- Iklan -
Berita

Jho Low antara 10,000 nama didedahkan terlibat pengubahan wang haram RM8 trilion

Sekurang-kurangnya 25 orang yang disebut dalam fail itu berada dalam senarai jutawan Forbes pada 2018, 2019 dan 2020.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli perniagaan yang diburu Jho Low memindahkan lebih RM4.1 bilion menggunakan JP Morgan dari 2013-2016. Gambar: Google
Ahli perniagaan yang diburu Jho Low memindahkan lebih RM4.1 bilion menggunakan JP Morgan dari 2013-2016. Gambar: Google

Bank utama termasuk Citibank, HSBC dan Standard Chartered dinamakan sebagai pihak yang membenarkan penjenayah memindahkan wang haram bernilai AS$2 trilion sejak beberapa tahun lalu, dan ia didedahkan menerusi sebuah dokumen laporan aktiviti mencurigakan, atau SAR yang difailkan ke Rangkaian Penguatkuasaan Jenayah Kewangan Amerika Syarikat (FinCEN).

Dokumen itu memperincikan rangkaian yang menghubungkan dengan lebih 10,000 orang dan organisasi di lebih 170 negara.

Siasatan International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) dan BuzzFeed News menunjukkan sekurang-kurangnya 25 orang yang dinyatakan dalam fail tersebut berada dalam senarai jutawan Forbes pada tahun 2018, 2019 dan 2020.

Kira-kira 22,000 muka surat dalam fail FinCEN itu turut menamakan usahawan dan ahli perniagaan Malaysia yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho, atau Jho Low, yang juga terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mengesahkan dakwaan sebelum ini berhubung penglibatan bank AS, JP Morgan.

Rekod yang dibocorkan itu menunjukkan Jho Low memindahkan lebih AS$1.2 bilion (RM4.1 bilion) menggunakan JP Morgan dari 2013 hingga 2016.

Low sebelum ini dituduh pihak berkuasa di beberapa negara melakukan aktiviti pengubahan wang haram menggunakan Goldman Sachs dan beberapa bank lain untuk membeli lukisan, hartanah dan kapal layar mewah.

Berdasarkan fail FinCEN, bank-bank di AS melaporkan terdapat 103 pemindahan wang yang mencurigakan berjumlah AS$2.53 bilion yang melibatkan syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan Low dan 1MDB.

BuzzFeed News dan ICIJ juga menyiarkan sebahagian daripada 2,000 dokumen yang dibocorkan di laman sesawangnya (klik di sini).

“Dokumen-dokumen ini dikawal rapi dan tidak sepatutnya didedahkan kepada umum. Anda tidak boleh mendapatkannya menggunakan peruntukan ‘Freedom of Information’ dan anda tidak boleh sapina mereka menggunakan proses undang-undang. Bank tidak seharusnya mengakui kewujudan SAR walaupun kepada bank lain, “kata BuzzFeed News.

Portal itu turut menyenaraikan 10 sepuluh bank teratas yang didedahkan dalam fail FinCEN.

InstitusiSARAmaun direkodkan
Deutsche Bank982US$1.3 trilion
Bank of New York Mellon325US$64 bilion
Standard Chartered232US$166 bilion
JPMorgan Chase107US$514 bilion
Barclays104US$21 bilion
HSBC73US$4.4 bilion
Bank of China35US$1.3 bilion
Bank of America35US$384 juta
Wells Fargo21US$57 juta
Citibank18US$251 juta

Jadual: BuzzFeed News

FinCEN ditugaskan di Perbendaharaan AS untuk memerangi jenayah kewangan.

FinCEN tidak memberikan maklumbalas kepada BuzzFeed News yang mahu mendapatkan penjelasan, tetapi memberikan amaran kebocoran fail adalah suatu kesalahan dan akan merujuk perkara itu ke Jabatan Kehakiman.