Sunday, July 25, 2021

Kerajaan, pemain industri perlu bantu pelancongan domestik

Meningkatkan kualiti lojistik dan infrastruktur komunikasi dalam sektor pelancongan sangat penting, terutama di Sabah dan Sarawak, kata pakar.

Other News

Pakar pelancongan di Sabah memberi amaran pemain-pemain industri bakal mengubah pendekatan perniagaan mereka demi menghadapi krisis Covid-19 dan langkah-langkah menangani wabak yang dilaksanakan lebih-lebih lagi di Malaysia Timur ekoran kurangnya pelancong domestik berbanding semenanjung bahkan sejak sebelum pandemik.

Jennifer Chan dari Universiti Malaysia Sabah berkata syarikat perlu mengubah model perniagaan “bagi mengharungi badai” ketika ini.

Bercakap kepada MalaysiaNow, pengarah Pusat Penyelidikan Pelancongan Borneo itu berkata kerajaan dan pemain industri harus sama-sama membantu menghidupkan pelancongan domestik sepanjang sekatan perjalanan antarabangsa dilaksanakan sejak awal pandemik.

“Pandemik mengubah tingkah laku orang ramai,” katanya.

“Sekarang mereka lebih memilih untuk pergi ke tempat-tempat yang kurang orang dengan pemandangan alam semulajadi selain aktiviti luar dan aktiviti mencabar seperti mendaki bukit dan masuk hutan.”

Pengalaman-pengalaman sedemikian sememangnya sinonim dengan Sabah dan Sarawak berbanding tempat-tempat lain yang kawasannya sudah dimajukan secara besar-besaran, namun Chan mengatakan pemilik-pemilik inap desa di negeri-negeri Borneo itu akan berdepan masalah dalam usahanya menarik pelancong tempatan tanpa strategi inklusif daripada penggubal-penggubal dasar.

“Jika anda tengok statistik ketibaan pelancong domestik, Sabah dan Sarawak paling rendah angkanya berbanding negeri-negeri di semenanjung,” katanya dan menyatakan puncanya adalah kekurangan kemudahan asas.

Menurut Chan, Pahang, Melaka dan Kuala Lumpur memiliki angka tertinggi pelancong domestik.

Kementerian pelancongan, seni dan budaya baru-baru ini turut berkata pekerja-pekerja di sektor pelancongan di Sarawak dan Langkawi akan menerima suntikan vaksin sebaik sahaja dua fasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) selesai dijalankan.

Menterinya, Nancy Shukri berkata pihaknya bekerjasama dengan Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin untuk program vaksinasi pekerja-pekerja sektor pelancongan di negeri-negeri tersebut yang masih bekerja sepanjang “lockdown” termasuk kakitangan di hotel-hotel yang ditukar menjadi pusat kuarantin.

Bagaimanapun, ekoran lanjutan sekatan pergerakan penuh dari 14 hingga 28 Jun, Chan berkata sektor pelancongan mungkin tidak dapat bertahan sehingga pemain industri mendapat vaksin terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Industri pelancongan adalah yang paling mudah maju namun ia juga paling senang merudum. Industri ini menghadapi kemerosotan yang tidak sama seperti sektor-sektor lain,” katanya.

“Syarikat-syarikat yang bergantung dengan pelancong sahaja mungkin tidak dapat bertahan.”

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkepentingan, pakar-pakar dan operator pelancongan untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi merangka semula strategi-strategi mereka.

“Pelancongan berdepan masalah yang banyak kerana ia sangat sensitif dengan keadaan ekonomi, kesihatan dan keselamtan.

“Bagi terus menghidupkan sektor ini, kita perlukan lebih banyak polisi mampan, komprehensif dan utuh supaya pelancongan tetap maju.”

Mengakui betapa situasi pandemik yang dihadapi negara ketika ini sukar dijangka, beliau berkata langkah-langkah yang diambil juga mesti sejajar dengan situasi-situasi semasa.

Beliau menambah pelancongan bukan sekadar ditakrif dengan lokasi-lokasi utama dan bangunan-bangunan tertentu.

“Hotel hanya dilihat sebagai tempat untuk menyediakan perkhidmatan. Apa yang lebih penting adalah perkara-perkara yang tidak dapat dilihat daripada tempat itu yang menawarkan perkhidmatan dan pengalaman kepada pelancong – hal inilah yang menuntut interaksi fizikal antara penerima tetamu dan pelancong,” katanya.

Walaupun perkara-perkara demikian sukar ditawarkan kerana perjarakan fizikal mesti dilaksanakan bagi membendung wabak, Chan berkara harapan masih wujud bagi tempat-tempat yang terus berjuang untuk meneruskan operasi mereka.

“Situasi ketika ini tidak begitu menggalakkan, namun apa yang positif daripada penemuan kajian saya, orang ramai masih lagi mahu keluar melancong kerana ia adalah sebahagian daripada hidup kita.”

Buat masa sekarang, beliau menasihatkan mereka yang berada dalam industri tersebut perlu meningkatkan kemahiran-kemahiran pengurusan terutama dari sudut kebersihan bagi memastikan pelancong yang bakal datang dijamin keselamatan mereka.

“Kerajaan juga perlu meningkatkan usaha-usahanya untuk menyediakan lojistik dan infrastruktur komunikasi yang lebih baik di Sabah dan Sarawak.

“Saya yakin dengan usaha yang tersusun dalam membendung impak dan kesan pandemik, industri pelancongan kita akan lebih utuh,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles