- Iklan -
Kolum

Kos pelitup muka, kit ujian Covid-19 jadi penentu SOP

Apabila kos pelitup muka dan kos kit ujian kendiri dapat diturunkan, maka aktiviti-aktiviti lain boleh dilonggarkan.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Hidup bersama Covid-19 sudah pasti.

Namun, bezanya dengan demam denggi ialah Covid-19 mudah berjangkit.

Vaksin yang ada hanya berupaya mengurangkan kemungkinan gejala melarat ke tahap ketiga dan atas.

Jadi, bagaimana manusia boleh hidup bersama Covid-19, dan pada masa sama tidak menjejaskan aktiviti harian sehinggalah penyakit Covid-19 ada rawatan tersendiri?

Betul kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, prosedur operasi standard (SOP) hari ini terlalu banyak dan rumit.

Ia perlu diringkaskan kepada beberapa langkah yang berkesan.

Pertama, manusia perlu menerima memakai pelitup muka adalah wajib.

Pelitup muka perlu disediakan di mana-mana tempat pada harga yang sangat murah, seperti harga masuk ke tandas contohnya 10 sen sekeping.

Sesiapa yang tidak memakai pelitup muka perlu disaman serta-merta.

Kedua, kerajaan perlu memastikan kit ujian Covid-19 menjadi mampu milik seperti ubat panadol.

Langkah kerajaan mengenakan harga siling terhadap kit ujian Covid-19 amat dialu-alukan, namun harga itu masih tinggi bagi golongan B40 dan M40.

Masalah utama hari ini ialah manusia hanya menjalankan ujian Covid-19 apabila disyaki terkena jangkitan kerana kontak rapat dan sebagainya.

Cara ini perlu diubah.

Yang betulnya, manusia perlu sentiasa menjalankan ujian Covid-19.

Kita perlu kesan dahulu sebelum merebak.

Hari ini ramai yang merebak dulu penyakit sebelum dikesan positif Covid-19.

Oleh itu, harga kit ujian ini perlu dimurahkan lagi agar semua premis perniagaan dapat memilikinya tanpa membawa beban kos kepada pelanggan.

Tujuannya ialah mereka yang perlu memasuki premis perniagaan bersifat keluarga dan orang ramai, seperti restoran, tapak permainan, tempat sukan, sekolah, universiti, hospital, pejabat dan sebagainya perlu menjalani kit ujian kendiri terlebih dahulu.

Ini dapat mengawal pertumbuhan kluster kerana cara ini dapat mengesan individu yang positif sebelum dibenarkan bersama kumpulan yang negatif.

Namun, kos kit ujian Covid-19 hari ini masih menjadi penghalang ke arah melaksanakan SOP ini.

Bayangkan untuk makan di restoran, jika setiap individu hanya membayar lebihan RM3 ke RM5 sebagai kos kit ujian Covid-19 sebelum memasuki premis, sudah tentu ramai yang sudi mengikuti SOP ini.

SOP yang sama boleh dilakukan di lapangan terbang, stesen bas, stesen LRT, premis kerja dan pusat beli-belah.

Apabila kos pelitup muka dan kos kit ujian kendiri dapat diturunkan, maka aktiviti-aktiviti lain boleh dilonggarkan.

Ini kerana, ketika itu, semua tempat pasti akan melaksanakan SOP membuat ujian dahulu sebelum membenarkan individu tertentu masuk ke premis.

Terutamanya jika premis itu adalah dalam keadaan tertutup kerana ia mampu dibuat, dan kos juga mampu ditanggung pelanggan.

Perkara yang sama juga boleh dilakukan untuk aktiviti keluarga, upacara keagamaan dan kematian.

Ketiga, jangan beri pengecualian kepada golongan yang enggan menerima vaksin.

Kita perlu menghormati keputusan, namun mereka perlu menerima akibat daripada pendirian yang diambil.

Mereka perlu dilarang memasuki mana-mana premis, hatta jika keputusan ujian Covid-19 adalah negatif.

Dan kerajaan perlu meletakkan premium kepada kos rawatan Covid-19 kepada golongan yang enggan menerima vaksin jika mereka dimasukkan ke hospital awam.

Golongan anti-vaksin yang perlu bersama kanak-kanak seperti guru dan pengasuh perlu diberi tempoh tamat kontrak untuk digantikan mereka yang sudi divaksin.

Keempat, pihak penguatkuasa perlu bertindak tegas terhadap individu yang positif Covid-19 tetapi didapati merayau ke sana-sini.

Oleh itu, mulai hari ini, kerajaan mesti mewajibkan penggunaan MySejahtera di mana-mana sahaja.

Buku tulis nama sebelum masuk ke premis perlu diharamkan.

Individu yang positif, dan didapati MySejahtera masih ke sana ke sini perlu disaman berat agar menjadi pengajaran kepada orang lain.

Bersedialah hidup bersama Covid-19 dengan pelitup muka dan juga melakukan ujian senantiasa agar kehidupan norma baru ini dapat menghampiri kehidupan norma lama.