Monday, May 16, 2022

Kenapa dan siapa dorong Asyraf Wajdi sindir ‘kluster mahkamah’?

Asyraf menegaskan Umno perlu menanam rasa benci terhadap sebarang bentuk, rasuah di hadapan presidennya yang kini berdepan puluhan pertuduhan jenayah di mahkamah.

Other News

Wah, cukup berani nampaknya Asyraf Wajdi Dusuki menyindir “kluster mahkamah” dalam ucapan dasar Ketua Pemuda Umno, pagi tadi.

Lebih “daring”, sindiran itu dibuat di hadapan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang secara kebetulan singgah meninjau perjalanan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno 2021.

Di hadapan Zahid, Asyraf dengan berapi-api menegaskan penjernihan budaya politik mesti segera dimulakan dengan menanam rasa benci dan jelik kepada sebarang bentuk korupsi, rasuah dan hipokrasi kerana ia mencairkan integriti dan meruntuhkan nilai-nilai akhlak manusiawi.

“Sebuah kerajaan yang dibentuk tanpa integriti dan berkiblatkan kerakusan kuasa hanya akan mewujudkan huru hara dan kesengsaraan kepada rakyat jelata,” katanya yang sudah dua kali kalah dalam pilihan raya.

Ucapan itu pastinya membuatkan Zahid merah telinga kerana beliau sendiri telah diperintahkan Mahkamah Tinggi membela diri terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan yang ditubuh untuk membantu orang miskin.

Turut terkena tempias sindiran pedih itu ialah Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Najib Razak, yang beberapa hari lalu diberi kredit oleh Zahid sebagai penyumbang utama kemenangan besar parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Jika Zahid diperintah membela diri, Najib pula telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta sehingga digelarkan pengerusi panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebagai “memalukan negara” kerana menyonglap duit rakyat.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yang berada di sebelah Zahid sewaktu Ayraf menyampaikan ucapan berkenaan turut memberi pujian kepada ketua Pemuda Umno itu.

“Bagus ucapan Datuk Asyraf”, coret Mohamad di laman Facebooknya manakala Zahid langsung tidak membuat ulasan di laman media sosial rasminya.

Walaupun ucapannya dipuji timbalan presiden Umno, masyarakat nampaknya memperolokkan seruan Asyraf untuk menanam rasa benci dan jelik kepada sebarang bentuk korupsi, rasuah dan hipokrasi.

Mereka meninggalkan komen negatif di laman media sosial portal berita yang melaporkan berita ucapan dasar Asyraf Wajdi dengan mempersoalkan jika betul jijik dengan rasuah, Ketua Pemuda UMNO itu mesti menolak kluster mahkamah, bukannya mempertahankannya.

Mereka juga menyifatkan ucapan Asyraf itu sebagai satu sandiwara, malah ada yang meminta beliau mendalami maksud peribahasa “kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi”.

Bagaimanapun, persoalan yang lebih besar ialah kenapa dan siapa yang mendorong Asyraf membuat sindiran sedemikan rupa kepada dua tokoh yang dijulang-julang Umno itu?

Saladin Hasan Salleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles