- Iklan -
Luar Sana

Vietnam larang guna produk dengan peta ‘nine-dash line’

Ini termasuk larangan penayangan filem ‘Barbie’ berdasarkan imej ‘nine-dash line’ itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar yang diambil pada 13 Mei 2014 dari kapal pengawal pantai Vietnam menunjukkan kapal pengawal pantai China sedang belayar berhampiran kawasan pelantar penggerudian minyak China di perairan yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan. Gambar: AFP
Gambar yang diambil pada 13 Mei 2014 dari kapal pengawal pantai Vietnam menunjukkan kapal pengawal pantai China sedang belayar berhampiran kawasan pelantar penggerudian minyak China di perairan yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan. Gambar: AFP

Usaha mempopularkan dan menggunakan penerbitan dan produk mengandungi peta "nine-dash line" di Vietnam melanggar undang-undang dan tidak diterima di negara itu, kata Jurucakap Kementerian Luar Negeri Pham Thu Hang.

Hang membuat kenyataan itu pada sidang media di Hanoi pada Khamis sebagai menjawab soalan wartawan berhubung larangan penayangan filem "Barbie" berdasarkan imej "nine-dash line" itu, menurut Agensi Berita Vietnam (VNA).

Sebelum ini, Jabatan Pawagam di bawah Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan mengesahkan filem itu tidak akan ditayangkan di Vietnam kerana ia mengandungi imej garisan itu.

Keputusan itu dibuat selepas majlis penilaian dan klasifikasi filem kebangsaan menilai filem itu.

Mengenai maklumat berkaitan penganjur konsert kumpulan K-pop Blackpink di Hanoi yang menyiarkan peta yang memaparkan “garisan sembilan sempang" itu, Hang berkata Vietnam sudah berulang kali menjelaskan pendirian berhubung perkara itu.

Pihak berkuasa sedang mengesahkan maklumat mengenai pertunjukan itu, katanya.

“Nine-dash line” digunakan pada peta China untuk menggambarkan tuntutannya ke atas kawasan luas di Laut China Selatan termasuk kawasan yang dianggap Vietnam sebagai pelantar benuanya.