- Iklan -
Luar Sana

Aset dirampas dalam kes pengubahan wang haram di Singapura meningkat S$2.4 bilion

Aset itu kini termasuk wang tunai berjumlah lebih S$76 juta, 68 jongkong emas, mata wang kripto lebih S$38 juta, lebih 110 hartanah dan 62 kenderaan bernilai lebih S$1.2 juta.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar ini menunjukkan kenderaan mewah yang dirampas ketika serbuan polis, di Singapura, pada 16 Ogos. Gambar: Reuters
Gambar ini menunjukkan kenderaan mewah yang dirampas ketika serbuan polis, di Singapura, pada 16 Ogos. Gambar: Reuters

Jumlah nilai aset yang dirampas dalam kes pengubahan wang haram terbesar Singapura meningkat kepada S$2.4 bilion (kira-kira RM8.2 bilion), kata polis semalam. 

Aset itu kini termasuk wang tunai berjumlah lebih S$76 juta, 68 jongkong emas, mata wang kripto lebih S$38 juta, lebih 110 hartanah dan 62 kenderaan bernilai lebih S$1.2 juta. 

Pihak polis bagaimanapun tidak memberi sebarang butiran terperinci mengenai rampasan tersebut dan bagaimana ia dijumpai.

Bulan lalu, 400 pegawai polis menjalankan serbuan serentak di seluruh Singapura dan menahan 10 warga asing dalam usaha pencegahan pengubahan wang haram. 

Polis berkata 10 suspek itu didakwa "melakukan pengubahan wang haram hasil aktiviti jenayah terancang mereka di luar negara, termasuk penipuan dan perjudian dalam talian".

Ketika serbuan itu, polis berjaya merampas aset bernilai S$1 bilion termasuk akaun bank, wang tunai S$23 juta, rumah mewah, kereta, beg, jam tangan dan dua jongkong emas. 

Kesemua 10 suspek berkenaan juga mempunyai pelbagai pasport dari Cyprus, Kemboja, Dominica, China, Turkiye dan Vanuatu. 

Jumlah itu dikemas kini kepada S$1.8 bilion pada awal September kerana siasatan membawa pihak berkuasa kepada aset di bank Switzerland. 

Jumlah besar yang dirampas dalam kes itu telah menjadi bualan ramai di Singapura, yang menarik pelaburan besar dan kekayaan persendirian sejak pandemik tetapi secara amnya diketahui mempunyai kadar jenayah yang rendah. 

Angka terkini daripada bank pusat menunjukkan bahawa jumlah aset di bawah pengurusan di Singapura meningkat 16% pada 2021 kepada S$5.4 trilion, berbanding peningkatan global sebanyak 12% kepada $112 trilion pada tahun yang sama.