- Iklan -
Berita

Sebahagian wang pinjaman 1MDB masuk ke akaun Najib, kata penganalisis Bank Negara

Seorang penganalisis Bank Negara Malaysia berkata lima transaksi berlaku antara 23 Jun 2014 dan 17 Disember 2014.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak, diiringi anggota keselamatan pada perbicaraan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak, diiringi anggota keselamatan pada perbicaraan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa lebih £9.45 juta wang pinjaman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri Najib Razak pada 2014.

Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan, 29, berkata wang itu daripada dua syarikat asing, Blackrock Commodities (Global) Ltd dan Vista Equity International Partners, dikuasai Eric Tan Kim Loong, yang didakwa sebagai rakan perniagaan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Saksi pendakwaan ke-47 itu berkata wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun Najib yang berakhir dengan “880”, antara 23 Jun 2014 hingga 17 Disember 2014.

“Blackrock memindahkan £750,000 juta (RM4,093,500 mengikut kadar pertukaran ketika itu) pada 19 Jun 2014, manakala Vista Equity memindahkan £8,706,021.92 juta (RM45,825,918.13 pada kadar pertukaran ketika itu) ke dalam akaun yang sama melalui lima transaksi,” katanya.

Menurut pernyataan pembukaan pihak pendakwaan pada permulaan perbicaraan pada 2019, ia menyatakan jumlah tersebut (£9.45 juta) asalnya daripada 1MDB melalui anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Ltd, yang memperoleh dua pinjaman berjumlah UAS$1.225 bilion daripada Deutsche Bank Singapura.

Adam Ariff berkata akaun "880" Najib mempunyai RM100,000 sebelum £750,000 (RM4,093,500) didepositkan.

Saksi itu berkata demikian ketika mengesahkan laporan jejak wang pada perbicaraan Najib membabitkan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Najib, 70, hadir di mahkamah memakai sut biru dan bertali leher. Beberapa penyokongnya dilihat duduk di galeri awam di mahkamah.

Bekas perdana menteri itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 9 Oktober.