- Iklan -
Berita

Harga makanan akan naik lagi, kata pakar selepas ringgit cecah paras terendah

Barjoyai Bardai berkata pengimport perlu membayar dalam dolar Amerika Syarikat.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pelanggan membuat pembayaran di kaunter di sebuah pasar raya di Taman Kuchai.
Pelanggan membuat pembayaran di kaunter di sebuah pasar raya di Taman Kuchai.

Pakar ekonomi memberi amaran negara perlu bersedia dengan kenaikan kos import selepas ringgit mencecah RM4.71 berbanding satu Dolar Amerika Syarikat (AS), paras terendah tahun ini.

Barjoyai Bardai berkata ia akan memberi kesan kepada harga makanan kerana nilai import makanan yang mencecah RM70 bilion tahun ini.

"Harga barang import secara efektif akan menjadi lebih mahal susulan pengimport menaikkan harga.

“Ini kerana mereka perlu membayar import dalam dolar Amerika," kata pakar ekonomi itu kepada MalaysiaNow.

Pada Julai lalu, ringgit menjadi mata wang paling teruk tahun ini di rantau Asia Tenggara.

Beberapa faktor dikesan menyebabkan ringgit terus lemah antaranya kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) dan perdagangan yang lemah dengan China, rakan dagang terbesar Malaysia.

Paras terendah sebelum dicatatkan pada 19 September lepas, apabila ia jatuh kepada 4.6890/6940 berbanding dolar AS.

Menurut Barjoyai, harga barang di negara-negara maju secara umum turut meningkat ekoran inflasi di negara-negara terbabit.

"Kekurangan bekalan yang berlaku ialah disebabkan faktor psikologi, faktor perang di Ukraine dan faktor perang dagangan antara China dan AS.

“Semua ini akan menyumbang kepada keadaan yang lebih tidak menentu dalam pasaran antarabangsa jadi kita perlu bersedia untuk berdepan kemungkinan kos mengimport naik," katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kerajaan dalam usaha mengurangkan kebergantungan import makanan daripada negara lain.

Katanya, import makanan termasuk benih tumbuhan mencecah RM70 bilion setahun.

Kejatuhan ringgit kerap menjadi tajuk berita pada tahun ini, dengan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pernah berkata kejatuhan nilai ringgit turut membawa kesan baik kepada negara.

Jun lalu, ahli Parlimen Pandan itu berkata kerajaan tidak akan campur tangan segera dalam krisis kejatuhan pasaran modal dan ringgit.

Katanya, kos campur tangan untuk menyokong pasaran modal dan ringgit akan menjadi besar dengan dana itu sewajarnya disalurkan kepada pembangunan ekonomi.

Kejatuhan ringgit turut mendapat perhatian Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin yang berkata kerajaan tidak membuat apa-apa berkenaan situasi itu.

Katanya kejatuhan nilai mata wang negara berturut-berturut minggu lepas menandakan kegagalan kerajaan melakukan langkah intervensi segera.

Sementara itu, pakar ekonomi daripada Institut Iris Adilah Zafirah berkata, kejatuhan nilai ringgit dilihat tidak memberi kesan kepada import makanan memandangkan AS bukan pengeksport makanan utama ke Malaysia.

"Sekarang ini kita semakin kurang menggunakan dokar AS untuk perdagangan dengan negara lain.

"Eksport Malaysia ke negara lain juga akan menjadi lebih murah jika dibeli dalam dolar AS," katanya.

Menurut beliau, Malaysia mungkin berdepan tekanan untuk menaikkan kadar faedah ekoran kenaikan kadar faedah di AS, namun pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum kadar ditentukan.