- Iklan -
Rencana

Ketidakadilan dakwaan Malaysia sebagai negara gagal

Elit politik harus mengelak daripada melabel kerajaan sebagai kerajaan gagal hanya semata-mata untuk tujuan berpolitik.

Rais Hussin dan Jamari Mohtar
5 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja kontraktor Alam Flora duduk di tepi jalan sambil menikmati makanan selepas melakukan kerja pembersihan di Jalan Chan Sow Lin, Sungai Besi. Kerja penyelenggaraan adalah antara sektor yang dibenarkan beroperasi ketika negara berada di bawah perintah kawalan pergerakan.
Seorang pekerja kontraktor Alam Flora duduk di tepi jalan sambil menikmati makanan selepas melakukan kerja pembersihan di Jalan Chan Sow Lin, Sungai Besi. Kerja penyelenggaraan adalah antara sektor yang dibenarkan beroperasi ketika negara berada di bawah perintah kawalan pergerakan.

Sekiranya Daniel Moss dari Bloomberg memiliki fakta tepat dengan hanya bekerja lebih keras lagi untuk melihat perangkaan terbaru Indeks Negara Rapuh (FSI 2021), beliau tidak akan membuat dakwa-dakwi dalam artikelnya bahawa Malaysia sedang menuju ke arah negara gagal.

Indeks FSI yang 17 tahun dahulu dikenali sebagai Indeks Negara Gagal diterbitkan Fund for Peace, sebuah pertubuhan bukan untung berpusat di Amerika Syarikat (AS), telah menyenaraikan 179 negara berdasarkan kerapuhannya, dengan Yaman di tempat pertama sebagai negara paling rapuh dan Finland di bahagian bawah sebagai negara paling tidak rapuh untuk 2021.

Memandangkan Bloomberg adalah media berita berpusat di AS, Moss seharusnya lebih peka indeks FSI memaparkan negara yang menyaksikan peningkatan tahun ke tahun terburuk dalam jumlah skor kerapuhan mereka tahun ini adalah AS, yang mungkin mempunyai impak negatif terhadap nasib Bloomberg.

Skor AS dalam indeks telah meningkat sebanyak 6.3 mata yang menjadikannya negara yang paling teruk peningkatan kerapuhannya pada 2021 – skor lebih tinggi menunjukkan negara-negara yang terhuyung-hayung menuju ke arah kerapuhan, sementara skor lebih rendah menunjukkan satu kemajuan daripada kerapuhan.

“Sepanjang tahun lalu, AS menyaksikan tunjuk perasaan terbesar dalam sejarahnya sebagai tindak balas terhadap keganasan polis yang sering disambut dengan reaksi berat sebelah oleh pihak berkuasa di samping usaha berterusan menggagalkan proses pilihan raya yang mengakibatkan keganasan mencetus pada awal 2021.

“Walaupun kekayaan negara melimpah ruah dengan sistem kesihatan yang maju, perbezaan politik, kurangnya perpaduan sosial, perbalahan dalam Kongres, dan penyebaran berita-berita palsu telah menyumbang kepada kegagalan respons, mengakibatkan lebih 350,000 warganya terkorban menjelang akhir tahun (2020) di samping kemerosotan mendadak dalam KDNK berbanding pada bila-bila masa dalam 60 tahun lalu,” kata laporan FSI.

Malah, Armenia dan Ethiopia menunjukkan prestasi yang lebih baik apabila Armenia meraih kedudukan negara kedua paling teruk dalam skor kerapuhannya yang meningkat sebanyak 5.6 mata, manakala Ethiopia pula, negara ketiga paling teruk dengan skornya meningkat 4.4 mata.

Dalam hal ini, di manakah kedudukan kita yang Moss dengan angkuh dan nakalnya meletakkan Malaysia sebagai negara terhuyung-hayang di ambang negara gagal?

Malaysia berada di kedudukan 123 dengan peningkatan skor dari tahun ke tahun yang menurun sebanyak 0.7 mata. Walaupun AS berada di tangga ke-143, lebih baik daripada Malaysia, namun kedua-duanya disenaraikan dalam Indeks FSI sebagai dua daripada 34 negara lebih stabil meskipun AS unggul dalam KDNK dan sistem kesihatannya yang maju.

Indeks FSI dibangunkan berdasarkan empat indikator utama dan 12 sub indikator. Indikator utama adalah perpaduan, ekonomi, politik, serta sosial dan petunjuk rentas.

Di bawah perpaduan terdapat petunjuk jentera keselamatan, golongan elit berpecah belah dan rungutan kumpulan; di bawah ekonomi – kemerosotan ekonomi, pembangunan tidak rata, dan penghijrahan manusia dan cendekiawan; di bawah politik – keabsahan negara, perkhidmatan awam, serta hak asasi manusia dan peraturan undang-undang; dan di bawah sosial dan petunjuk  rentas – tekanan demografi, orang pelarian dan warga diusir, dan campur tangan luar.

Bagi setiap petunjuk, skor 1 hingga 10 mata diberikan, dengan 1 menjadi yang terbaik dan 10 terburuk yang bermaksud jumlah skor maksimum 120 mata adalah negara paling rapuh, dan skor minimum 12, negara paling tidak rapuh.

Malaysia mencatat tiga petunjuk terendah dalam campur tangan luar dengan 2.6 mata, pelarian dan warga diusir (3 mata) dan penurunan ekonomi (3.3 mata). Tiga tertinggi adalah golongan elit dan hak asasi manusia, masing-masing 6.8 mata, dan keabsahan negara (6.3 mata).

Jumlah markah Malaysia ialah 56.9 mata. Sebaliknya, Yemen sebagai negara paling rapuh, mendapat skor 111.7, sementara Finland, 16.2 sebagai negara paling tidak rapuh. Dari 10 negara Asean, Myanmar negara rapuh nombor satu di Asean dengan kedudukan ke-24 (93.8 mata), diikuti Filipina (kedudukan ke-49, 82.4 mata) dan Kemboja (kedudukan ke-54, 80.6 mata).

Malaysia menduduki tempat kelapan dalam Asean, dengan Brunei di tangga kesembilan (kedudukan dunia 124, 56.3 mata) dan Singapura di tangga kesepuluh (kedudukan dunia 165, 26.6 mata).

Walaupun pandemik Covid-19 merupakan faktor penting Indeks FSI kali ini, laporan FSI itu mengenal pasti tiga corak dan tren utama di negara yang mengalami kemerosotan ke tahap yang rapuh:

  • Banyak anggapan dan kepercayaan yang dipegang secara meluas sebelum pandemik ternyata tidak benar dan kini mesti dinilai semula pada tahap asas;
  • Pandemik ini bukan hanya mengejutkan sistem kesihatan awam tetapi kedua-dua pandemik dan kesihatan awam saling mempengaruhi, dan dibentuk oleh pertimbangan ekonomi, politik, dan keselamatan;
  • Walaupun Covid-19 sering mendominasi perhatian kolektif kita, tekanan jangka panjang yang lain tidak diam dan membisu tetapi terus memberi kesan sendiri, dengan cara yang diharapkan dan yang tidak dijangka.

Ini semua tidak kelihatan dalam cara Moss menganalisis isu negara gagal, sebaliknya beliau membangunkan hujahnya melalui gerakan Bendera Putih, yang dilihatnya sebagai kegagalan kerajaan dalam tanggungjawabnya kepada rakyat untuk menyediakan mereka dengan keperluan asas kehidupan.

Ini menghairankan kami mengapa beliau tidak dapat menggarap gerakan Bendera Putih sebagai upaya rakyat untuk kesetaraan pengorbanan dengan berkongsi beban pemerintahan dengan kerajaan dalam suasana pandemik yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Sementara itu, sebelum pandemik, banyak negara kaya dan maju dengan kekayaan ekonomi dan,kepakaran teknikal yang unggul serta kemampuan lebih besar mencegah dan menangani risiko besar, termasuk ancaman kesihatan awam, dianggap mustahil untuk dikesani oleh risiko ini.

Namun, kenyataannya banyak negara maju sangat teruk terjejas dan kerapuhan serta garis kesalahan mereka terpapar dengan jelas. Yang lain, termasuk yang terlalu sering dipinggir atau diabaikan, telah menunjukkan daya ketahanan luar biasa untuk dipelajari  seluruh dunia.

Sama seperti pandemik yang telah menimbulkan prasangka mengenai garis pemisah binari antara negara rapuh dengan yang tidak begitu rapah, begitu juga dengan idea bahawa kesan dan usaha tindak balas dapat dihadkan dalam batasan kesihatan awam.

Di luar sektor kesihatan, kesan ekonomi paling terserlah dengan penguncian kota global yang menyumbang kepada kejatuhan harga minyak, gangguan rantaian bekalan, dan ekonomi dunia mengalami kemelesetan dengan penguncupan KDNK di banyak tempat jauh lebih curam berbanding selepas krisis ekonomi 2008.

Riak kesan langsung dan tidak langsung pandemik segera merebak lebih jauh, menjangkau lebih banyak bidang kehidupan awam dan peribadi, dan dalam beberapa kes mencetuskan kesan domino pertama dalam satu siri peristiwa yang membakarkan lebih banyak rungutan lama dan mendalam.

Respons terhadap pandemik itu juga bukan sekadar bergantung pada pengagihan sumber-sumber kesihatan awam secara efisien semata-mata, tetapi juga bergantung pada faktor sosial, ekonomi, politik, informasi, dan etika.

Alangkah baiknya jika kerajaan menggunakan indikator FSI ini dengan pengubahsuaian dengan konteks tempatan sebagai isyarat amaran awal mengenai kegagalan atau kelumpuhan dasar bagi membendung negara menuju ke arah negara gagal, sama seperti Sistem Amaran & Kawalan Udara (Awacs) digunakan untuk pusat pengawasan dan kawalan untuk pertahanan udara. Dengan sistem sedemikian, langkah pembetulan kendiri kemudian dapat dilakukan.

Dalam hal ini, kerajaan harus mempunyai rancangan jernih dan mekanisme komunikasi yang sama jernihnya agar semua dapat mengikuti dan mematuhi rancangan permainan menewaskan virus tanpa pengecualian dan tanpa rasa gentar atau pilih kasih! Tumpuannya – menangani pandemik, pemulihan ekonomi dan mengurangkan kemelut politik! Dengan perhatian kepada rakyat, rakyat dan rakyat.

Lantaran itu, sangat penting kerajaan memiliki satu pasukan pakar dalam komunikasi strategik secara holistik yang berfungsi secara proaktif terutamanya, dan kadang-kadang secara reaktif, untuk membantu memberikan kejelasan komunikasi kepada masyarakat. Kegagalan berbuat demikian akan menghasilkan norma naratif yang membingungkan!

Dalam pada itu, sementara elit politik negara juga harus memberikan kritikan membina kepada kerajaan sebagai sumbangan mereka dalam memberikan isyarat amaran awal terhadap negara yang rapuh, mereka harus juga mengelak dari melabel kerajaan sebagai kerajaan gagal hanya semata-mata untuk tujuan berpolitik.

Label sedemikan lah yang dinanti-nantikan oleh orang-orang seperti Daniel Moss dari media asing yang akan mengembangkan agenda mereka secara tidak bertanggungjawab dengan menggunakan label tersebut ke tahap negara gagal, walaupun faktanya adalah sebaliknya.

Rais Hussin dan Jamari Mohtar merupakan sebahagian kumpulan penyelidikan di EMIR Research, sebuah badan pemikir bebas yang fokus kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow