- Iklan -
Berita

Tangguh projek pembangunan, utamakan perbelanjaan Covid-19, kata Dr Mahathir

Tumpu pulihkan ekonomi akibat Covid-19 dan elak ubah suai atau besarkan pejabat.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. Gambar: Bernama

Dr Mahathir Mohamad mencadangkan Putrajaya menangguhkan projek pembangunan pejabat beberapa kementerian dalam Belanjawan 2021.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, peruntukan pembangunan pelbagai kementerian itu perlu ditangguhkan dahulu dan mengutamakan kepada perbelanjaan berkaitan Covid-19.

“Peruntukan pembangunan pelbagai kementerian dicatatkan meningkat 520%, ini termasuk pembangunan pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) RM160 juta dan bangunan pejabatnya di seberang laut bernilai RM64.4 juta, RM231 juta pula bagi pembangunan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Bagi peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dinaikkan daripada RM7.9 bilion pada 2020 kepada RM11.7 bilion (2021).

“Apa perlu RM1 bilion daripada RM100 bilion untuk projek khas? Apa perlu RM125 juta bagi menaik taraf Kompleks Angkasapuri? Kita perlu tangguhkan projek ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021, di Dewan Rakyat, hari ini.

Mahathir juga menyokong cadangan memotong gaji menteri ketika pandemik Covid-19 bagi mengurangkan beban kerajaan, mengatakan pemotongan tidak akan menyukarkan hidup menteri.



“Apa perlunya kerajaan menambah pendapatan mereka apabila gaji mereka lebih daripada mencukupi membiayai keperluan hidup mereka? Sepatutnya bantuan diberi kepada pekerja yang hilang pekerjaan, dan hilang pendapatan sama sekali. Mereka tidak pun dapat membiayai makan harian.

“Ada cadangan supaya gaji menteri dikurang 30%. Dalam zaman Covid-19, saya tak fikir menteri akan kebuluran kerana dikurangkan gaji 30%. Sebaliknya terdapat ramai yang tidak ada pendapatan sama sekali kerana tidak bekerja atau berniaga lagi. Dan bagi mereka keluarga akan turut menderita. Mungkin tidak 30%. Mungkin hanya 10%.”

“Apa perlu RM1 bilion daripada RM100 bilion untuk projek khas? Apa perlu RM125 juta bagi menaik taraf Kompleks Angkasapuri? Kita perlu tangguhkan projek ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021, di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu Mahathir menegaskan, ahli-ahli Parlimen Pejuang mengambil keputusan untuk “menyimpan” dahulu sokongan mereka ke atas Belanjawan 2021 yang dibentang pada Jumaat lalu dan berharap cadangan yang dikemukakannya akan mendapat perhatian kerajaan.

“Saya reserve diri saya dan parti saya untuk menyokong atau tidak Belanjawan 2021 kerajaan Perikatan Nasional ini. Saya harap cadangan yang bernas oleh dewan ini diberi tempat dalam Belanjawan 2021.

“Kita semua ingin luluskan budget ini. Jika ia tidak lulus, pada lazimnya perdana menteri perlu letak jawatan. Akan jadi pula satu krisis politik. Kerajaan pintu belakang ini akan diganti dengan kerajaan tebuk atap, yang juga tidak stabil.

“Kita sudah ada pilihan raya yang menentukan kerajaan pilihan rakyat didirikan. Setelah dipilih kerajaan ini dijatuhkan dan kerajaan oleh puak yang ditolak oleh rakyat mendiri kerajaan. Ini sebenarnya adalah satu penipuan walaupun tidak ada undang-undang yang melarang perbuatan ini. Ia menidakkan demokrasi.

“Malangnya kerajaan pintu belakang ini amat lemah dan menghabiskan masa untuk pertahan kedudukannya. Negara diserang oleh wabak Covid-19 yang mengancam pemerintahan. Tumpuan kepada mempertahan kedudukan yang lemah, menjejas tumpuan kepada menangani masalah wabak. Hasilnya ialah pembaziran masa dan wang untuk merebut kuasa. Kita lihat pembaziran ini di Sabah.”