- Iklan -
Berita

Nazri angkat sumpah Adun Simpang Jeram

Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,514 undi selepas menewaskan Dr Mazri Yahya dari Perikatan Nasional dan calon bebas S Jeganathan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Nazri Abdul Rahman mengangkat sumpah jawatan sebagai Adun Simpang Jeram di Iskandar Puteri, 14 September. Gambar: Twitter
Nazri Abdul Rahman mengangkat sumpah jawatan sebagai Adun Simpang Jeram di Iskandar Puteri, 14 September. Gambar: Twitter

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram Nazri Abdul Rahman hari ini mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di Iskandar Puteri hari ini.

Majlis angkat sumpah diadakan di hadapan Speaker DUN Johor Mohd Puad Zarkashi sambil disaksikan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan Adun Johor yang lain.

Terdahulu, Puad yang juga Adun Rengit merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Salahuddin Ayub atas pemergian beliau pada 23 Julai lepas.

“Sama-samalah kita doakan beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Bagi yang beragama Islam marilah kita sama-sama membaca al-Fatihah dan bagi mereka yang bukan beragama Islam, berdiri bertafakur selama satu minit,” kata beliau ketika berucap sebelum bermulanya persidangan, hari ini.

Puad turut mengucapkan tahniah kepada bekas Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat dan Nazri, atas kejayaan masing-masing memenangi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 9 September lepas.

Nazri, 56, memenangi kerusi DUN Simpang Jeram dengan majoriti undi 3,514, menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas S Jeganathan.

PRK Pulai dan Simpang Jeram diadakan susulan kematian Salahuddin yang juga timbalan presiden Amanah.