Thursday, May 19, 2022

Isu inflasi dan kuasa beli di Johor: Apa rancangan MB?

Apakah jalan keluar oleh kerajaan negeri untuk memastikan kuasa beli rakyat tempatan terus kukuh.

Other News

Menurut laporan media Singapura baru-baru ini Ringgit Malaysia (RM) susut ke parasnya yang terendah dalam masa hampir lapan bulan, berbanding dolar Singapura (SGD). Dalam perdagangan pasaran mata wang, ringgit berada pada paras RM3.10 berbanding SGD.

Hal ini turut dilaporkan di Malaysia bahawa RM terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat untuk sesi keempat berturut-turut dan mata wang tempatan kita terus susut kepada 4.2800.

Pada masa yang sama, indeks harga pengguna (IHP) dari Jabatan Perangkaan Malaysia yang mengukur kadar inflasi di Malaysia telah meningkat kepada 2.2% pada Februari lalu, sekaligus melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga Februari 2022 iaitu 1.9% pada Februari 2022.

Jika kita lihat siri-siri laporan ini, jelas ia suatu khabar yang akan menjadi suatu kebimbangan kepada kita semua.

Kebimbangan ini berasas kerana dalam tempoh enam bulan ke depan, bagaimana kita sebagai rakyat nak menghadapi pelbagai lagi kenaikan barangan keperluan hidup.

Dalam perkembangan yang sama, seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian, MB Johor ada mengulas mengenai kejatuhan nilai RM berbanding SGD sebagai suatu kelebihan kerana MB berpendapat ia akan menggalakkan lebih ramai rakyat Singapura datang berbelanja di Malaysia, khususnya Johor.

Hafiz Onn seterusnya menjelaskan bahawa rakyat Singapura akan mempunyai kuasa beli yang lebih tinggi berikutan kekuatan SGD dan akan terus berbelanja di Johor.

Bagi saya kenyataan MB Johor ini agak mengelirukan dan menghantar mesej yang salah. Pandangan beliau seolah-olah kejatuhan nilai ringgit berbanding SGD dianggap sebagai satu kelebihan atau rahmat kepada rakyat, dengan beliau meletakkan harapan orang Singapura akan berbelanja di Malaysia.

Jika mengikut lojik MB Johor ini, yang untung hanya rakyat Singapura dan juga golongan peniaga, bukan keseluruhan rakyat apatah lagi “keluarga Malaysia”.

Impak ekonomi ini tidak menyeluruh dan bersifat sementara – sekali air bah, sekali pasir berubah.

Pertama, perlu kita ingat bahawa, yang akan mewah berbelanja nanti ialah rakyat Singapura sedangkan aktiviti ekonomi kita harus menguntungkan rakyat Malaysia atau Johor, bukan rakyat negara asing.

Keadaan ini akan menjadikan kuasa beli rakyat tempatan kekal di takuk lama.

Malah ianya semakin mengecil apabila peniaga-peniaga tempatan menaikkan harga barangan bagi pelanggan Singapura yang dikatakan mempunyai kuasa beli yang lebih besar berbanding rakyat tempatan.

Jika ini dibiarkan, ia menunjukkan dasar ekonomi kita tidak betul kerana kita tak berusaha untuk mengawal kadar inflasi yang akan meningkat dan akhirnya keadaan ini akan merugi dan membebankan rakyat sendiri.

Saya ingin bertanya kepada MB Johor:

i. Apakah perancangan beliau untuk menangani masalah inflasi yang semakin meningkat ini diperingkat negeri? Apakah strategi beliau?

ii. Apakah jalan keluar oleh kerajaan negeri untuk memastikan kuasa beli rakyat tempatan terus kukuh demi menjamin kemampanan aktiviti ekonomi negeri Johor.

Isu tarif air di negeri Johor yang merupakan kadar termahal di Malaysia, seharusnya boleh diselesaikan dengan mudah oleh beliau.

Isu lambakan rumah-rumah tidak terjual di negeri Johor, juga tidak seharusnya jadi masalah untuk beliau selesaikan.

Semua ini kerana beliau mendapat sokongan yang kukuh. Dengan mandat politik dua pertiga yang beliau miliki, seharusnya beliau tidak ada masalah untuk merangka pelan dan strategi yang terbaik sambil makan pop corn.

Selain sumbangan ehsan dan kebajikan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada rakyat baru-baru ini, kita mahu tahu apakah rancangan beliau yang lebih konkrit untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Apakah rancangan Johor dalam tempoh pelan pemulihan negara untuk tahun ini dan hadapan? Adakah beliau akan menabur lebih banyak wang sebagai bantuan ehsan yang tidak memberi impak struktural kepada daya tahan ekonomi negeri?

Saya menanti jawapan dan perancangan beliau dan pastinya beliau mempunyai idea untuk semua masalah ini.

Mahdzir Ibrahim adalah ahli Pejuang.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles