- Iklan -
Rencana

Zahid ibarat menggali kuburnya sendiri

Sedangkan dalam mesyuarat tersebut, MT memutuskan memberi kebebasan kepada ahli-ahli Parlimen.

Kamarazaman Yacob
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Tidak mudah untuk memecat ahli-ahli Parlimen yang dianggap ingkar terhadap arahan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Terdapat proses yang perlu dilalui.

Pertama perlu dihadapkan kepada lembaga disiplin Umno.

Kedua, keputusan lembaga disiplin Umno perlu diangkat kepada Majlis Tertinggi (MT).

Selama ini Zahid bebas memecat orang yang dilantik di dalam Umno.

Itu memang hak dia sebagai presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN).

Sekiranya Zahid mengumumkan untuk memecat para ahli-ahli Parlimen Umno yang tidak bersamanya, saya kira ahli Parlimen Bagan Datuk itu seperti menggali kuburnya sendiri.

Ini kerana Zahid sendiri membelakangi keputusan perhimpunan agung Umno untuk tidak bersama Anwar Ibrahim, PKR dan DAP.

Biarpun itu bukan keputusan perhimpunan agung Umno, tapi dianggap sebagai keputusan.

Itu dianggap keputusan semasa penggulungan oleh presiden dan perwakilan.

Keputusan, sepatutnya daripada usul yang dibentangkan semasa persidangan.

Bukti Zahid membelakangi keputusan perhimpunan agung Umno apabila audio percakapan beliau dengan Anwar tersebar.

Zahid mengakuinya audio yang tersebar itu sebagai benar.

Zahid sendiri membohongi Yang di-Pertuan Agong, bila mempersembahkan yang kononnya para ahli-ahli Parlimen Umno dan BN menyokong Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Keputusan mesyuarat MT Umno pada 7 Julai lain.

Tapi Zahid membaca keputusan yang dibuat terlebih sahulu sebelum sidang media.

Beliau mengumumkan Umno menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang membawa maksud ahli-ahli Parlimen Umno dan BN perlu meninggalkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin itu.

Sedangkan dalam mesyuarat tersebut, MT memutuskan memberi kebebasan kepada ahli-ahli Parlimen.

Zahid tidak boleh memaksa ahli-ahli Parlimen mengikut beliau meninggalkan kerajaan PN.

Itu bertentangan dengan keputusan perhimpunan agung Umno, di mana perlu menarik diri apabila Parlimen ke-14 dibubarkan.

Sekiranya keputusan mahkamah yang sepatutnya hari ini tetapi sudah ditangguhkan kepada tarikh baru, Zahid diminta membela diri.

Bermakna, sudah jelas Zahid akan kalah.

Saya kira yang berada di pihak yang defensif adalah Zahid jika beliau mengumumkan tindakan akan diambil terhadap ahli-ahli Parlimen yang ingkar terhadap kehendaknya.

Saya penuh yakin Zahid yang tumbang.

* Kamarazaman Yacob merupakan penganalisis politik dan bekas aktivis mahasiswa 1970-an.

* Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian MalaysiaNow.