- Iklan -
Berita

‘Kluster mahkamah’ mungkin perlu berehat daripada pegang jawatan Umno

Ketetapan Majlis Tertinggi pada 2009 menyatakan pemimpin yang didakwa boleh digantung jawatan sehingga pelupusan kes.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa pemimpin Umno termasuk presidennya berdepan kes mahkamah berkaitan salah guna kuasa, pecah amanah dan rasuah.
Beberapa pemimpin Umno termasuk presidennya berdepan kes mahkamah berkaitan salah guna kuasa, pecah amanah dan rasuah.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Ahad ini mungkin akan membangkitkan satu keputusan yang pernah diputuskan parti itu pada 2009 yang bakal menyaksikan pemimpin-pemimpin “kluster mahkamah” perlu direhatkan daripada memegang jawatan, lapor Utusan Malaysia hari ini.

Seorang pengamal undang-undang Adnan Seman memberitahu akhbar itu peraturan yang diputuskan Majlis Tertinggi Umno pada 29 Mei 2009 ketika Najib Razak merupakan presiden parti itu menyatakan mana-mana pemimpin atau ahli parti yang didakwa di
mahkamah secara automatik digantung semua jawatannya di dalam parti.

“Ketetapan Majlis Tertinggi pada 2009 menyatakan pemimpin yang didakwa boleh digantung jawatan sehingga pelupusan kes,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Adnan, Majlis Tertinggi Umno mempunyai kuasa penuh menentukan sama ada jawatan mana-mana pemimpin parti berkenaan boleh digantung atau perlu “dicutikan” sehingga kes pendakwaan mereka di mahkamah selesai.

Menurut Adnan, setakat ini peraturan itu belum digunakan ketika ini biarpun ada dalam kalangan pemimpin tertinggi parti masih terus memegang jawatan walaupun berdepan kes mahkamah.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada ketika ini berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Sementara Najib yang juga ketua Umno bahagian Pekan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah,menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan juga sedang dibicarakan atas dakwaan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterimanya daripada perdana menteri ketika itu, Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 2013.

Manakala Ketua Umno Bahagian Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor pula berdepan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta kerana menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

MT pernah menggugurkan jawatan Ketua Umno Bahagian Labuan yang disandang Suhaili Abdul Rahman pada 2009 berikutan pendakwaan terhadap beliau di mahkamah atas tuduhan membuat kenyataan palsu.

Adnan meberitahu Utusan Malaysia pengguguran jawatan Suhaili pada itu dibuat selaras dengan Fasal 10.10, perlembagaan Umno.