- Iklan -
Berita

Seperti Anwar, Najib tetapkan dua syarat sebelum sokong belanjawan

Seruan Najib dan Anwar itu memberi gambaran mengenai hubungan politik kedua-dua pemimpin itu.

Fazreen Kamal
4 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Bekas perdana menteri, Najib Razak hari ini mengulangi kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum memberi sokongan terhadap Belanjawan 2021, meletakkan syarat kerajaan perlu memenuhi beberapa tuntutan.

Najib berkata, kerajaan mesti membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan simpanan secara sekali beri atau “one off” sebanyak RM10,000 dan melanjutkan moratorium pinjaman bank secara pukal sehingga enam bulan lagi termasuk mereka daripada kumpulan M40.

“Sokongan saya dan rakan-rakan tertakluk kepada syarat-syarat itu dipenuhi,” kata bekas perdana menteri itu di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Anwar  berkata pembangkang Pakatan Harapan (PH) tidak akan menyokong usul meluluskan Belanjawan 2021 meskipun Yang di Pertuan Agong memberi peringatan betapa pentingnya untuk meluluskan peruntukan kewangan dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Isu melibatkan KWSP dan moratorium adalah sesuatu yang serius. Jika kerajaan inginkan kami untuk menyokong belanjawan, isu-isu tersebut perlu diberi keutamaan, jika tidak belanjawan tidak diluluskan,” kata Anwar ketika membahas ucapan belanjawan.

Seruan Najib dan Anwar itu memberi gambaran mengenai hubungan politik kedua-dua pemimpin itu terhadap kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Najib ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 berkata kerajaan perlu melaksanakan cadangan berkenaan kerana ia tidak termasuk dalam perbelanjaan kerajaan atau pengiraan defisit negara.

Malah, Najib yang juga ahli Parlimen Pekan percaya wang yang dikeluarkan daripada akaun pencarum pada masa ini mampu dipulihkan dengan sokongan kerajaan dalam masa setahun atau dua tahun lagi selepas krisis Covid-19 berlalu.

“Tiada seorang pun yang berkata wang yang dikeluarkan sekarang tidak boleh dipulihkan pada masa akan datang. Tanggungjawab kerajaan bukan untuk menafikan pencarum daripada mengakses wang milik mereka sendiri pada masa paling terdesak.

“Fokus kerajaan pula ialah mencari jalan untuk memulihkan dan memastikan pencarum dengan baki simpanan yang rendah dapat menambah simpanan mereka dengan kadar paling cepat. Supaya sewaktu mereka bersara nanti, simpanan di dalam Akaun 1 akan mencukupi,” katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata perkara berkenaan boleh dilakukan dengan tiga cara iaitu pertama, selepas Covid-19 tamat kerajaan boleh membantu KWSP untuk meraih pendapatan yang lebih dengan memberi projek lumayan kepada organisasi kerajaan berkenaan.

Sebagai contohnya, sebelum ini projek Kwasa Land atas tanah Lembaga Getah Malaysia dan projek Battersea di United Kingdom serta pemilikan 49% di dalam syarikat Plus dan bukan diberikan kepada kroni.

“Kedua, menaikkan semula kadar caruman bulanan majikan dan pencarum serta yang ketiga, mengubah struktur pembayaran dividen kepada struktur dividen berperingkat atau ‘multi-tier dividen structure’ di mana baki simpanan yang lebih rendah akan terima dividen lebih tinggi supaya pembahagian keuntungan KWSP akan lebih memihak kepada pencarum yang mempunyai baki simpanan rendah.

“Dengan ini, simpanan masa tua pencarum yang terpaksa mengeluarkan wang secara ‘one off’ daripada Akaun 1 dapat dipulihkan dalam masa terdekat.”

Dalam pada itu, Najib turut menegaskan jumlah aset terkumpul KWSP bernilai RM940 bilion pada masa kini dan seandainya 4 juta pencarum mengeluarkan maksima yang dibenarkan sebanyak RM10,000, hanya RM40 bilion perlu dicairkan.

“Saya percaya, tidak semua pencarum akan mengeluarkan jumlah maksimum. Kemungkinan, jumlah yang diperlukan sekitar RM20 bilion hingga RM30 bilion.”

Sehubungan itu, Najib percaya jumlah ini mampu disediakan oleh KWSP, tambahan lagi Bank Negara boleh membeli bon-bon kerajaan yang dimiliki oleh KWSP.

“Kita perlu sedar bahawa 49% aset KWSP adalah dalam bentuk bon kerajaan. Dan Bank Negara boleh membantu dengan pelupusan bon ini tanpa memberi impak besar kepada pasaran bon tempatan.

“Kita bukan mahu memaksa KWSP untuk mencairkan aset ekuiti pada masa nilai aset rendah. Secara tidak langsung menambah wang dalam kitaran atau ‘money circulation’ dalam ekonomi agar pekerjaan dapat diselamatkan dan ekonomi dapat dirancakkan dengan penambahan permintaan ini, merupakan keutamaan kita,” katanya.

“Dengan ini, simpanan masa tua pencarum yang terpaksa mengeluarkan wang secara ‘one off’ daripada Akaun 1 dapat dipulihkan dalam masa terdekat.”

Najib juga menjelaskan mengapa pembayaran “one off” ini amat diperlukan oleh pencarum dan tidak menerima cadangan dalam Belanjawan 2021 untuk dibayar RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

“Antara sebabnya, pembayaran ‘one off’ ini sebanyak RM10,000 boleh digunakan sebagai penyelesaian hutang tunggakan mereka seperti bil utiliti, bayaran sewa atau pinjaman rumah, keperluan untuk anak-anak, caruman insurans tertunggak dan sebagainya.

“Wang berkenaan juga boleh digunakan sebagai modal asas untuk memulakan perniagaan kecil terutama sekali bagi mereka yang sudah kehilangan kerja. Sebagai contoh, wang ini juga boleh digunakan untuk membeli peralatan seperti motosikal bagi menjadi penghantar makanan atau barangan.

“Rakyat juga boleh menjadikan wang tersebut sebagai modal permulaan untuk memulakan perniagaan secara dalam talian atau ‘online business’ yang kini semakin pesat mengembang.

“Keperluan ini tidak dapat dipenuhi sekiranya dibayar cuma RM500 setiap bulan sahaja.”

Dalam pada itu, Najib juga menyindir peruntukan yang diberikan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Tidak menafikan unit komunikasi perlu ada bagi memberi penerangan dan mempertahankan dasar-dasar kerajaan agar ia tidak disalah faham atau diputar belit oleh pihak yang mahu hasut dan tipu rakyat.

“Tapi pada zaman krisis di mana peruntukan lebih diperlukan untuk selamatkan rakyat, kenaikan peruntukan 4 kali ganda bagi agensi Jasa berbanding zaman Barisan Nasional (BN) adalah sukar diterima orang ramai dan mengundang kemarahan rakyat.

“Saya boleh terima jikalau peruntukan tersebut dibelanjakan untuk pembelian pelitup muka atau ‘sanitizer’ kepada rakyat mahu pun diberi kepada ibu bapa untuk menggantikan bekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi murid-murid yang dinafikan sarapan pagi kerana sekolah-sekolah telah ditutup sehingga awal tahun hadapan.

“Suara rakyat, suara keramat. Perkara yang tidak disenangi rakyat jangan diteruskan.”