- Iklan -
Berita

Kementerian Ekonomi kata T20 'mungkin layak' dapat subsidi, apa kata pakar ekonomi?

Putrajaya perlu fokus golongan miskin dahulu.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Walaupun PADU dipromosikan sebagai pangkalan yang memastikan hanya golongan miskin menerima subsidi, kerajaan berkata mereka yang berpendapatan tinggi juga mungkin layak menerima bantuan.
Walaupun PADU dipromosikan sebagai pangkalan yang memastikan hanya golongan miskin menerima subsidi, kerajaan berkata mereka yang berpendapatan tinggi juga mungkin layak menerima bantuan.

Seorang pakar menggesa Putrajaya agar mengutamakan golongan rentan dalam pemberian subsidi sebelum menyalurkan bantuan kepada golongan berpendapatan tinggi yang mempunyai ramai tanggungan. 

Ia selepas Kementerian Ekonomi, dalam usaha menggalakkan pendaftaran orang ramai dalam Pangkalan Data Utama (PADU), berkata individu dalam kategori M40 dan T20 juga mungkin layak menerima subsidi selepas mengambil kira perbelanjaan keluarga. 

Memberi contoh, kementerian itu berkata seorang dalam kategori T20 dengan pendapatan RM15,000 mungkin boleh dikategorikan sebagai M40 jika mempunyai lapan anak.

Pakar ekonomi Anuwar Ali bagaimanapun mengingatkan tujuan sebenar subsidi bersasar diadakan ialah untuk memastikan bantuan disalur kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Beliau merujuk lebih dua juta pekerja Malaysia yang bergaji kurang RM2,000. 

"Kumpulan B40 ini ramai, termasuk miskin tegar yang mungkin terkeluar daripada sistem seperti Orang Asli atau penduduk pedalaman.

"Kerajaan perlu sasarkan kumpulan ini dahulu, kumpulan T20 itu kemudianlah," kata Anuwar, yang merupakan ahli Majlis Perundingan Gaji Negara, kepada MalaysiaNow.

Menurutnya, golongan T20 berkemungkinan mempunyai sumber kewangan lain untuk menampung kehidupan mereka, termasuk simpanan, dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang tinggi. 

Katanya, sekiranya T20 mendaftar di bawah PADU, kewangan mereka perlu diperincikan mengambil kira pelbagai faktor.

"Misalnya adakah dia membeli rumah atau kereta yang terlalu mahal? 

"Kita kena tanya, apakah ukuran atau indikator yang kita boleh pakai kepada T20 sebelum mereka dikatakan layak menerima subsidi? Jika individu itu sudah terkeluar daripada indikator, kita kena tarik semula bantuan itu. 

"Kita tidak mahu orang-orang tertentu menyalahgunakan sistem. Perincian mesti kemas," kata Anuwar.

Tahun lalu, subsidi pukal kerajaan untuk minyak, elektrik dan makanan memakan belanja RM81 bilion.

Kerajaan kerap mendakwa rancangannya untuk beralih kepada subsidi bersasar akan memastikan hanya golongan miskin menerima bantuan dan bukan yang "maha kaya".

Pemimpin kerajaan telah memuji PADU yang dipromosikan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebagai "game-changer" dalam mengenal pasti mereka yang layak mendapat bantuan dalam bentuk subsidi.

Ketika melancarkan inisiatif itu awal tahun ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dengan adanya PADU, warga asing, golongan kaya serta yang berpendapatan tinggi tidak lagi akan menerima bantuan disebabkan mereka boleh dikenal pasti oleh sistem tersebut.

Bagaimanapun, Rafizi dilihat bergelut dengan isu kredibiliti atas kebimbangan keselamatan data peribadi.

Anuwar berkata satu kebimbangan dalam pelaksanaan subsidi bersasar ialah kumpulan berpendapatan rendah, atau B40, yang tidak dapat dijejak PADU. 

Menurutnya, Kementerian Ekonomi perlu menerbitkan angka peratusan miskin tegar yang berjaya didaftarkan dalam sistem bagi menunjukkan keadilan dan ketelusan.

Pakar ekonomi Madeline Berma mengakui pemberian subsidi kepada golongan pertengahan dan berpendapatan tinggi sememangnya sensitif kerana bertentangan dengan "prinsip keadilan", memandangkan wang tersebut boleh disalur kepada lebih ramai individu miskin.

Madeline bagaimanapun berkata semua faktor dan angkubah penting dalam menentukan kedudukan kewangan isi rumah dengan lebih tepat.   

"Subsidi bersasar adalah berasaskan prinsip keterancaman dan bukan penggunaan. Ia diharap lebih menyeluruh bagi memastikan ia disampaikan kepada golongan sasar dan tiada yang tercicir atau berlaku ketirisan dalam agihan subsidi," tambahnya. 

Sementara itu, penganalisis Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Razak berkata kebimbangan berhubung subsidi bersasar lebih tertumpu kepada golongan pertengahan. 

Katanya tidak ramai golongan T20 yang mempunyai banyak tanggungan sehingga mereka perlu mendapat subsidi.

"Saya lebih risaukan golongan pertengahan kerana mereka adalah kumpulan rentan. Pendapatan mereka tinggi sedikit berbanding B40 tetapi tanggungan hidup mereka lebih besar. Jadi kerajaan wajar tumpu kepada golongan M40 ini," katanya.