- Iklan -
Rencana

Apa motif Zahid umum PM setuju tubuh RCI?

Apakah nasib kerajaan jika MT Umno berterusan membuat tekanan demi tekanan semata-mata untuk menyelamatkan kumpulan kleptokrat dalam parti itu?

Zakaria Hamid
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan barisan Kabinet. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan barisan Kabinet. Gambar: Bernama

Ahmad Zahid Hamidi yang gagal hadir perbicaraan kes mahkamah kerana sakit tulang belakang, tiba-tiba hadir mempengerusikan mesyuarat MT Umno yang berlangsung selama 3 jam semata-mata untuk gesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan campurtangan politik dalam badan kehakiman dan pejabat Peguam Negara.

Belum pun barisan Kabinet yang diumumkan oleh PM mengangkat sumpah, Zahid telah menggunakan parti Umno untuk menekan Kabinet membuat keputusan bagi kepentingan dirinya.

Dalam satu temubual dengan portal Malaysia Post pada 21 Februari 2020, Zahid mendakwa 47 pertuduhan rasuah terhadap beliau adalah bermotif politik.

Dalam kenyataannya selepas mesyuarat MT Umno, Zahid mengatakan erdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno telah bersetuju untuk menubuhkan RCI. Sekali imbas, Zahid nak mengatakan PM mesti tunduk kepada keputusan MT Umno, yang mana dia adalah pengerusinya.

Walaupun jajaran baru yang dikomplot oleh Zahid, Najib dan Anwar gagal dan Ismail Sabri menjadi PM, Zahid cuba buktikan dialah yang berkuasa, bukan Ismail Sabri.

Tidakkah penubuhan RCI ini perlu dibincangkan dulu dalam Kabinet? Kabinet kerajaan PN sebelum ini telah membuat pendirian yang tegas untuk tidak mencampuri urusan mahkamah dalam kes pendakwaan ke atas kumpulan kleptokrat.

Adakah kabinet baru di bawah PM dari parti Umno mempunyai pendirian yang berbeza?

Jika benar, ke mana perginya janji untuk mempertahankan kebebasan badan kehakiman seperti yang tertera dalam kenyataan bersama PM dan pimpinan parti PH yang kononnya menjadi asas permulaan baru kerjasama politik rentas parti kerajaan Keluarga Malaysia?

Nampaknya belum apa-apa lagi Umno telah kembali semula ke perangai lamanya. Keputusan kerajaan dibuat dalam mesyuarat Umno bukan mesyuarat kabinet.

Sebelum ini, MT Umno banyak membuat keputusan politik untuk menekan Kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin. Tetapi oleh kerana Muhyiddin bukan dari parti Umno, keputusan MT Umno tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas beliau.

Muhyiddin tegas dengan pendiriannya sehinggalah kumpulan 15 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan kepada beliau. Akhirnya Muhyiddin terpaksa meletak jawatan.

Mungkin kerana kali ini PM adalah dari parti Umno, Zahid yang mewakili kumpulan kleptokrat dalam parti itu fikir mereka boleh menggunakan MT Umno untuk memberi tekanan kepada PM. Sebagai naib presiden Umno, keputusan MT Umno tentunya mengikat PM.

Apakah nasib kerajaan Keluarga Malaysia ini jika MT Umno berterusan membuat tekanan demi tekanan ke atas kerajaan semata-mata untuk menyelamatkan kumpulan kleptokrat dalam parti itu?

Umno hanya mempunyai 38 Ahli Parlimen daripada 114 ahli Parlimen yang menyokong kerajaan. Tidakkah 76 ahli Parlimen dari parti-parti lain hanya berpeluk tubuh berdiam diri melihat MT Umno cuba membuat kerosakan?

Mungkinkah ahli-ahli Parlimen dari parti-parti lain akan menarik sokongan kepada PM dari parti Umno jika kerosakan yang cuba dibuat oleh MT Umno semakin jelas nampak di mata rakyat?

Atau kumpulan 15 akan menarik balik sokongan kepada PM jika desakan mereka tidak dipatuhi?

Mungkinkah PM akan bertukar lagi atau pilihan raya diadakan?

Yang pasti tekanan demi tekanan akan dibuat ke atas PM dan kerajaan sehinggalah kumpulan kleptokrat ini bebas.

Kita tunggu dan lihat sahajalah.

Zakaria Hamid adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow