- Iklan -
Berita

Kejatuhan ringgit jejas tenaga buruh Johor, lebih ramai berhijrah ke Singapura, kata laporan

Channel NewsAsia menyebut cabaran dalam industri seperti penjagaan kesihatan dan F&B.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan umum Tambak Johor-Singapura yang menghubungkan bandar Johor Bahru di Malaysia merentasi Selat Tebrau ke Woodlands di Singapura.
Pemandangan umum Tambak Johor-Singapura yang menghubungkan bandar Johor Bahru di Malaysia merentasi Selat Tebrau ke Woodlands di Singapura.

Sektor utama di Johor berdepan kekurangan tenaga kerja apabila lebih ramai rakyat Malaysia berhijrah ke Singapura untuk mencari peluang pekerjaan lebih cerah di tengah-tengah kejatuhan nilai ringgit, lapor Channel NewsAsia (CNA).

Dalam artikel mengenai cabaran buruh di negeri ini, CNA menyebut industri seperti perkhidmatan penjagaan kesihatan serta makanan dan minuman (F&B), yang sudah bergelut untuk menangani kesan daripada pandemik Covid-19. 

Portal berita itu memetik pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon sebagai berkata sektor penjagaan kesihatan merosot kira-kira 2,800 jururawat di hospital awam.

"Itu tidak termasuk jururawat di hospital swasta," kata Ling kepada CNA.

Kenyataan Ling itu disambut dipersetujui Pengurus Wilayah Columbia Asia, Rahani Yaakob yang memberitahu akhbar Singapura tersebut kekurangan jururawat di Johor adalah semakin "teruk".

"Ada yang bekerja selama beberapa tahun sebelum mencari pilihan di Singapura di mana mereka mendapat gaji yang lebih baik.

“Kami tidak dapat menahannya," Rahani, yang menyelia dua cawangan Columbia Asia di Johor, dipetik sebagai berkata.

Ringgit baru-baru ini mencecah paras 4.70 pada 27 September, terendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tahun ini.

Ia juga merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4334/4373 daripada 3.4275/4310.

Pada awal dagangan hari ini, ia merekodkan 4.6990/7045 berbanding dolar AS dan 3.4370/4415 berbanding dolar Singapura.

Ling memberitahu CNA satu penyelesaian untuk sektor penjagaan kesihatan adalah untuk melatih lebih ramai jururawat tempatan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri Liew Chin Tong berkata kerajaan berusaha untuk menaikkan gaji di Johor, di mana ramai rakyat Malaysia berhijrah setiap hari untuk bekerja di Singapura.

"Setiap pagi, puluhan ribu rakyat Malaysia menunggang motosikal mereka menuju ke Singapura, seawal jam 4 pagi, 5 pagi.

“Mereka bekerja dalam pekerjaan yang dibayar upah S$2,000. Ini sebahagiannya kerana di Malaysia, gaji sangat rendah... mungkin satu pertiga daripada gaji mereka peroleh di Singapura dan dari segi penukaran mata wang, terdapat jurang yang besar.

"Jadi ia menjadikan satu kes yang menarik untuk rakyat Malaysia bekerja di Singapura," Liew dipetik sebagai berkata. 

Masalah yang sama dilaporkan dalam industri F&B di mana Presiden Persatuan Tukang Masak Johor Bahru, John Ang menganggarkan bahawa bilangan chef dan tukang masak di bandar raya itu berkurangan sebanyak 40%.

"Oleh kerana mata wang, ramai kakitangan lari ke Singapura dan sukar untuk menarik mereka untuk kembali," katanya dipetik sebagai berkata.

Beliau juga berkata syarikat Singapura dilihat lebih cenderung untuk mengupah chef yang lebih mahir, dan yang "biasanya boleh melakukan kerja dua hingga tiga orang". 

Beliau juga berkata tawaran gaji yang lebih tinggi boleh membantu Johor mengekalkan bakatnya.

"Pengusaha di Johor Bahru perlu menawarkan gaji yang kompetitif jika kami mahu mengekalkan bakat. Jika kami boleh menandingi, kita mesti cuba," katanya.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar pada Mac berkata 1.13 juta daripada 1.86 juta rakyat Malaysia yang berhijrah ke luar negara menetap di Singapura setakat 2022. 

Beliau juga berkata peratusan penghijrahan adalah 5.6% daripada jumlah penduduk negara iaitu sebanyak 33 juta – lebih daripada purata global 3.3%. 

Sementara itu, akhbar kewangan The Edge pada Ogos tahun lepas mendedahkan data daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan Singapura adalah "negara yang paling digemari" dengan 54% rakyat Malaysia di luar negara bekerja di sana, diikuti oleh Australia (15%), UK (5%) dan AS (10%).

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi