Saturday, June 19, 2021

Bilangan kluster melonjak, Singapura tingkatkan usaha bendung Covid-19

Kluster baru yang muncul ketika ini menimbulkan kebimbangan kes akan meningkat semula di negara itu.

Other News

Singapura mengumumkan beberapa sekatan baru bagi membendung penularan Covid-19 pada Selasa termasuk larangan menonton acara sukan ketika jangkitan dilihat mulai meningkat di negara itu.

Setelah sekatan pergerakan separa dilaksanakan dan usaha aktif dalam mengesan kontak rapat turut dijalankan, kes Covid-19 hampir tidak lagi dikesan di Singapura apabila pihak berkuasa dilihat jarang menemui kes penularan tempatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Namun kes mulai meningkat minggu lalu apabila pegawai kesihatan mengumumkan beberapa kluster baru di negara itu.

Sejak seminggu lalu, 60 kes jangkitan penularan tempatan telah dilaporkan.

Kluster di salah sebuah hospital terbesar di Singapura kini merekodkan 40 kes, termasuk seorang pesakit berusia 88 tahun yang meninggal dunia pada Sabtu.

Perhimpunan akan dihadkan kepada lima orang dan lebih ramai orang diminta untuk bekerja dari rumah, kata pihak berkuasa kesihatan Singapura pada sidang media semalam.

Gimnasium dan studio kecergasan akan ditutup dan jumlah kehadiran turut dikurangkan bagi persidangan dan majlis perkahwinan serta pengebumian.

Pelancong yang tiba dari luar negara juga turut dikuarantin selama tiga minggu.

“Beberapa minggu akan datang sangat penting bagi kami,” kata Menteri Kesihatan Singapura Gan Kim Yong.

Beliau memberikan amaran bahawa langkah-langkah lanjut akan diambil jika keadaan menjadi semakin buruk, termasuk kemungkinan perintah sekatan separa dilaksanakan sekali lagi.

“Dengan langkah-langkah ini … saya fikir kita mungkin akan dapat mengelakkan diri dari menghadapi situasi sehingga perlu laksanakan sekatan menyeluruh, namun kita tidak dapat menolak kemungkinan ia dilaksanakan sekali lagi.”

Angka jangkitan Covid-19 di Singapura sangat rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain, namun kluster baru yang muncul ketika ini telah menimbulkan kebimbangan kes akan meningkat semula di negara itu selepas ekonominya mengalami kemelesetan terburuk pernah dialaminya tahun lalu akibat virus tersebut.

Singapura berjaya membendung wabak koronavirus melanda negara itu tahun lalu apabila penyakit itu meningkat melalui asrama sesak yang menempatkan pekerja asing sehingga menjangkiti puluhan ribu orang.

Namun mengikut piawaian global, wabak yang dihadapi Singapura masih berada di tahap rendah ketika pegawai kesihatan di negara yang memiliki populasi 5.7 juta penduduk itu melaporkan hanya sekitar 61,000 kes setakat ini dengan 31 kematian.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles