian AS Thomas Vilsack berkata terdapat kemungkinan minat dalam pembelian berwaspada di AS bulan lalu, meskipun negara itu setakat ini telah terhindar daripada virus berkenaan.