- Iklan -
Berita

Sumbangan ayam daripada Anwar timbulkan rasa tak puas hati penyandang kerusi PKR?

Sumbangan ayam daripada Anwar itu turut menerima kritikan termasuk cakap-cakap Afdlin Shauki sebagai calon Wangsa Maju.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Akin menyerahkan sumbangan ayam kepada seorang penduduk di Wangsa Maju, sambil diperhati pelakon Afdlin Shauki (kanan). Gambar: Facebook
Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Akin menyerahkan sumbangan ayam kepada seorang penduduk di Wangsa Maju, sambil diperhati pelakon Afdlin Shauki (kanan). Gambar: Facebook

MalaysiaNow difahamkan agihan sumbangan ayam yang diberikan kepada penduduk kawasan sekitar Wangsa Maju menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli PKR Wangsa Maju.

Difahamkan program pengagihan ayam kepada penduduk sekitar Wangsa Maju yang berlangsung semalam itu antara langkah awal bagi nama-nama yang dekat dengan Anwar sebagai calon baru untuk mewakili PKR di kawasan berbilang kaum tersebut.

Program yang dianjurkan oleh Anwar Ibrahim Club, sebuah kelab peminat yang ditubuhkan bersama setiausaha politik presiden PKR Farhash Wafa Salvador lebih dua dekad lalu.

Turut kelihatan pada program itu, pelakon Afdlin Shauki.

Afdlin antara beberapa nama artis tempatan yang direkrut PKR bagi meraih sokongan dalam kalangan penduduk Melayu di bandar.

Pemimpin parti sebelum ini mengetengahkan pelakon Hans Isaac untuk bertanding di kawasan Ampang, yang merupakan kubu kuat bekas ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin.

Zuraida antara individu menentang Anwar yang bertindak keluar parti bersama-sama beberapa lagi ahli Parlimen tahun lepas.

Namun, menurut sumber dalaman parti kepada MalaysiaNow percubaan untuk mempromosi Afdlin sebagai calon kawasan Wangsa Maju tidak mendapat sokongan akar umbi PKR.

Penyandang kerusi itu Tan Yew Kee dari PKR, menang besar pada pada 2018, mengalahkan dua calon daripada Barisan Nasional dan PAS, meraih lebih 50% undi keseluruhan.

Kemenangan besar bekas ahli politik MCA itu di kawasan bandar dengan majoriti Melayu dilihat sangat penting.

“Akan tetapi, kami tidak bercadang untuk mencalonkan Tan sekali lagi. Ada keperluan untuk menyekat peralihan sokongan orang Melayu daripada Pakatan Harapan.

“Tambahan, terdapat peningkatan pengundi Melayu di sini, dan parti tidak akan mengambil risiko meletakkan orang bukan Melayu pada masa ini, dan kerusi bandar seperti Wangsa Maju perlu dipertahankan dalam apa jua keadaan,” kata seorang pemimpin kanan PKR Kuala Lumpur kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Baru-baru ini Anwar mengumumkan sumbangan peribadi sebanyak 1,000 ekor ayam untuk diedarkan di 14 kawasan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beberapa hantaran media sosial menjadikan jumlah sumbangan itu sebagai bahan ejekan, dengan mengatakan satu kawasan secara purata hanya akan dapat 71 ekor ayam, yang berharga kira-kira RM700, berdasarkan harga semasa RM10 seekor.

Sementara itu Afdlin tidak menolak spekulasi pencalonannya dalam pilihan raya akan datang, dan mengatakan beliau mungkin secara rasmi akan mengumumkan keahlian partinya.

Katanya, tujuan utama beliau menyertai politik untuk menjadi suara memperjuangkan industri hiburan, dan menambah kerajaan sekarang tidak mempedulikan masalah yang wujud dalam industri filem.

“Kalau boleh, sepatutnya perlu ada wakil orang-orang seni di dalam Parlimen untuk menyuarakan masalah mereka,” kata Afdlin kepada media selepas program itu semalam.

Ditanya adakah penyertaannya dalam bidang politik akan menjejaskan popularitinya, Afdlin berkata: “Saya rasa separuh daripada mereka akan benci saya,” dan menambah ahli politik dan mereka yang dalam bidang seni sudah lali dengan kritikan.