- Iklan -
Rencana

Buka Parlimen: Mahu bincang nasib rakyat  atau kecam kerajaan?

Kalau betul mahu menjadikan sesi ini untuk rakyat kenapa tidak dengar dengan teliti segala intipati ucapan pembentang kerajaan terlebih dahulu?

Saladin Hasan Saleh
3 minit bacaan
Kongsi
Sidang Khas Dewan Rakyat masuk hari ketiga hari ini dengan pembentangan dari Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Sidang Khas Dewan Rakyat masuk hari ketiga hari ini dengan pembentangan dari Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Hari ini Mesyuarat Khas Dewan Rakyat sudah masuk hari ketiga dengan suasana masih tidak banyak berubah sebagaimana hari pertama sidang berjalan. Beberapa jam pertama perbahasan pada hari pertama dibazirkan dengan gelagat ahli-ahli Parlimen pembangkang yang tidak habis-habis menjerit dan memekik meminta laluan, mencelah dan bertanyakan Aturan Mesyuarat sebelum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berucap. Keadaan yang sama juga berlaku ketika Menteri Kewangan Tengku Zafrul membuat penggulungan.

Keadaan ini sangat bertentangan dengan apa yang diucapkan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang ketika mendesak Sidang Dewan Rakyat dibuka walaupun masih dalam darurat. Kononnya Parlimen perlu bersidang demi rakyat. Dewan Rakyat perlu dibuka bagi membolehkan hal-hal berkaitan Covid-19, vaksinasi, bantuan untuk rakyat dibahas bagi membantu rakyat seterusnya membantu menangani pandemik ini, menyelesaikan krisis kesihatan awam dan ekonomi negara.

Bagaimanapun apabila mesyuarat khas ini diadakan, perkara-perkara itu tidak berlaku. Rupanya kata-kata yang muluk-muluk itu hanya gebang kosong dan temberang sahaja. Mereka hanya mahu bersidang semata-mata mahu melepaskan geram dan kemarahan kepada kerajaan. Itu sahaja sebenarnya, jauh sekali tentang nasib hidup mati rakyat.

Jadi tidak harianlah hampir semua wakil rakyat pembangkang yang bangun berucap menyerang semua inisiatif yang kerajaan laksanakan bagi menangani pandemik Covid-19 dan membantu kehidupan rakyat yang terjejas. Dalam ucapan mereka tidak ada satupun kebaikan yang telah kerajaan lakukan!

Ucapan perdana menteri tentang Pelan Pemulihan Negara bukan sahaja tidak diberi perhatian malah diganggu dari awal hingga ke akhir. Malah sampai ke satu tahap sudah seperti biadab apabila sesi bertafakur dan membaca surah al-Fatihah bagi mengingati mangsa-mangsa Covid-19 yang terkorban disambut dengan jerit-pekik seperti sekumpulan manusia yang sedang dirasuk!

Kalau betul mahu menjadikan sesi ini untuk rakyat kenapa tidak dengar dengan teliti segala intipati ucapan terlebih dahulu. Kemudian berilah komen atau kritikan atau pandangan. Bukannya pada setiap masa mencuba mahu mencelah beramai-ramai, sehingga keadaan menjadi hingar-bingar.

Tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang berusaha gigih mengganggu setiap kali menteri-menteri terlibat memberi ucapan dan penjelasan jelas menunjukkan mereka bukanlah berminat sangat mahu membela nasib rakyat pada zaman pandemik ini sebaliknya sekadar mahu menenggelamkan segala inisiatif yang telah kerajaan perkenalkan bagi membantu rakyat.

Malah pada satu ketika barangkali setelah tidak ada apa lagi modal untuk mengganggu perjalanan mesyuarat, ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sudah berlagak seperti pakar kesihatan. Mereka mendesak kerajaan agar menerima, mengiktiraf dan meluluskan penggunaan dadah antiparasit, Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19.

Sedangkan tidak ada seorang pun daripada mereka ini berkelulusan dalam bidang perubatan. Waima rakan mereka, bekas menteri kesihatan Dzulkefly  Ahmad pun tidak berani mengesyorkan penggunaan ubat tersebut.

Tindakan tujuh ahli Parlimen PH mendesak Menteri Kesihatan Dr. Adham Baba supaya meluluskan penggunan Ivermectin menyebabkan netizen dan pengamal perubatan  meradang dan mengecam teruk mereka.

Mereka melahirkan rasa terkejut dan bimbang dengan sikap wakil rakyat PH yang menyokong secara semberono pengguna ubat tersebut tanpa menunggu kajian dan data rasmi. Para pengamal perubatan turut kesal kerana Dzulkefly yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Pakatan Harapan tidak menghalang rakan-rakannya yang bukan pengamal dan pakar perubatan daripada berbincang perkara tersebut.

Seperkara lagi agak melucukan, buat pertama kali juga dalam sejarah mesyuarat Dewan Rakyat, nama Yang di-Pertuan Agong  disebut berpuluh-puluh kali oleh wakil-wakil rakyat PH terutama DAP dengan seruan jangan derhaka ketika berbahas isu Proklamasi Darurat.

Nama Seri Paduka diseret sewenang-wenangnya demi kepentingan politik mereka . Sedangkan semua orang tahu apa sikap DAP terhadap institusi raja, raja-raja Melayu dan agama Islam selama ini!

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ini hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. Sikap dan perangai mereka masih tetap sama dan tidak pernah berubah ketika lama menjadi pembangkang, kemudian menjadi kerajaan 22 bulan dan kembali menjadi pembangkang. Rakyat yang menonton warna sebenar mereka sepanjang sidang tidak akan terpedaya lagi selepas ini!

Saladin Hasan Saleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow