Monday, June 14, 2021

Tinjauan PBB dapati B40 bergelut dengan pengangguran, pembelajaran dalam talian

Siri keempat kajian 'Families on the Edge' mendapati kebanyakan responden tidak mampu membeli bahan makanan.

Other News

Satu tinjauan yang dijalankan dua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati keluarga di bawah kategori B40 atau berpendapatan rendah terus bergelut dengan masalah penggangguran, manakala anak-anak mereka hilang minat untuk meneruskan pembelajaran sekolah akibat kesukaran dalam pembelajaran online.

Siri keempat tinjauan “Families on the Edge” yang dilaksanakan Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) membabitkan 500 isi rumah berpendapatan rendah di Kuala Lumpur.

Tinjauan badan antarabangsa itu dijalankan sepanjang 10 bulan dari Mei 2020 hingga Mac tahun ini.

Penggangguran dalam kalangan ketua keluarga kekal pada kadar 12%, 2.5 kali lebih tinggi berbanding kadar sebelum krisis. Kadar penggangguran di kalangan isi rumah yang diketuai oleh wanita pula pada kadar 16%.

Isi rumah yang diketuai oleh wanita dan orang kurang upaya (OKU) telah pulih pada tahap sebelum krisis pada Februari dan Mac, meskipun pendapatan mereka kekal rendah, iaitu RM1,300 dan RM1,200.

Tinjauan tersebut dilaksanakan menerusi panggilan telefon dan sesi bersemuka dengan 50 ketua keluarga terpilih, termasuk ibu tunggal.

“Edisi kajian sebelum ini mendapati keluarga berpendapatan rendah lebih terkesan dengan krisis di semua aspek, dengan isu rumah diketuai wanita dan OKU melaporkan impak negatif terburuk.

“Bagaimanapun, kajian kami mengesahkan yang respons-respon daripada dasar kerajaan memainkan peranan penting untuk membendung kesan-kesan negatifnya,” kata kajian itu.

Kajian itu juga menyatakan BPN, atau Bantuan Prihatin Nasional memainkan peranan yang penting dalam menyediakan pampasan secara separa bagi pendapatan isi rumah yang berkurangan.

Bantuan-bantuan kerajaan lain seperti Bantuan Prihatin Rakyat dan EduTV didapati membantu meringankan beban kewangan, namun kajian menunjukkan lebih separuh daripada isi rumah bergelut untuk memenuhi perbelanjaan asas.

Ia menyatakan 60% responden tidak mampu membeli makanan secukupnya untuk keluarga mereka manakala 50% tidak mampu membayar bil utiliti, pinjaman rumah atau sewa pada waktunya.

Tinjauan tersebut turut menunjukkan 25% peserta kajian melaporkan terpaksa mengurangkan makanan manakala 33% menyatakan sukar untuk memberikan anak mereka wang saku secukupnya untuk membeli makanan di sekolah.

Mengenai pembelajaran di rumah, tinjauan itu menunjukkan hanya 35% isi rumah mempunyai akses kepada komputer atau peranti lain manakala majoriti sebanyak 88% terpaksa bergantung kepada telefon pintar untuk mengakses kandungan yang disediakan sekolah.

Menurut kajian, Walaupun program EduTV membantu, 40% responden melaporkan keterbatasan dalam pemahaman anak-anak mereka terhadap kandungan tersebut.

88% ibu bapa menyatakan anak mereka bergelut memberi perhatian kepada pelajaran manakala 60% lagi menyatakan anak-anak mereka hilang minat dalam pembelajaran.

Akibat daripada pergelutan kewangan yang kronik dan kekurangan peluang pekerjaan semasa pandemik, majoriti responden (88%) percaya situasi kewangan mereka tidak akan berubah atau bakal menjadi lebih teruk dalam tempoh enam bulan akan datang.

Hanya 37% ketua keluarga yang mengganggur percaya mereka akan mendapat pekerjaan semula dalam masa terdekat.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles