- Iklan -
Rencana

Asean dan percaturan geopolitik serantau

Pegangan lama yang konvensional perlu diberi perspektif dan suntikan baru dalam memastikan negara dan pemegang taruh di rantau ini diberikan ruang mencukupi bagi merencana dasar dan strategi baru.

Collins Chong Yew Keat
5 minit bacaan
Kongsi
Asean berdepan cabaran baru dalam menanggapi politik persaingan pengaruh antara Amerika Syarikat dan China. Gambar: AP
Asean berdepan cabaran baru dalam menanggapi politik persaingan pengaruh antara Amerika Syarikat dan China. Gambar: AP

Sidang Kemuncak Asean ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung bulan lalu memperlihat perencanaan anggota Asean dalam melakar wadah kerjasama dan kesepakatan baru seiring dengan pembangunan dan pemulihan pasca pandemik.

Usaha dan inisiatif ke arah ini dibayangi dilema dan keresahan memuncak berhubung tuntutan keselamatan dan kestabilan rantau yang kian merudum, diselami oleh polemik persaingan kuasa dan perlumbaaan senjata. Di sebalik tirai konflik konvensional yang berpaksikan kepentingan negara sebagai pelaku utama di pentas politik antarabangsa, rantau Asia Tenggara dan Indo Pasifik secara amnya turut bergelut dengan impak ancaman bukan tradisional yang memberikan dampak endemik antara lain, termasuk ancaman keganasan dan bencana perubahan iklim.

Dalam menelurusi reaksi dan polisi pencegahan serta pengawalan gabungan kedua-dua jenis ancaman ini, anggota Asean sekali lagi terpaksa berdepan dengan kesukaran untuk menyeimbangi desakan dan pengaruh kuasa luar yang diterajui Amerika Syarikat dan China serta sekutu masing-masing, sekali gus menyaksikan rantau ini menjadi pentas pencetus konflik yang hanya menunggu masa untuk terus menjunam ke kancah konflik berskala tinggi dan berpotensi melibatkan penggunaan senjata berisiko tinggi (mass casualty weapons).

Laporan yang diterbitkan baru-baru ini yang menyaksikan ujian peluru berpandu hipersonik berkuasa nuklear yang dilancarkan oleh China menjadi pemangkin kepada kegelisahan Barat terutamanya Amerika Syarikat dalam menilai kekuatan dan kebolehan sebenar kelengkapan ketenteraan ofensif yang dimiliki China. Ini menjadi game changer dalam kancah pertelingkahan di benua ini.

Penubuhan pakatan ketenteraan dan pertahanan di antara Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom (Aukus) bulan lalu mencerminkan tahap kebimbangan mengenai perluasan kuasa dan dominasi China yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan dan keselamatan bukan sahaja negara di rantau ini malahan di rantau lain dalam menghadapi tempias dan kesan global kebangkitan China.

Aukus terus mendominasi perbincangan dan perdebatan hangat dalam merungkai kemelut percaturan strategi yang paling efektif dalam menghalang hasrat China untuk terus memperkukuh benteng hadapan pertahanan dan memperluas medan strategik perencanaan dan pelaksanaan ketenteraan ofensif terutamanya di Laut China Selatan.

Dalam meneliti reaksi anggota Asean dan negara lain mengenai impak Aukus ke atas aspek kestabilan dan keamanan rantau, dua spektrum berbeza menjadi rencana perancangan analisis di mana secara gambaran rasmi, luahan kebimbangan mengenai potensi Aukus untuk mencetus perlumbaan senjata yang baharu dan memperdalam krisis keselamatan di Asia Timur dan Asia Tenggara menjadi sandaran tentangan dan bantahan terhadap pakatan ketenteraan ini yang melibatkan pemindahan dan pembangunan teknologi ketenteraan alaf baharu termasuk kapal selam berkuasa nuklear.

Di sebelah dimensi yang lain dan di sebalik tirai diplomasi rasmi, terdapat negara dan pakar pertahanan serta pembuat dasar yang sekian lama menanti-nantikan Aukus dalam memberi keseimbangan dan jaminan keselamatan untuk kelangsungan negara dan kestabilan rantau melalui kebolehan pencegahan dominasi dan perluasan agresif China, berperanan sebagai cegah rintang yang efektif. Negara-negara ini dan kebanyakan negara anggota Asean terpaksa menelusuri perencanaan dan percaturan geopolitik rantau yang kompleks dan mencabar dalam merangka strategi dan dasar luar yang bertunjangkan kedaulatan wilayah dan kelangsungan negara dan pada masa yang sama menyeimbangi keperluan dan komitmen kepada Asean dan pengaruh kuasa luar.

Dominasi dan pengaruh langsung dan tidak langsung China dan Amerika Syarikat dalam aspek ekonomi dan pertahanan ke atas negara anggota Asean menjadi pertalian yang tidak dapat dipisahkan atau digugat untuk kepentingan pihak-pihak yang terlibat dan ini menjadi faktor pengikat yang akan terus menghindari usaha dan komitmen Asean dalam memastikan rantau ini kekal aman, berkecuali dan stabil.

Walaupun tidak dinyatakan secara umum, kegusaran dan keresahan terhadap tindakan agresif China menjadi sebab Aukus mahupun pakatan lain seperti QUAD menjadi wadah jaminan keselamatan dan pengikat yang penting kepada negara-negara yang menerima kesan daripada dasar luar China. Rubrik konflik yang kompleks yang ditunjangi oleh kelicikan percaturan strategi dan matlamat serta alat dasar luar dalam mencapai kepentingan negara akan terus menyuntik kitaran zero-sum game sekiranya tiada usaha bersepadu dan peranan yang dimainkan oleh Asean terutamanya dalam merendahkan suhu ketegangan pertahanan dan geopolitik di rantau ini.

Ketegangan situasi semasa dengan perlumbaan senjata yang dicetus oleh kesangsian dan ketidakpercayaan terhadap matlamat dan tindakan perikatan dan pakatan yang ditubuhkan untuk mengekang perluasan kuasa China turut menyaksikan kemunculan rantaian dan rangkaian impak dilema keselamatan, di mana tindakan sesebuah negara untuk meningkatkan kapasiti pertahanan dan senjata untuk menghadapi potensi konflik akan diinterpretasikan oleh negara lain sebagai ancaman dan kitaran yang sama akan berlaku.

Pembangunan teknologi berlunaskan masa depan dengan perkembangan penyelidikan nano, kuantum dan penguasaan maklumat sekaligus menyebabkan dimensi konflik dan tunjang peperangan berdepan transformasi sistemik, di mana lebih banyak pelaku dan pemegang taruh akan terpalit dalam kancah dan impak risiko konflik berskala tinggi.

Perkembangan membimbangkan di Selat Taiwan yang turut berpotensi menjadi kesan domino kepada Asia Tenggara bukan sahaja akan memudaratkan kepincangan senario semasa, ia turut akan menjadi faktor penarik kepada China dan Amerika Syarikat untuk mempergiat persiapan dan usaha rintangan dan timbal balik di rantau ini, mempertingkatkan kegiatan ketenteraan dan pembinaan persiapan senjata dan pangkalan.

Sebahagian besar anggota Asean bukan sahaja terikat kepada kehendak dan kepentingan ekonomi dan pertahanan yang diberikan oleh China atau Amerika Syarikat, mereka tersepit antara usaha mempertahankan kelangsungan dan keselamatan negara dan pada masa yang sama memastikan jaminan perkembangan ekonomi tidak terjejas.

Prospek masa depan akan terus diwarnai perebutan dan persaingan kuasa yang didorongi tuntutan pembangunan ekonomi yang melibatkan kepakaran dan penggunaan sumber tenaga dan bahan mentah serta dominasi teknologi dan ilmu sebagai peneraju utama indikator pembangunan negara.

Kesemua ini akan berpandukan kepada sandaran “hard power” atau kuasa optimum ketenteraan sebagai faktor pemangkin dan penyudah yang efektif dalam mencapai matlamat dan objektif yang ditentukan. Asean yang ditubuhkan dalam zaman Perang Dingin sebagai kawalan dan pencegah kepada impak domino komunisme dan sebagai wadah mengekang penularan konflik ke seluruh Asia Tenggara dilihat sebagai platform keamanan dan kestabilan dalam memainkan peranan mencegah konflik dan menstabilkan rantau ini berdasarkan konsep berkecuali dan pemupukan kerjasama ekonomi dan hubungan sesama masyarakat.

Namun ironinya, Asean dan jalinan ikatan rantau berkaitan dilihat hilang pengaruh, kuasa pengikat dan ketentuan taruh dalam memastikan konflik alaf baru berskala tinggi ini dapat dikekang atau ditangani. Konsep sedia ada seperti Zopfan dan juga Code of Conduct di Laut China Selatan tidak berkesan dalam menghalang pengaruh dan perluasan kuasa China dan Amerika Syarikat, sekaligus memporak-perandakan prospek keamanan dan keselamatan di Asia Tenggara dan Indo Pasifik secara amnya.

Pegangan dan konsep lama yang konvensional perlu diberi perspektif dan suntikan baru dalam memastikan negara dan pemegang taruh di rantau ini diberikan medan dan ruang mencukupi untuk merencana dasar dan perangkaan strategi baru dalam memastikan kepentingan dan keselamatan terjamin, dalam menerima hakikat bahawa percaturan geopolitik rantau akan terus diterajui oleh Perang Dingin baharu China dan Amerika Syarikat yang berisiko tinggi akan pantas berubah menjadi Perang Hangat yang akan mengubah wajah dan wadah dunia untuk abad yang akan datang.

Collins Chong Yew Keat adalah penolong pendaftar Universiti Malaya.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow