- Iklan -
Berita

Umno amal ‘double standard’, kata ketua bahagian dipecat pada 2009

Ahli persoalkan ketidakadilan Umno apabila peraturan parti hanya terpakai kepada anggota marhaen, tetapi tidak kepada pemimpin parti.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin Umno diketuai Zahid bergambar ketika bersidang dalam Perhimpunan Agung Umno bulan lalu.
Pemimpin Umno diketuai Zahid bergambar ketika bersidang dalam Perhimpunan Agung Umno bulan lalu.

Bekas ketua Umno bahagian yang digugurkan jawatan dan dipecat kerana berdepan pertuduhan mahkamah pada 2009 mempersoalkan sikap “double standard” parti itu kerana tidak mengambil tindakan sama apabila melibatkan presiden dan pemimpin tertinggi.

Bekas ketua Umno bahagian Labuan Suhaili Abdul Rahman berkata, parti itu seharusnya menggunakan Fasal 10.10 terhadap pemimpin parti yang berdepan dengan pendakwaan mahkamah seperti berlaku pada dirinya pada 2009.

“Ini maknanya Umno ‘double standard’ sebab peraturan itu digunakan kepada semua. Peraturan ini digunakan pada 2009. Adil atau tidak kepada ahli lain?” kata Suhaili seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

“Apakah peraturan itu hanya kepada rakyat marhaen macam saya? Kepada ahli Majlis Tertinggi, setiausaha dan presiden bagaimana?”

Suhaili berkata, kes mahkamah yang dihadapinya pada 2009 tidak melibatkan pertuduhan rasuah, salah guna kuasa atau merompak akan tetapi beliau digugurkan daripada jawatan dan dipecat daripada parti.

Pada April 2009, jawatan ketua Umno bahagian Labuan yang disandang Suhaili gugur dengan serta merta berikutan pendakwaan mahkamah dihadapinya.

Pada ketika ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Sementara Najib yang juga ketua Umno bahagian Pekan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah,menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan juga sedang dibicarakan atas dakwaan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterimanya daripada perdana menteri ketika itu, Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 2013.

Manakala Ketua Umno Bahagian Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor pula berdepan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta kerana menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Zahid dan Najib kini mengetuai sekumpulan pemimpin Umno yang berdepan dengan pelbagai pertuduhan rasuah di mahkamah menyerang kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Tahun lalu, Umno adalah antara parti yang menyokong pembentukan kerajaan PN.

Menurut Suhaili, beliau merupakan pemimpin Umno yang pertama dan terakhir dikuatkuasakan peraturan itu sedangkan ramai lagi pemimpin parti Melayu itu yang terpalit dengan pertuduhan mahkamah.

“Dulu saya langsung tak diberi ruang untuk membuat penjelasan, jawatan pun tak dikembalikan kepada saya walaupun kes dah selesai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

“Dua belas tahun kes ini sudah berlalu, tapi hari ini biar semua orang tahu tentang ketidakadilan perjuangan Umno sebenarnya.”

Semalam, seorang pengamal undang-undang Adnan Seman memberitahu Utusan Malaysia peraturan yang diputuskan Majlis Tertinggi Umno pada 29 Mei 2009 ketika Najib merupakan presiden parti itu menyatakan mana-mana pemimpin atau ahli parti yang didakwa di mahkamah secara automatik digantung semua jawatannya di dalam parti.